suria

Seronoknya melancong ke Xian, 5 lokasi ini wajib dikunjungi!

Kota Xian menyimpan 1001 sejarah tamadun China. Foto: QARAMI HASHIM

SEBUT negara China pasti ramai sudah terbiasa dengan bandar besar seperti Beijing, Shanghai dan Guangzhou, namun mungkin ada rakyat negara kita yang belum pernah mendengar mengenai kota Xian yang terletak di wilayah Shaanxi.

Xian merupakan salah sebuah kota tertua di China dan pernah menjadi pusat pemerintahan pelbagai dinasti antaranya Zhou, Qin, Han, Sui dan Tang.

Peluang mStar Online mengunjungi Xian bersama rombongan media yang dibawa oleh penerbangan AirAsia X memberi pengalaman baharu untuk dikongsi dalam siri jelajah kali ini.

Pertama kali menjejakkan kaki ke wilayah ini memberi peluang kepada kami melihat sendiri sejarah ketamadunan pemerintahan dinasti di negara dengan jolokan 'syurga membeli-belah' itu.

Jika anda ada perancangan melancong ke Xian, lima lokasi ini mesti berada dalam senarai kunjungan!

Terracotta Warriors Museum


Terracotta Warriors atau nama sebenarnya Mausoleum of The Emperor Qin Shihuang merupakan lokasi wajib dikunjungi ketika berada di Xi'an.

Tapak bersejarah ini mula ditemui oleh seorang petani pada tahun 1974. Petani berkenaan menemui serpihan patung ketika menggali tanah di kawasan tersebut dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

Ahli arkeologi diarahkan untuk melakukan penyelidikan dan akhirnya mereka menjumpai banyak lagi patung dan kajian yang dijalankan mendapati artifak tersebut merupakan sebahagian tinggalan dinasti Qing (211-206BC).

Menurut pemandu pelancong yang mengiringi kami, Maharaja China, Qin Shu Huang mengarahkan rakyatnya membina ribuan patung tentera itu bagi melindungi kehidupannya selepas baginda meninggal dunia.

Tips: Pastikan datang awal pagi kerana lokasi ini padat dengan pelancong dan memerlukan masa yang agak lama untuk memasuki muzium tersebut.

Huashan Mountain



Pengunjung bergambar di Gunung Huashan.

Gunung Huashan terletak di bandar Huayin, 120km dari bandar Xian ini terkenal dengan pemandangan semula jadi yang cukup memukau pandangan mata.

Dari pintu masuk utama taman, anda perlu menaiki bas menuju ke stesen kereta kabel yang akan membawa anda ke lokasi di puncak Huashan.

Di puncak gunung tersebut, anda boleh menyaksikan panorama indah. Bagi kaki selfie, ini lokasi sesuai untuk bergambar.

Bagaimanapun, semasa kunjungan kami hujan turun dengan lebat dan kami tidak dapat melihat keindahan gunung tersebut kerana kawasan sekitar diliputi kabus tebal.

Tips: Cuaca di Xian sukar diramal, sediakan baju hujan atau payung bagi memudahkan anda meneruskan lawatan jika hujan lebat dengan tiba-tiba.

Muslim Quarter / Muslim Street


Dianggarkan di Xi'an lebih 20,000 masyarakat beragama Islam terdiri daripada etnik Hui. Lokasi ini menjadi tumpuan pelancong kerana terkenal dengan jualan makanan halal.

Ia turut dikenali sebagai bazar Muslim Street Food. Selain makanan, kawasan ini turut menjual cenderamata dan kebanyakan kedai dimiliki oleh orang Islam.

Tips: Jika ingin membeli-belah pastikan anda membuat tawaran harga terlebih dahulu kerana setiap kedai mungkin meletakkan harga barangan yang berbeza.

Masjid Agung Xian (The Great Mosque)



Dinding masjid yang diperbuat daripada kayu diukir dengan ayat suci Al-Quran.

Masjid ini terletak di lorong Huajue berdekatan Muslim Querter dan merupakan antara lokasi wajib dikunjungi oleh pelancong Muslim.

Keutuhan pegangan agama komuniti Islam di situ tentunya terserlah dengan binaan Masjid Agung Xian yang usiannya mencecah 1,276 tahun, di mana ia dibangun pada tahun 742 iaitu tahun pertama pemerintahan Kaisar Tia Bo dari dinasti Tang (618-907).

Masjid berkeluasan 12,000 meter persegi ini dibina dengan gabungan seni Arab dan China. Menariknya, dinding di masjid ini menggunakan kayu yang diukir dengan ayat-ayat suci Al-Quran.

Xian City Wall


Jangan terkejut kalau melihat kota Xi'an dikelilingi oleh tembok batu berketinggian 12 meter dengan lebar 12-14 meter dan sepanjang 14 kilometer. Menurut sejarah, tembok ini dibina sebagai pertahanan kota dan melindungi maharaja daripada serangan musuh luar.

Ia mengandungi empat pintu masuk utama dan pintu tembok selatan merupakan gerbang utama dan menjadi lokasi utama pilihan pelancong.

Di atas tembok tersebut, anda boleh berjalan kaki dan menaiki basikal mengelilingi kawasan tersebut.

Menarik bukan? Jadi kalau ada perancangan untuk mengunjungi Xian, jangan lupa untuk melawat lokasi menarik yang mStar Online senaraikan ini.

Xian, China

Artikel Sebelum

Artikel Lain