suria

Jatuh cinta lihat panorama matahari terbenam di Coco Cabana!

BERCERITA mengenai Sarawak, negeri itu kaya dengan khazanah alam yang kebanyakannya masih segar tidak terusik dalam arus kemodenan.

Kali ini, mStar Online mahu membawa anda ke satu lokasi menarik di Miri yang dinamakan sebagai Coco Cabana.

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Namun, kunjungan kali pertama penulis ke lokasi itu sudah cukup untuk membuat hati terpaut.

Masakan tidak, ia merupakan lokasi yang menjadi buruan warga sekitar Miri kerana daya tarikannya yang unik dan tidak terdapat di tempat lain.

Keindahan panorama sewaktu matahari terbenam di Coco Cabana, Miri.

Coco Cabana baru-baru ini menjadi tuan rumah kepada acara Borneo Jazz Festival 2018. Dalam kemeriahan acara itu, penulis sempat meneroka sekitar lokasi ini dan ternyata tidak dapat menahan diri untuk mengajak anda turut sama berkunjung ke sana suatu hari nanti.

Yang paling mengujakan tentunya pengalaman melihat matahari terbenam di pantai bersebelahan Coca Cabana. Di sepanjang pantai, terdapat ramai pengunjung yang sedia menanti detik emas itu seawal pukul 6.30 petang.

Selain duduk di bangku dan di atas pasir, ada juga yang berayun di buaian tatkala menyaksikan matahari terbenam. Pendek kata, suasana pada waktu itu sungguh mengasyikkan.

Pintu kayu unik yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai merakam foto.

Setelah siang melabuhkan tirai, itu tidak bermakna segalanya sudah berakhir di Coco Cabana. Selain rumah api yang berbentuk kuda laut, terdapat juga deretan gerai-gerai yang menjual makanan dan minuman buat pengunjung di situ.

Rumah api berbentuk kuda laut yang berdiri megah di Coco Cabana.

Malah, terdapat meja dan kerusi kayu yang dibina betul-betul di tepi laut sekali gus memberi anda peluang untuk lepak-lepak dan bersantai sambil menikmati panorama serba indah di situ.

Selain menghadap pantai, kawasan Coco Cabana turut berhadapan dengan Marina Bay Miri yang menjadi jeti pelabuhan pelbagai jenis kapal. Maka tidak hairanlah jika panorama di situ persis lokasi pelancongan terkenal dunia.

Meja kayu turut disediakan untuk pengunjung lepak-lepak dan menikmati hidangan yang dijual di sekitar kawasan itu.

Haa, itu baru penulis bercerita mengenai apa yang ada di sekitar Coco Cabana, bagaimana pula dengan binaan bangunan kayu Coco Cabana yang berdiri megah persis istana lama itu?

Bangunan dua tingkat itu sering menjadi lokasi penganjuran pelbagai jenis acara. Seperti yang dimaklumkan di atas, Coco Cabana merupakan venue bagi Borneo Jazz Festival 2018.

Selain pentas nyanyian, terdapat sebuah bar yang dinamakan sebagai Sunset Bar di dalam Coco Cabana. Di bahagian hadapannnya pula terdapat sebuah restoran yang dinamakan sebagai Havana Cafe yang menghidangkan pelbagai jenis makanan seperti laksa Sarawak dan macam-macam lagi.

Antara gerai yang menjual makanan dan minuman di Coco Cabana.

Jika mahu digambarkan dengan kata-kata, pastinya sukar untuk penulis menterjemahkan keindahan Coco Cabana.

Jadi, jika anda ke Sarawak, pastikan Coco Cabana berada dalam senarai yang patut anda lawati. Bagi penulis sendiri, pastinya akan berkunjung ke sana lagi suatu hari nanti.

Artikel Lain