PERNAHKAH anda berasa tiada selera untuk makan ketika sakit? Jangan bimbang sebab hidangan di sebuah restoran ini pasti mampu membangkitkan kembali nafsu makan anda. Kalau dah namanya orang sakit, mestilah bubur yang dicari kan? Tapi bubur yang diberi nama ’Teow Chew Porridge’ ini lain dari yang lain kerana bukan sahaja ia dihidangkan dengan cara yang sangat menarik, tetapi rasanya juga enak. Bukan itu sahaja, saiz hidangan ’Teow Chew Porridge’ yang disediakan di Ramziela Delights ini agak besar dan boleh dimakan untuk dua orang. Bubur ini disajikan bersama enam piring kecil lauk yang terdiri daripada ikan bilis dan kacang, ikan masak taucu, kangkung belacan, lobak asin dan lobak jeruk, ikan masin serta telur masin. Rasa bubur sengaja dibiarkan tidak berperisa agar anda boleh memadankannya dengan aneka lauk yang ada. Nyata, lauk-lauk yang didatangkan bersama bubur ini cukup melengkapi keseluruhan hidangan kerana memang terbukti ia membuka selera. Satu set hidangan bubur ini berharga RM16.90. Hampir setahun beroperasi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Ramziela Delights yang terletak bersebelahan Stesen MRT TTDI ini mula menjadi tumpuan pelanggan setempat dan juga luar Lembah Klang. Selain susun atur restoran berkonsep ‘open-air’, restoran milik penyanyi yang pernah popular dengan lagu ‘Gemilang Cinta’ itu amat mementingkan kebersihan dan dikelaskan dalam kategori A oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Jika anda sudah sampai di Ramziela Delights, tidak lengkap rasanya kalau tidak cuba menikmati Beriani Gam Muar yang menjadi menu wajib kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini. Tekstur nasinya yang berderai keemasan, lembab dan berlemak sudah cukup menambat hati. Apa yang menariknya, resipi asli dari Muar ini turut menggunakan rempah yang dibawa khas dari negeri Darul Takzim itu. Harga bagi satu set Beriani Gam Muar berlaukkan ayam ini pula cuma RM14.90 Pemilik restoran, Datin Ramziela Radzillah berkata, keistimewaan menu Beriani Gam Muar itu terletak pada pesnya yang disediakan sendiri dan merupakan resipi turun temurun keluarga suaminya. Sajian itu turut dihidangkan bersama telur pindang, acar buah dan papadom. Bagi anda yang gemarkan selera barat pula boleh pesan bebola daging ala Sweden yang disajikan bersama kentang goreng, jem beri dan sos yang disesuaikan dengan citarasa Malaysia. Hidangan ini sesuai untuk golongan kanak-kanak atau mereka yang tidak sukakan pedas. Antara hidangan lain yang terdapat di Ramziela Delights adalah aneka cucur, asam pedas Muar, mee rebus, rojak dan macam-macam lagi. Selain itu, Ramziela juga akan menghiburkan pengunjung dengan alunan suara merdunya pada setiap malam Jumaat, Sabtu dan Ahad sebagai menghargai para pelanggannya. Ramziela menyajikan menu Asian Fusion di restorannya. Alamat: 24, Jalan Wan Kadir 4, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Petaling Jaya, Kuala Lumpur. Waktu operasi: Beroperasi setiap hari dari pukul 7.30 pagi hingga 12 malam (kecuali Selasa minggu kedua setiap bulan).