suria

Singgah ‘Jejak Warisan’ dan pekena roti goyang di Ipoh

Tugu Peringatan Birch antara daya penarik jika berkunjung ke Ipoh. FOTO: SAIFUL BAHRI / The Star

BERKUNJUNG ke Ipoh tanpa menyusuri ‘Jejak Warisan’ atau Heritage Trail bagai tidak sempurna. ‘Jejak Warisan’ adalah satu lingkungan kawasan bersejarah di bandar raya Ipoh. Dalam lingkungan ini terdapat beberapa bangunan lama, masing-masing dengan sejarah tersendiri. Kedudukannya berdekatan antara satu sama lain.

Walaupun bangunan-bangunan ini sudah melebihi usia 100 tahun tetapi dipulihara dan dijaga dengan baik sejajar dengan nilai sejarah masing-masing.

Senireka bangunan-bangunan berkenaan unik dengan ciri-ciri senibina konial memandangkan ia direkabentuk oleh arkitek British, seperti juga kebanyakan bangunan kolonial lain di negara ini.

Antara ikon dalam ‘Jejak Warisan’ ini ialah Dataran Dato' Sagor, bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Stesen Keretapi Ipoh, Bangunan Mahkamah Tinggi Ipoh, Bangunan Perak Hydro, Bangunan Straits Trading selain Tugu Peringatan Perang dan Tugu Peringatan Birch.

Dataran Dato' Sagor yang teletak di Jalan Dato Sagor dianggap istimewa kerana ia bukan sahaja tempat bersejarah tetapi juga tempat menjamu selera yang sentiasa dikunjungi ramai dari pagi hingga ke petang.

Medan Selera Dataran Dato' Sagor terletak berseblahan masjid negeri dan Dewan Bandaran Ipoh. FOTO: Ivan Ioh

Dataran ini terletak bersebelahan Masjid Negeri Perak dan Dewan Bandaran Ipoh, juga berhampiran Stesen Keretapi Ipoh.

Dalam kawasan dataran ini terletak Tugu Peringatan Birch atau Birch Memorial, serta menara jam. Tugu ini bagi mengingati mendiang Residen Perak, JWW Birch yang mati dibunuh ketika mandi sungai di Pasir Salak pada Oktober 1875.

Birch, Residen Inggeris pertama di Perak (1874 hingga 1875) seorang yang angkuh dan suka mencampuri hal ehawal pentadbiran Perak, termasuk hal ehwal agama Islam. Dia juga mahu mengambil alih kuasa sultan dalam mengutip cukai.

Sikap Birch menimbulkan kemurkaan Sultan Perak ketika itu, Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar seperti Datuk Maharaja Lela dan Datuk Sagor. Akhirnya mereka merancang membunuh Birch. Misi ini dilaksanakan pada Oktober 1875.

Nama Datuk Sagor pula diabadikan pada dataran ini sebagai mengingati tokoh pahlawan yang merancang pembunuhan Birch dan menentang penjajahan Inggeris di Perak khasnya. Beliau adalah Orang Besar Delapan Perak dengan gelaran Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja. Gelaran dikurniakan oleh Sultan Perak ke-23, Sultan Jaafar.

Dewan Bandaran Ipoh kekal dengan senibina lama.

Nama sebenar Datuk Sagor ialah Ngah Kamdin dan merupakan bapa saudara kepada menteri Ngah Ibrahim, usahawan timah terkenal ketika itu di Larut. Lahir di Kampung Gajah, Datuk Sagor berpindah ke Larut untuk mengusahakan lombong timah dengan Ngah Ibrahim.

Beliau tergolong dalam kalangan hulubalang negeri Perak termasuk Seri Andika Raja, Panglima Kinta, Panglima Bukit Gantang dan Datuk Maharaja Lela.

Datuk Sagor juga terlibat menandatangani Perjanjian Pangkor dengan sultan, pembesar-pembesar Perak serta British di atas kapal HMS Pluto pada 10 Jun 1874.

Pengakhiran hayat Datuk Sagor begitu tragis. Dia didapati bersalah merancang dan membunuh Birch, lalu dijatuhi hukuman mati bersama-sama Datuk Maharaja Lela dan Pandak Endut. Ketiga-tiga mereka digantung sampai mati di Matang pada 20 Januari 1877.

Melawat Dataran Dato' Sagor akan mengembalikan rentetan sejarah lalu. Nama Datuk Sagor dan Tugu Peringatan Birch pada satu lokasi pasti mengimbau sejarah silam ketika Perak terpaksa menerima kehadiran Residen Inggeris ekoran Perjanjian Pangkor.

Sambil menghayati jejak sejarah ini, pengunjung boleh menjamu selera di deretan kedai makanan di situ. Terdapat 28 buah gerai tumpuan ramai yang menyajikan pelbagai jenis makanan di Dataran Datuk Sagor.

Stesen kereta api Ipoh.

Kedai-kedai tersusun rapi dan bersih. Aspek penjagaan kesihatan amat diutamakan dalam penyediaan dan penyajian makanan.

