KOTA Kembang atau Kota Bandung memang cukup popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Kota yang terletak kira-kira 140 kilometer sebelah tenggara Jakarta ini merupakan kota ketiga terbesar di Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya berdasarkan jumlah penduduk. Bagi rakyat Malaysia, kunjungan ke Bandung selalunya bertujuan untuk membeli-belah. Maklumlah kota ini terkenal dengan factory outlet yang menawarkan pelbagai barangan dengan harga murah. Rumah Mode paling popular, kalau sudah sampai ke Bandung mesti jejak kaki ke sini. Jika tidak, percutian itu bagaikan tidak lengkap. Sebenarnya masih banyak lagi tempat-tempat menarik yang cukup berbaloi untuk dilawati. Lebih-lebih lagi jika anda merancang percutian keluarga, bukan ingin membeli-belah semata-mata. Farmhouse Susu Lembang memberikan tarikan seperti ke Eropah. Daerah Lembang yang terletak kira-kira 45 minit ke satu jam perjalanan misalnya menawarkan deretan tarikan yang berbaloi untuk dinikmati. Jika anda mendambakan percutian yang bernuansakan perkampungan Eropah, bolehlah singgah di Farmhouse Susu Lembang. Tarikan yang menjanjikan keseronokan untuk seisi keluarga ini punya pelbagai keistimewaan. Dengan cuaca yang redup dan dingin, anda dan anak-anak boleh menghabiskan masa di sini dengan selesa. Buat penggemar filem ‘The Lord Of The Ring’ dan ‘The Hobbit’, Farmhouse Susu Lembang memberi peluang untuk anda mengintai rumah Hobbit yang comel. Biarpun tidak ada perkampungan Hobbit di sini, tetapi memadailah dapat bergambar di hadapan rumah comel seperti yang dimiliki oleh Frodo dan Bilbo Baggins. Mula beroperasi pada tahun 2015, Farmhouse Susu Lembang menjanjikan pengalaman mengasyikkan sama ada berkunjung bersama keluarga, teman-teman atau hanya bersama insan tersayang. Khidmat sewaan baju gadis Eropah turut disediakan. Satu perkara yang tidak boleh dinafikan apabila berada di sini ialah banyak spot menarik untuk mengambil gambar. Toleh ke kanan cantik, toleh ke kiri pun menarik, jadi memang banyak masa diperlukan untuk mengelilingi perkampungan yang terdiri daripada beberapa bahagian ini seperti restoran dan kafe, petting zoo, galeri, taman dan juga kebun buah-buahan. Salah satu keunikkan tempat ini berbanding destinasi percutian yang seakan-akan sama dengannya ialah ia menawarkan khidmat sewaan baju ala gadis Eropah. Dengan harga Rp75,000 (RM21) pengunjung boleh menggayakan pakaian ini sehingga dua jam. Jadilah bolehlah bergambar sakan dengan berimaginasi anda sedang berada di benua Eropah. Selain itu, anda juga boleh juga menyewa pakaian Koboi dan Red Indian pada harga yang sama. Seronok juga dapat mengabadikan kenangan ketika bercuti di sini. Sekurang-kurangnya ada kenangan yang boleh dibawa pulang bersama. Rumah Hobbit Tiket masuk ke Farmhouse Susu Lembang ini berharga Rp22.500 (RM6.50) untuk setiap orang. Caj parkir untuk kereta Rp10,000 (RM2.80) manakala motosikal pula berharga Rp5.000 (RM1.40). Tiket-tiket yang sudah dibeli ini boleh ditukar dengan sebatang sosej ataupun secawan susu segar berperisa mocha, strawberri vanilla atau pisang. Bagi yang berminat untuk berkunjung ke sini, Farmhouse Susu Lembang dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam pada hari bekerja. Sementara pada hujung minggu ia dibuka pada jam 9.00 pagi hingga jam 11 malam. Makan sampai kenyang di pasar terapung Lembang Sebelum bertolak pulang ke hotel penginapan, bolehlah singgah ke pasar terapung yang terletak kurang dari 15 minit pemanduan. Pasar Terapung Lembang merupakan pusat jualan makanan yang menghimpunkan pelbagai makanan khas Jawa Barat. Cantiknya pemandangan di pasar terapung ni. Jadi, sesuai sangat untuk menjamu selera setelah berjam-jam mengelilingi Farm House Susu Lembang. Punya sedikit persamaan dengan konsep pasar terapung tradisional di Bangkok dan Hatyai, Thailand, pasar terapung ini semakin popular dalam kalangan pelancong tempatan mahupun luar negara. Berada di pasar terapung ini membuatkan kita rambang mata. Terlalu banyak makanan Indonesia yang menyelerakan. Perut yang kenyang pun akan terasa lapar apabila melihat satu demi satu hidangan yang tersedia di 46 buah perahu yang terdapat di sini. Antara makanan yang boleh dibeli ialah bakso bakar, tauhu susu Lembang, gado-gado, lontong kari sapi, es pisang ijo, pisang goreng keju, rojak, kentang goreng, sate kelinci (Arnab), soto Bandung, otak-otak, wedang ronde, ayam penyet dan martabak mini. Serikaya keju antara makanan menarik di pasar terapung. Untuk berbelanja anda harus menggunakan syiling yang disediakan oleh pihak pengurusan. Terdapat syiling Rp5,000. Rp10,000, Rp20,000, dan Rp50,000. Perlu diingatkan syiling yang telah ditukar tidak boleh dipulangkan kembali. Oleh itu, jangan buat tukaran dalam jumlah yang banyak. Selain menjamu selera, terdapat juga tarikan-tarikan lain untuk kanak-kanak. Ada Taman Miniatur Kereta api, Pancing Magnet, Kereta Api Mini dan Taman Arnab. Harga tiket masuk ke Pasar Terapung Lembang cukup murah iaitu Rp. 15,000 (RM4.20) sahaja. Tiket ini pula boleh ditukar dengan minuman percuma seperti kopi, teh limau ais, cappuccino atau coklat panas.