suria

Makanan tradisi kaum Cina sedap di Yuan, Port Dickson

BIASANYA kalau bercuti ke Port Dickson mesti ramai yang tercari-cari makanan laut.

Tetapi, jika anda berpeluang ke destinasi ini lagi pada masa akan datang, apa kata anda cuba 'lari' sedikit dari kebiasaan, sekurang-kurangnya untuk satu waktu makan, dengan mencuba masakan Cina di Yuan Restaurant.

Walaupun terletak di resort popular Lexis Hibiscus, anda tak perlu bimbang kerana restoran ini terbuka untuk semua pengunjung, tidak terhad untuk penyewa resort sahaja.

Memandangkan suasana di restoran ini begitu tenang, selesa dan tertutup, ia adalah lokasi paling tepat untuk makan secara berkumpulan, atau pun berdua dengan si dia tersayang.

Di Yuan Restaurant, anda pasti 'rambang mata' untuk membuat pilihan sebaik sahaja pelayan menghulurkan menu untuk anda membuat tempahan.

Ini kerana, restoran ini menawarkan sehingga 50 jenis makanan popular masyarakat Cina yang halal, bermula dengan hidangan pembuka selera, pilihan lauk-pauk, aneka mi dan nasi, bubur dan pencuci mulut.

Istimewanya restoran ini, walaupun pelanggannya terdiri daripada pelancong tempatan dan luar negara, ia tetap mengekalkan keasliannya, baik dari segi ramuan dan cara penyediaannya.

Jika berpeluang ke sini, anda disarankan untuk mencuba Dim Sum, yang sering mendapat pujian ramai pelanggan.

Disebabkan mi dan sup cukup sinonim dengan hidangan masyarakat Cina, tidak hairanlah banyak hidangan berkuah dan berasaskan mi disediakan untuk pelanggannya.

Kalau teringin makan mi, anda boleh mencuba 'spice beef shank noodle' yang popular di rantau Szechuan dan dijamin keenakan rasanya.

Menurut pengarah kulinari restoran ini Ryan Poon Wai Chin, hidangan ini terdiri daripada mi wantan yang dimakan bersama daging istimewa dan kuah herba Cina.

"Begitu juga dengan 'mi suah bersama kepingan kerapu goreng' yang menjadi kegemaran masyarakat Hokkien.

"Mi akan digoreng terlebih dahulu untuk menonjolkan rasanya dan apabila dimakan dengan ikan kerapu jenis 'dragon tiger', gabungan rasanya memang sangat lazat,” katanya.

Satu lagi hidangan istimewa yang patut dicuba di sini adalah nasi goreng XO. Ia dinamakan XO kerana dimasak menggunakan sos XO yang berasal dari Hong Kong dengan rasa pedas dan masin.

Sebelum mencubanya, jangan pandang rendah terhadap nasi goreng ini hanya kerana hidangannya nampak ringkas.

Anda pasti jatuh cinta dengan rasa nasi goreng ini walaupun hanya dengan satu suapan.

'Macanes crab congee' yang sangat terkenal di Macau dan Hong Kong juga tidak kurang enaknya!

Walaupun ia hanyalah hidangan bubur nasi yang dimasak bersama ketam, tetapi rasanya sukar diungkapkan apabila ia dipadankan dengan hirisan halia dan rasa manis isi ketam.

Yuan Restaurant dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 2.30 petang dan 6 petang hingga 10.30 malam. Ia ditutup setiap Selasa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain