SETIAP orang mempunyai minat yang berbeza terutama apabila melibatkan kembara ke negara lain. Ada yang menetapkan aktiviti membeli-belah sebagai keutamaan setiap kali berkunjung ke luar negara. Ada juga yang mahu mengikuti aktiviti sukan seperti golf atau aktiviti lebih mencabar seperti mendaki gunung. Justeru, tidak hairanlah jika ramai pengembara akan memastikan lokasi percutian yang dipilih mempunyai sesuatu yang menarik minat mereka. Oh ya, ada juga yang berminat untuk makan atau boleh dikaitan dengan pelancongan gastranomi iaitu memastikan lokasi kunjungan ada menyediakan makanan enak atau terkenal. Namun, bagi penulis sendiri alam semujadi dan sejarah tetap menjadi pilihan hati. Penulis dan rakan-rakan tidak melepaskan peluang bergambar di pusat ski Sierra Nevada, Sepanyol. Selain mendamaikan dan dapat melegakan minda, alam semula jadi juga lebih mendekatkan diri dengan ciptaan Allah dan membolehkan kita lebih berfikir tentang kebesaran ciptaan-Nya. Begitu juga sejarah yang dapat memberikan pengajaran dalam meneruskan kehidupan serta dijadikan panduan dalam mengharungi hidup yang penuh cabaran dan dugaan. Kali ini penulis ingin berkongsi beberapa lokasi pergunungan di Afrika dan Eropah yang menakjubkan. Walaupun terkenal sebagai pusat ski tatkala tiba musim sejuk, kawasan pergunungan ini sangat indah terutama tiba musim bunga dan panas. Ini kerana masih ada kesan salji di puncak atau dikenali sebagai ‘snow cap’, selain hutan menghijau yang menyelimuti kawasan pergunungan. Pergunungan Atlas berkongsi dengan tiga negara Kota Marakech, Maghribi terletak di kaki Pergunungan Atlas Umpama permata yang utuh terpelihara, begitulah sinonimnya Pergunungan Atlas yang berkongsi dengan tiga negara disebabkan banjaran gunungnya merentasi sepanjang barat laut Afrika menjulur sekitar 2,500 km melalui Maghribi, Algeria dan Tunisia. Ia juga juga terkenal dengan penempatan terpencil masyarakat Berber, Maghribi. Jika berpeluang berkunjung ke Marakech, Maghribi, kita boleh melihat keindahan pergunungan ini terutama di musim sejuk kerana kota ini terletak di kaki jajarannya. Julian Alps Slovenia mempesonakan Tasik Bled menghadap Julian Alps Slovenia Slovenia, negara terletak di timur Eropah ini cukup terkenal kerana keindahan alam semula jadinya terutama landskap geografi yang mengagumkan. Puncak paling tinggi adalah Gunung Triglav setinggi 2,864 meter juga menjadi gunung tertinggi di negara bekas Yugoslovia ini. Tasik Bled yang terkenal dalam kalangan pelancong terletak di kaki Julian Alps. Jika singgah di tasik ini, tentunya kita tidak terlepas dari menyaksikan keindahan ciptaan Allah ini. Sierra Nevada, Sepanyol Sierra Nevada bukan hanya ada di Amerika Syarikat tetapi juga di Sepanyol. Terletak di selatan Sepanyol atau wilayah Andalusia, Sierra Nevada dalam bahasa Sepanyol bermaksud jajaran pergunungan yang sentiasa diselimuti salji. Pusat ski masih dibuka walaupun sudah di akhir musim bunga di Sierra Nevada,Sepanyol Memang benar pun. Ini kerana walaupun sudah di akhir musim bunga, pusat ski masih dibuka untuk bermain salji kerana kawasan itu masih tebal saljinya. Malah, keindahan Sierra Nevada turut mewarnai kecantikan Alhambra, kompleks kota dan istana yang dibina pemerintah Islam di Sepanyol sekitar pertengahan kurun ke-13, yang terletak menghadap pergunungan itu. Pergunungan Tatra, Slovakia indah di musim bunga Pergunungan Tatra meliputi kawasan seluas 785 kilometer persegi dengan 77 peratus kawasan berada di Slovakia dan selebihnya Poland. Pergunungan Tatra di Slovakia yang mendamaikan. Puncak tertinggi dikenali sebagai Gerlach, terletak di utara pekan comel dikenali sebagai Poprad. Menggembara di bumi Slovakia tentunya tidak sah jika tidak singgah bergambar di latar belakang Pergunungan Tatra. Ada beberapa 'spot' yang boleh dijadikan persinggahan untuk bergambar cuma perlu memastikan pemandu tidak terlepas.