suria

Mahukan destinasi santai dan romantik? Cubalah ke Perth!

Fremantle Market hanya dibuka pada hujung minggu antara kemestian jika ke Perth, Australia.

JIKA anda pengikut setia drama bersiri ‘Jangan Benci Cintaku’, pasti anda terpesona dengan keindahan bumi Perth. Jadi, tidak hairan jika ramai yang mula menyimpan angan untuk menjejakkan kaki ke sini. Apa tidaknya, tempat-tempat yang dilawati oleh Fika dan Shah seperti dalam drama itu sememangnya mempesonakan.

Bagi yang pernah menjejakkan kaki ke kota yang terletak di sebelah Australia barat ini, Perth pasti tidak pernah mengecewakan. Sebabnya, kota yang didirikan oleh  Kapten James Stirling pada tahun 1829 ini menjanjikan suasana percutian santai dengan keindahan alam yang menambat jiwa.

Tak kenal, maka tak cinta. Tidak seperti kota Sydney, Perth sebenarnya cukup ideal untuk mereka yang impikan percutian santai dan romantik. Ini kerana ia bebas daripada kesesakan trafik sehingga membolehkan anda mengelilingi Perth dengan memandu sendiri.

Perth menjanjikan sebuah percutian santai dan romantik.


Paling seronok, tiada jalan bertol, jadi tidaklah membebankan. Harga petrol memang lebih mahal berbanding di Malaysia, tetapi percayalah pelaburan anda pasti berbaloi-baloi. Dengan memandu sendiri, banyak  tempat-tempat menarik yang boleh diterokai.

Meninjau tinggalan sejarah di Fremantle

Kalau sudah sampai ke Perth, jangan sesekali melupakan Fremantle atau lebih dikenali sebagai Freo di kalangan penduduk tempatan. 

Jika mahu memandu sendiri ke pekan yang juga terkenal dengan hidangan Fish & Chips ini, pastikan anda keluar awal-awal pagi untuk memudahkan anda mencari parkir kereta.

Bandar Fremantle yang masih mempunyai bangunan-bangunan bersejarah.


Fremantle merupakan bandar lama. Banyak bangunan-bangunan lama yang kaya dengan sejarah. Kalau mahu dibuat perbandingan, mungkin ada sedikit persamaan dengan Bandar Hilir di Melaka. Kalau ke sini pada hujung minggu, jangan lupa menjenguk ke Fremantle Market.

Pasar yang berada di dalam bangunan yang dibina pada tahun 1897 ini menempatkan lebih 150 gerai-gerai yang menjual pelbagai barangan yang boleh dijadikan kenang-kenangan. 

Malah, anda juga boleh mendapatkan buahan-buahan segar untuk dijadikan bekalan sepanjang tempoh percutian. Sebabnya, harganya lebih murah berbanding di pasaraya.

Suasana persekitaran Fremantle Market memang mengujakan. Ada bermacam-macam persembahan daripada penghibur jalanan.

Fremantle Prison yang menyimpan pelbagai kisah misteri.


Selain itu, boleh juga melawat Penjara Fremantle yang  telah dimasukkan dalam senarai Tapak Warisan Dunia Unesco pada 2011. Penjara yang tidak lagi digunakan itu kini dijadikan muzium dan dibuka kepada umum.

Banyak yang boleh dipelajari sekiranya anda berminat mengikut walking tour yang disediakan. Dengan penerangan yang diberikan membuatkan kita sedar betapa besarnya erti kebebasan.

Untuk menjamu selera, terdapat beberapa kedai yang berstatus halal. Berhadapan pintu masuk utama Fremantle Market juga ada sebuah kedai yang menghidangkan masakan Malaysia seperti Nasi Goreng, Bihun Goreng, Nasi Lemak, dan Roti Canai. 

Namun, Fremantle sebenarnya terkenal dengan keenakkan makanan laut. Jadi di mana sepatutnya menjamu selera?

Cicerello’s by The Jetty

Restoran ini menyediakan hidangan Fish & Chip yang dinobatkan sebagai The Most Famous In Town. Harganya AUD15 (RM44.50).

Satu lagi menu mesti cuba ialah Salt & Pepper Chili Squid. Harganya AUD12 (RM35.60) tanpa kentang goreng. Sotong yang digoreng dengan rempah istimewa ini cukup segar dan menyelerakan.

Cicerello's by The Jetty yang menghidangkan pelbagai hidangan makanan laut yang menyelerakan.

Enak di makan begitu sahaja. Sambil menjamu selera, bolehlah menikmati pemandangan laut yang indah lebih-lebih lagi ketika matari terbenam. 

Mesti pergi ke Rottnest Island

Rottnest Island, the simple pleasures in life! Rasanya ramai yang tahu tentang kewujudan pulau ini kerana  adanya haiwan marsupial yang cukup comel, iaitu Quokka. Pasti ada yang memendam rasa untuk bergambar bersama haiwan ini.

Lagipun Rottnest Island yang juga dikenali sebagai ‘Rotto’ ini terletak tidak jauh dari pusat bandar Perth. Cara mudah untuk ke sana ialah dengan menaiki feri Rottnest Express.

Perjalanan dari Barrack Street Jetty mengambil masa kira-kira 90 minit perjalanan. Sepanjang perjalanan boleh menikmati pemandangan Sungai Swan yang mendamaikan.

Magikal alam di Rottnest Island.


Bagaimanapun jika anda tidak suka menaiki feri terlalu lama, bolehlah mengambil feri di Fremantle yang terletak kira-kira setengah jam pemanduan dari pusat bandar Perth. Dari jeti B-Shed, Fremantle perjalanan hanya mengambil masa 25 minit dan tambangnya lebih murah.

Rottnest Island ini memang sangat cantik! Sukar diungkapkan dengan kata-kata. Sebab itu ramai yang sanggup mengeluarkan bajet untuk ke sini. Jika mengambil feri dari B-Shed, Fremantle, tambang feri pegi balik berserta tiket masuk pada hujung minggu ialah AUD69 (RM204).

Untuk selfie bersama Quokka, anda sebenarnya tidak perlu susah-susah mencari haiwan comel ini kerana ia memang banyak berkeliaran dan jinak.  Kanak-kanak pun pasti suka dengan haiwan comel ini. Tapi ingat! jangan beri makanan kepada Quokka kerana ia dilarang sama sekali.

Selfie bersama Quokka mesti buat ketika di Rottnest Island.


Cara terbaik untuk mengelilingi pulau ini adalah dengan berbasikal.  Sebabnya anda boleh berhenti sesuka hati apabila terjumpa spot menarik untuk berselfie atau bergambar bersama rakan-rakan. Satu tip, beli tiket lebih awal kerana tiket feri sering kehabisan terutamanya di hujung minggu.

Beli pakej yang menawarkan tiket feri dua hala, basikal untuk kegunaan harian dan helmet. Harganya sekitar AUD94 (RM279). Cuma perlu ingatkan keluasan pulau ini ialah 19 kilometer persegi. Jadi, kalau berbasikal tu memang menguji stamina sebab perlu naik bukit, turun bukit.

Perth, jelajah, #mstarjelajah

Artikel Lain