suria

Damai... Di Belum Rainforest Resort pun boleh berbulan madu!

Belum Rainforest menawarkan penginapan serba mewah dan sesuaim untuk berbulan madu.

PERCUTIAN dalam negara sebenarnya tidak kurang hebat berbanding percutian ke luar negara. Bahkan kadangkala pengalamannya lebih berharga. Bagi yang pernah menjejakkan kaki ke Hutan Simpan Royal Belum atau ke Tasik Banding, Perak pasti mengetahui tentang kewujudan Belum Rainforest Resort.

Hotel bercita rasa mewah ini menjanjikan sebuah percutian yang cukup mendamaikan. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang cintakan kehijauan alam serta ingin lari dari kesibukan kota yang kadangkala menyesakkan fikiran. Malah, juga sesuai untuk pasangan yang ingin berbulan madu.

Untuk ke resort yang menjadi gerbang kepada Hutan Simpan Royal Belum ini, anda perlu memandu kira-kira lima jam dari Kuala Lumpur. Memang agak memenatkan, tetapi percayalah sebaik sahaja melintasi Tasik Temenggur yang menjadi latar alam di sini, hati akan berbunga riang.

Menawarkan tujuh jenis penginapan bercita rasa mewah termasuk villa, Belum Rainforest Resort turut dilengkapi dengan kemudahan bertaraf lima bintang yang lain seperti bilik seminar, kolam renang, kafe untuk menjamu selera dan tidak ketinggalan Puteri Dewi Spa.

Keindahan Tasik Temenggur sentiasa menggamit kedatangan pengunjung.

Bagi yang bercadang untuk berbulan madu, bolehlah menginap di Traditional Chalet atau Kampung House. Ini kerana penginapan ini punya pemandangan alam mengasyikkan.

Tasik Temenggor terbentang di depan mata. Sambil menyulam cinta, boleh mengabadikan potret-potret romantik untuk dibawa pulang sebagai kenangan.

Tentang harga usah bimbang kerana ianya berbaloi. Lebih-lebih lagi jika anda berada di sini pada hari-hari bekerja.

Puas bermalas-malasan di bilik, boleh luangkan masa di kolam renang ataupun buat rawatan di Puteri Dewi Spa. Ada pakej untuk pasangan yang berharga RM300. Pakej yang mengambil masa satu jam setengah ini terdiri daripada rawatan spa kaki dan juga urutan badan Tradisional Bali.

Perkampungan Orang Asli turut mejadi loksi singgahan pengunjung yang ingin mengintai keunikan budaya masyarakat pribumi ini.

Jika berminat untuk meneroka Hutan Belum dan kawasan sekitarnya, pihak hotel juga ada menyediakan beberapa pakej menarik untuk disertai. 

Antaranya ialah Discover Belum, Temenggor Walk, Discover Lower Belum, Round Island Cruise, dan Rafflesia Walk.

Berikut antara tarikan yang ada di Hutan Simpan Royal Belum

Menjejak Bunga Rafflesia

Ada tiga spesis bunga Rafflesia yang boleh dilihat di Hutan Simpan Royal Belum iaitu R. Cantleyii, R. Kerrii dan R. Azlanii. Namun bunga ini bukan ada sepanjang tahun. Jadi untuk menjejak bunga ini, pastikan anda mendapat maklumat yang betul tentang jangka hayat bunga Rafflesia. Ini kerana ia mengembang  dan mati dalam masa dua minggu sahaja.

Melawat Perkampungan Orang Asli

Hutan ini bukan sahaja dihuni oleh flora & fauna, tetapi ada juga didiami oleh masyarakat Orang Asli daripada suku Jahai dan Negrito. Selalunya jika mengambil pakej lawatan ke perkampungan Orang Asli ini, pengunjung akan dibawa ke Kampung Orang Asli Sungai Tiang dan Kampung Orang Asli Aman Damai.

Kampung Aman Damai yang dihuni oleh Masyarakat Orang Asli daripada keturunan Jahai dan Negrito.

Selain itu juga ada Kampung Orang Asli Sungai Kejar dan Kampung Orang Asli Belum Lama. Jangan lupa bawa sedikit buah tangan untuk diagih-agihkan kepada kanak-kanak. Boleh bawa makanan atau alatan persekolahan.

Jungle Trekking ke Air Terjun Sungai Kooi

Kalau suka dengan aktiviti lasak, bolehlah keluarkan peluh dengan trekking ke Air Terjun Sungai Kooi. Difahamkan air terjun ini merupakan tarikan paling menarik Hutan Simpan Royal Belum. Untuk sampai ke sini, pengunjung perlu meredah hutan, menuruni bukit dan mendaki tanah tinggi. Perjalanan mengambil masa kira-kira setengah jam dari jeti bot. Biarpun pun agak penat, tetapi ianya berbaloi.

Melihat lokasi salt lick

Salt lick adalah kawasan di mana terdapatnya garam mineral terkumpul dan pelbagai haiwan akan datang ke situ untuk menjilat garam mineral sebagai salah satu sumber nutrisi. Terdapat 12 lokasi salt lick di Royal Belum.

Antara penginapan menarik di Belum Rainforest Resort.

Pengunjung dinasihatkan tidak berbuat bising ketika berada di kawasan ini serta dilarang mengambil sebarang benda untuk dibawa pulang.

Untuk maklumat lanjut tentang Belum Rainforest Resort boleh layari laman sesawang mereka di http://www.belumresort.com

Artikel Lain