Dengan kombinasi warna berwarna putih dan hitam, memorial dan bangunan kedai nampak berseri. Projek menaik taraf dataran ini dibuat pada 2014 dengan kos RM3.1 juta.

Roti Goyang

Antara menu istimewa di Dataran Datuk Sagor ialah ‘roti goyang’. Ini merupakan menu pilihan utama, malah seolah-olah pilihan mesti bagi mereka yang datang ke dataran ini. Ia sudah sinonim dengan penduduk Ipoh.

Justeru bagi yang belum pernah merasai, pastikan anda mencuba. Menjamu selera di Dataran Datuk Sagor tanpa menikmati `roti goyang’ bagaikan tidak lengkap kunjungan ke situ.

‘Roti goyang’ adalah roti bakar yang diletakkan telur separuh masak di atasnya. Setiap set mengandungi dua keping roti bakar dan dua biji telur separuh masak yang diletakkan di atas kepingan roti tersebut.

Nama ‘roti goyang’ diberi kerana telur separuh masak yang diletakkan di atas roti bakar tersebut, dengan kuning telur bulat dibaluti bahagian putih telur, kelihatan seakan-akan bergoyang apabila dibawa untuk disajikan.

Roti goyang... jangan ketinggalan mencubanya.

Begitu juga ketika mula hendak makan. Apabila roti disentuh, telur setengah masak di atas roti tersebut juga bergoyang-goyang lembut.

Untuk menambahkan enak, taruh serbuk lada putih dan kicap di atas telur seperti kebiasaan kita makan telur separuh masak. Makan telur bersama roti, atau boleh saja makan roti dan telur berasingan. Pengalaman pertama merasainya memang menambat selera.

Selain ‘roti goyang’, roti bakar biasa juga ada, sama ada roti bakar keping atau roti bakar ban. Dibakar dengan disapukan majerin serta kaya rasanya enak sekali apabila dimakan panas-panas.

Selain itu banyak makanan lain yang boleh didapati di Dataran Dato' Sagor ini. Misalnya nasi lemak, roti canai, nasi kerabu atau pelbagai masakan panas seperti mi, bihun, kuw tiew,capati dan nasi goreng.

Antara kedai makan di Dataran Dato' Sagor.

Menariknya dalam kalangan kedai tersebut, terdapat sebuah kedai dikenali sebagai ‘Gerai 60-an Tok Mama’. Sesuai dengan namanya, gerai ini memutarkan lagu-lagu pop yeh-yeh 60-an sepanjang masa untuk menghiburkan pelanggan.

Tempat duduknya adalah bebas. Ertinya anda boleh duduk di mana-mana kerusi meja di hadapan mana-mana kedai tersebut tanpa mengambil kira dari kedai mana anda memesan makanan.

Sudah puas menjamu selera, bolehlah terus melawat bangunan-bangunan bersejarah dalam wilayah ‘Jejak Warisan’ yang kebanyakannya terletak tidak jauh dari Dataran Dato' Sagor ini.

Tugu Peringatan

Antaranya ialah Tugu Peringatan Perang atau War Memorial di Jalan Datuk Panglima Bukit Gantang Wahab, di dataran berhadapan Stesen Keretapi Ipoh. Tugu ini dibina pada 1927. Ia didirikan sebagai mengingati pahlawan-pahlawan yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama 1914-1918 dan Perang Dunia Kedua 1939-1945.

Berhampiran tugu ini ialah bangunan Stesen Keretapi Ipoh yang juga sebuah bangunan bersejarah. Ia merupakan salah satu tumpuan pelancong di Perak amnya dan Ipoh khususnya. Senireka diilhamkan oleh arkitek British, AB Hubback , yang juga mereka cipta bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Pembinaan stesen dilaksanakan pada tahun 1917 oleh Syarikat Hindia Timur British. Bangunan ini bercirikan Islam dan reka bantuk Moorish . Kerana ia mirip seperti Taj Mahal, ia juga dikenali sebagai Taj Mahal Ipoh.

Tugu peringatan perang ini mempunyai ceritanya tersendiri.

Beberapa buah bangunan lain dalam wilayah ‘Jelajah Warisan’ juga adalah merupakan bangunan lama yang dijaga dengan baik. Misalnya bangunan Dewan Bandaran yang dibina pada 1917. Sebahagian dewan ini pernah dijadikan pejabat pos dan ibu pejabat polis daerah Ipoh.

Begitu juga bangunan Mahkamah Tinggi, bangunan Perak Hydro (kini milik TNB) dan Straits Building adalah antara beberapa bangunan kolonial lain yang berusia lebih 100 tahun tetapi tetap dipulihara dan terus digunakan sehingga kini oleh pihak kerajaan atau swasta.

Kesemua ini dapat disaksikan dan dijelajahi melalui ‘Jejak Warisan’, satu destinasi pelancongan bersejarah yang wajar dilawati apabila menjejakkan kaki ke Bandaraya Ipoh.

Saksikan keindahan senireka dan senibina dahulu yang mampu bertahan sehingga kini dan terus terpelihara sebagai tinggalan sejarah yang sangat berharga bagi generasi masa ini dan akan datang.

Ipoh, roti goyang

Artikel Lain