suria

Zaman bagai terhenti di Maghribi!

'Street food' di Jemma el Fna, Marrakesh

RAMAI yang lebih mengenali Cassablanca, bandar pelabuhan Maghribi atau Morocco berbanding negara itu sendiri.

Filem dan lagu Cassablanca yang diterbitkan sekitar 1940-an itu mempopularkan bandar ini.

Namun di Maghribi, bukan saja bandar Cassablanca yang menarik tetapi hampir kebanyakan bandar dan kota lama di negara ini mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Antara bandar yang sering menjadi persinggahan pelancong di Maghribi adalah Marrakesh, Rabat, Essaouira, Fez dan Tangiers.

Kedai menjual pinggan mangkuk di medina Marrakesh

Kali ketiga menjejakkan kaki ke bumi yang indah memberikan kelainan pada setiap kali kembara ke negara Hikayat Seribu Satu Malam ini.

Kunjungan ke negara itu baru-baru ini lebih istimewa kerana pelucutan visa pelancong pada awal tahun ini di kalangan warga Malaysia memudahkan urusan ke sana.

Masyarakat Berber dengan pakaian tradisi

Jika ada masa panjang boleh singgah ke beberapa bandar di negara ini, namun jika masa kesuntukan ada beberapa kota yang wajib dikunjungi jika ke sini.

Jom, kita kongsi keistimewaannya.

Marrakesh, kota merah yang penuh warna warni

Digelar kota merah kerana binaan tembok mengelilingi kota itu berwarna merah, kota yang terletak di kaki Pergunungan Atlas, mempunyai banyak tarikan termasuk Istana Bahia, Menara Masjid Koutubia yang dibina pada kurun ke-12 dan Jardin Majorelle, taman indah yang dimiliki pereka fesyen terkemuka dunia, Yves Saint Laurent.

Berkunjung ke kota lama ini membuatkan zaman seolah-oleh terhenti terutama apabila memasuki kawasan souk atau Medina yang turut diktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Periuk tajin yang boleh dibawa balik sebagai cenderahati

Pelbagai jenis jualan dari manik dan perak, barangan diperbuat dari tanah liat seperti periuk tajin, seramik, pakaian, selendang dan yang paling wajib beli adalah minyak argan kerana Maghribi adalah pengeluar minyak argan terbesar dunia.

Wanita tempatan memproses buah argan untuk dijadikan minyak

Dataran Jemma El Fnaa yang terletak di hadapan medina pula sangat meriah apabila malam menjelma.

Salah satu gerai di Jemma el Fna

Penduduk kota ini dan pelancong membanjiri dataran yang untuk menikmati keenakan makanan ‘street food’, menyaksikan persembahan rakyat seperti permainan ular, sarkas, permainan pancing botol, tarian tradisi dan sesi cerita rakyat.

Mudah sesat di dalam kota lama Fez

Terletak di timur laut Maghribi, kota ini dibina sekitar kurun ke-8 turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO untuk pasar atau souknya.

Meneroka ke dalam pasar atau medina yang dikenali sebagai Fes el Bali perlu berhati-hati kerana takut sesat sebab terlalu banyak sangat lorong kecil yang kelihatan agak serupa.

Pelbagai jualan di souk Fes el Bali di Fez

Berjalan di souk itu tanpa pemandu pelancong tempatan mungkin menyukarkan kita keluar di tempat di mana bas menunggu atau kawasan penginapan.

Antara tarikan utama di Fes el Bali adalah proses penyamakan atau pembuatan kulit untuk dijadikan produk kulit termasuk jaket dan beg tangan secara manual yang tertua dan terbesar dunia.

Pusat menyamak dan memproses kulit terbesar dan tertua di dunia di Fez

Untuk melihat dengan dekat proses itu, kita boleh ke kedai kulit yang menyediakan beranda bagi membolehkan pengunjung melihat proses itu berjalan.

Namun, sebelum melihat proses itu, kita diberikan daun pudina kerana bau yang kurang menyenangkan berikutan proses itu menggunakan tahi burung merpati untuk melembutkan kulit lembu bagi memudahkan warna melekat pada kulit itu.

Pasar ini juga diiktiraf sebagai kawasan bebas kenderaan dan hanya keldai saja pengangkutan untuk mengangkut barangan.

Selain membeli belah dan melihat dengan lebih dekat kehidupan penduduk Fez, terdapat beberapa lagi tarikan dalam pasar ini termasuk Universiti al Quaraouiyine, universiti tertua yang masih berfungsi, ditubuhkan pada tahun 859

Rabat, gabungan moden dan lama

Ibu negara Maghribi ini tidak kurang menariknya.

Walaupun tidak sesibuk Cassablanca, bandar di sepanjang pantai Lautan Atlantik ini turut kaya dengan warisan seni bina Islam Andalusia Sepanyol dan Perancis.

Bergambar di hadapan Menara Hassan di Rabat

Walaupun pesat membangun tetapi banyak juga bangunan bersejarah yang masih dikekalkan antaranya, Kasbah Udayas (kubu Udayas), Chellah Kasbah, Menara Hassan dan beberapa pasar tradisi.

Pengalaman ke bandar ini dengan kenderaan dan keretapai ternyata memberikan pengalaman berbeza. Kedutaan Malaysia juga terletak di bandar ini.

Kaya dengan budaya, keenakan makanan, tempat bersejarah, seni bina bangunan yang indah serta landskap muka bumi termasuk padang pasir dan gunung ganang, wajar menjadikan Maghribi sebagai salah satu destinasi wajib dilawati dalam senarai penggembara.

Nah, apa lagi jom kita rancang dan menabung untuk meneroka negara yang sangat unik serta kaya budaya dan tradisi.

lawat Maghribi, menarik Morocco

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan