suria

Mahu bawa anak berhibur di MAPS? Ini tip dan perkara yang perlu anda tahu

-fotoTHESTAR

MENJELANG cuti sekolah tidak lama lagi, golongan kanak-kanak pastinya paling teruja kerana mereka akhirnya dapat berehat seketika dari aktiviti persekolahan.

Namun, keterujaan mereka mungkin memberi masalah kepada ibu-bapa yang sehingga kini belum mendapat idea untuk aktiviti yang sesuai untuk anak sepanjang cuti nanti.

Apa kata bawa anak-anak anda ke Movie Animation Park Studio (MAPS) yang terletak di Ipoh, Perak.

Taman tema animasi pertama di Asia ini pastinya satu pilihan yang tepat untuk menggembirakan anak-anak anda.

Namun, terdapat beberapa persediaan yang perlu dilakukan sebelum berkunjung ke sana.

Bawalah pakaian sesuai


-fotoTHESTAR

Sebelum berangkat ke MAPS, ibu-bapa seharusnya menyediakan pakaian yang sesuai untuk anak-anak mereka.

Suasana persekitaran di taman tema seluas 21 hektar itu agak panas dan kering. Jadi, pakaian bersesuaian hendaklah dipakai agar tidak mengganggu 'mood' dan keterujaan.

Sebaiknya, pengunjung digalakkan memakai pakaian yang dibuat dari fabrik menyerap peluh. Bagi kanak-kanak lelaki khususnya, sudah memadai dengan memakai t-shirt dan seluar pendek sahaja.

Harus diingat, anda tidak digalakkan memakai selipar. Seeloknya, pakai kasut kerana ia lebih selamat ketika menaiki permainan di taman tema itu.

Selain itu, anda juga digalakkan memakai topi atau membawa payung bagi berlindung dari cahaya matahari yang terik sepanjang pengembaraan anda di sana.

Penting juga untuk anda menyapu krim pelindung sinaran matahari bagi mengelakkan kulit menjadi gelap dan kering.

Banyak tempat makan

Dari segi makanan pula, ada baiknya jika anda terus bersarapan di rumah atau hotel sebelum berangkat ke MAPS. Sedikit-sebanyak anda dapat menjimatkan perbelanjaan, apatah lagi jika datang secara berkumpulan atau membawa keluarga besar.

-fotoTHESTAR

Namun, bagi yang mempunyai bajet lebih, anda boleh mencuba beberapa restoran yang terdapat di MAPS. Antaranya, restoran Coral Kingdom, Tok Abah Kokotiam, restoran Starship, The Pitstop Cafe dan The Metrocity Diner.

Beli tiket awal


-fotoTHESTAR

Selain itu, anda juga boleh membeli tiket secara dalam talian sahaja. Dari rumah, anda boleh mencetak tiket berkenaan.

Cara ini pastinya lebih efisyen dan menjimatkan masa.

Di pautan itu, anda boleh melihat beberapa pilihan pakej tiket yang ditawarkan serta diskaun harga yang disediakan sempena musim cuti sekolah.

Enam zon, 'tepuk dada tanya selera'

Dalam pada itu, MAPS menawarkan lebih 40 tarikan dari enam zon berbeza.

Di Lakeside Zone misalnya, anda boleh mencuba tiga permainan yang mencabar adrenalin iaitu Space X-Plorers, Hyper Spin dan Asteroid Attack.

Ketiga-tiga permainan ini terletak bersebelahan dengan tasik. Jadi, anda dapat menikmati pemandangan indah sewaktu bermain ketiga-tiga permainan ini.

Bagi mereka yang takut akan ketinggian, anda tidak digalakkan mencuba tiga permainan ini. Sebaliknya, mereka boleh mencuba aktiviti yang terdapat di zon lain.

Di Live Action Zone pula, penonton boleh menyaksikan pertunjukan kereta lagak ngeri.

Pertunjukan kereta lagak ngeri di Stunts Legend Arena, MAPS, yang setaraf dengan persembahan antarabangsa.

Sewaktu kunjungan mStar Online ke MAPS, rata-rata pengunjung kelihatan memberi 'standing ovation' sejurus berakhirnya pertunjukan itu sebagai tanda berpuas hati dengan apa yang dipertontonkan kepada mereka.

Malah, mereka juga tidak melepaskan peluang untuk merakam foto kenangan bersama pelaku lagak ngeri yang menjayakan pertujukan itu.

Bagi mereka yang menggemari kartun pula, mereka wajib ke The Smurf Theatre yang terletak di Blast Off Zone.

-fotoTHESTAR

Di situ, mereka dapat menyaksikan pertunjukan The Smurf secara live. Penonton juga boleh turut serta dalam pementasan itu menerusi beberapa babak yang memerlukan bantuan mereka.

Pastinya, ia menjadi salah satu tarikan utama khususnya buat anak-anak kecil yang menggilai karakter popular itu.

Anda tidak akan rasa rugi membelanjakan wang untuk masuk ke MAPS kerana pengalaman yang anda dapat di sana pastinya tidak dapat ditukar dengan wang ringgit.

Ia bukan sekadar untuk hiburan sahaja, malah anda boleh mencipta kenangan manis bersama ahli keluarga.

MAPS Ipoh, taman tema, cuti sekolah

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan