SEBAIK menjejaki kota besar di selatan Sepanyol, pemandangannya nyata sangat berbeza dengan mana-mana kota Eropah yang lain terutama dari segi seni bina binaan dan bangunannya. Dengan pengaruh kuat seni bina Islam, kebanyakan binaan di selatan Sepanyol atau lebih dikenali sebagai Andalusia ini kaya dengan ukiran halus dan indah oleh bangsa Moorish iaitu keturunan Sepanyol yang beragama Islam. Sejarah Islam di bumi matador ini bermula sejak tahun 711 lagi dengan penaklukan oleh tentera Ummaiyah yang diketuai Tariq bin Ziyad ketika itu hanya berusia 18 tahun yang secara langsung membawa Islam ke bumi Andalusia. Zaman kegemilangan Islam yang dikenali sebagai Golden Age of Andalus menyaksikan perkembangan ilmu sains, perubatan, seni bina dan budaya yang masih boleh dilihat menerusi tinggalan binaan dan ciptaan yang kini berkembang menjadi peralatan moden terutama di bidang perbuatan dan pertanian. Ahli sejarah, Tariq Mahmood (kiri) menerangkan sejarah Andalusia kepada pelancong Malaysia. Menjadikan Sepanyol sebagai ‘bucket list’ adalah pilihan terbaik kerana ia kaya dengan keindahan landskap bergunung ganang dan ladang pohon zaitun serta badam saujana mata memandang. Untuk pencinta sejarah, sudah tentu inilah destinasinya untuk menelusuri sejarah kegemilangan dan kejatuhan Islam yang penuh suka duka selama kira-kira 700 tahun di bumi itu. Bagi penulis sendiri yang meminati sejarah, kunjungan beberapa kali di negara ini pastinya membawa pulang 1001 kisah yang mengagumkan. Jom, kita lihat kota yang wajib dilawati dalam jejak sejarah ketamadunan Islam di Sepanyol. Keindahan seni bina Islam di Cordoba Terletak di tengah-tengah kota Cordoba, satu-satunya masjid di dunia yang tidak dibenarkan solat di dalamnya iaitu Masjid Cordoba kerana sudah dijadikan gereja. Sejarah asalnya bangunan ini adalah gereja kecil dan dibeli oleh pemerintah Islam, Abd Rahman 1 pada sekitar 784. Ia dibina semula sebagai masjid dengan seni bina Islam yang indah dan halus. Keindahan seni bina Masjid Cordoba masih dikagumi. Masjid Nabawi di Madinah mengambil ilham daripada tiang dan gerbang Masjid Cordoba bagi penambahan binaannya. Namun, ketika kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol sekitar tahun 1230-an, sebahagian binaan masjid itu ditukar menjadi gereja. Bagi yang berpeluang berkunjung ke lokasi ini, pasti dapat melihat kehalusan seni bina Islam yang indah masih kekal di masjid ini. Bukan itu saja, pengaruh seni bina Islam juga dapat dilihat di binaan kedai sekitar kawasan itu. Kota Cordoba dari Muzium Cordoba. Untuk menambah maklumat mengenai kegemilangan Islam di Sepanyol, Muzium Cordoba adalah tempatnya. Muzium interaktif ini sangat menarik kerana mempamerkan tamadun Islam serta ciptaan yang menjadi asas kepada kebanyakan teknologi sains, pertanian dan perubatan masa kini. Bergambar di kawasan runtuhan kota Madinah Az Zahrah. Tidak jauh dari Cordoba pula, tapak arkeologi Madinah Az Zahrah ini juga sarat menyimpan sejarah kegemilangan Islam. Kompleks runtuhan kota lama yang dibina oleh Khalifah Abdul Rahman 111 ini turut menempatkan dewan tetamu, masjid, kediaman, tempat mandi awam dan sebagainya. Kunjungan tidak sah jika tidak singgah di Granada Apalah maknanya melawat Andalusia tanpa singgah di kota Granada. Apalah maknanya berada di Granada tanpa berkunjung atau pun paling tidak melihat sendiri keindahan kompleks istana Alhambra. Kompleks Alhambra. Terletak di bahagian paling tinggi di kota Granada, kita memerlukan sekurang-kurangnya empat jam jika mahu meneroka kompleks istana ini. Keindahan seni bina istana yang dipenuhi dengan ukiran ayat suci al Quran di dindingnya juga aliran air yang memenuhi setiap ruang begitu mendamaikan. Ukiran syahadah di dinding Alhambra. Namun, sejak beberapa bulan kebelakangan ini kesukaran untuk mendapatkan tiket masuk ke Alhambra menjadi isu yang sering diperkatakan pelancong dan ejen pelancongan tempatan. Taman Jannatul Arif dalam Alhambra dijaga rapi. Jadi, untuk mengurangkan rasa kecewa tidak mendapat tiket masuk, kita boleh melihat keseluruhan kompleks itu dari Masjid Granada yang terletak di kawasan Albaicin. Istana pemerintah Kristian, dibina pengukir Islam di Seville Dianggap sebagai mini Alhambra, Alcazar dibina ketika pemerintahan Peter of Castile ada kala terkenal sebagai gelaran Peter Yang Kejam atau Peter yang Adil. Oleh kerana kekagumannya terhadap seni bina Islam menyebabkan beliau mengupah pengukir Islam untuk membuat hiasan dinding istananya. Maka tidak hairanlah banyak petikan ayat suci al-Quran memenuhi dinding istana itu, selain hiasan kufi. Taman dalam Alcazar, Seville. Berdekatan dengan istana itu pula, Menara Giralda yang asalnya adalah masjid utama Seville. Mengikut cerita, disebabkan terlalu tinggi, muazin terpaksa menggunakan kuda untuk naik ke atas bagi melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat. Namun, gempa bumi kuat pada tahun 1356 memusnahkan masjid itu dan hanya menaranya saja yang kekal. Selepas kejatuhan Islam, ia jadikan gereja. Terlalu banyak tinggalan Islam di bumi Andalusia. Bagi pencinta sejarah, Sepanyol seharusnya dijadikan negara yang patut dikunjungi kerana terlalu banyak pengajaran yang boleh dijadikan sempadan kehidupan apabila mengimbau kembali sejarah.