suria

5 lokasi pilihan jika pertama kali jejak Kunming

Selain perlu memakai kasut yang sesuai, anda juga boleh membawa payung bersama kerana cuaca agak panas di Stone Forest.

DENGAN suhu purata 15 darjah celsius ke 23.1 darjah celsius sepanjang tahun, Kunming, ibu kota wilayah Yunnan ini merupakan kota yang mempunyai iklim terbaik di seluruh China. 

Malah ia turut digelar sebagai ‘The City Of The Eternal Spring’. Terletak pada ketinggian 1,900 meter dari paras laut, Kunming juga sentiasa dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga-bungaan.

Tetapi faktor cuaca bukanlah satu-satunya sebab yang menarik berjuta-juta pelancong setiap tahun. Sebaliknya Kunming menawarkan pelbagai keistimewaan lain seperti makanan tempatan, keunikkan budaya, tempat berbelanja, serta keajaiban alam.

Secara dasarnya, kota Kunming sangat pesat membangun. Banyak bangunan pencakar langit yang megah berdiri. Arus trafik di ibu kota ini juga sangat sibuk. Selain dipenuhi dengan motosikal dan kenderaan lain, jalan raya di sini juga dipenuhi dengan pejalan-pejalan kaki.

Dari September ke pertengahan Januari, Daguan Park dipenuhi dengan burung-burung camar yang berhijrah dari Siberia.

Satu fakta yang anda perlu tahu, tiada perbezaan waktu di antara Malaysia dan Kunming. Jadi ke mana harus dituju?

Jika anda ke sini untuk percutian kurang daripada seminggu, tidak mungkin anda punya masa yang mencukupi untuk menjengah ke semua tempat menarik. Ini kerana wilayah Yunnan ini cukup luas untuk diteroka, malah perjalanan dari satu tempat ke satu tempat mengambil masa yang agak panjang.

Berikut senarai tempat-tempat yang mesti dilawati oleh pengunjung kali pertama. Nikmati keindahan alam dan pelajari keunikkan budaya masyarakat di sini.

Pementasan Dynamic Yunnan

Seni persembahan muzikal ini adalah aktiviti yang mesti anda tontoni apabila menjejakkan kaki ke Kunming. Dihasilkan, diarahkan, dan dikoreografi oleh penari terkenal China, Yang Liping, Dynamic Yunnan adalah tarian rakyat dan lagu prestasi yang menampilkan kekayaan kepelbagaian budaya Yunnan.

Senibina yang mencerminkan sejarah dan budaya Kunming yang bermula ribuan tahun dahulu.

Persembahan yang mengambil masa kira-kira dua jam ini menggabungkan teknik tradisional dan moden dengan hasil menakjubkan, mempamerkan keindahan seni wilayah ini. Tarian Burung Merak atau Peacock Dance adalah tumpuan utama kepada persembahan ini. Liuk-lentok tubuh Sang Penari sungguh menggagumkan. Tak sangka ada penari sehebat itu.

Jadi, jangan berkira untuk membeli tiket yang berharga di antara RMB140 ke RMB200 (RM84 ke RM120). Percayalah, anda tidak akan menyesal.

Stone Forest

Terletak 90 kilometer dari kota Kunming, Stone Forest atau Shilin adalah lokasi pelancongan yang mesti dilawati. 

Menawarkan lanskap alam mempesona, hutan batu ini mempunyai keluasan 350 kilometer kaki persegi dan terbahagi kepada tujuh bahagian iaitu Lizijing Stone Forest,  Naigu Stone Forest, Zhiyun Cave,  Lake Chang , Lake Yue, Dadie Waterfall dan Qifeng Cave. Naigu Stone Forest telah digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2007.

Magikal alam yang memukau di Stone Forest

Jika ingin  meneroka kawasan berbatu ini, dinasihatkan anda memakai kasut yang sesuai untuk memudahkan pergerakan. Lebih baik datang awal pagi untuk mengelakkan kesesakan jika di hujung minggu atau musim cuti. 

Paling penting, jangan lupa bawa minuman mencukupi kerana banyak juga anda kena berjalan untuk mengintai setiap inci kawasan ini. Tapi jika tidak mampu berjalan kaki, boleh ambil perkhidmatan buggy dengan harga RMB200 (RM120).

Western Hills

19 kilometer dari Kunming, terletak Western Hills yang menjadi sebahagian daripada rentetan pergunungan yang indah.  Western Hills memang popular di kalangan penduduk tempatan yang gemar beriadah dengan mendaki pergunungan ini.

Jika enggan mengerah tenaga atau punya masa yang terhad, bolehlah menaiki dan teruskan perjalanan ke puncak dengan menaiki buaian kabel sehingga ke puncak.  Memang menyeronokkan. Dengan udara sejuk, nyaman, mata asyik tertumpu kepada pemandangan menakjubkan.

Pemandangan indah dari puncak Western Hills.

Berada di sepanjang tebing barat Dianchi Lake, mewujudkan pemandangan indah air, gunung, dan langit. Jika dilihat dari jauh, latar langit beralun yang kelihatan seperti seorang wanita muda anggun berbaring santai di tepi tasik dengan rambut panjang menggurai. Dek kerana itu, penduduk setempat menggelarkan pemandangan ini sebagai ‘Sleeping Beauty’.

Daguan Park (Grand View Park)

Dari Western Hills, anda boleh singgah ke Daguan Park yang terletak di persisiran Dianchi Lake. Dibuka pada setiap hari dari jam 8.30 pagi sehingga jam 6.00 petang, yuran masuk dikenakan sebanyak RMB20 (RM12.00) untuk setiap pengunjung.

Menyingkap sejarah pembinaan taman ini ia sebenarnya hanyalah tempat untuk sami-sami Buddha menuntut ilmu. Seorang sami bernama Qianyin  telah membina sebuah kuil kecil pada 1682.

Lapan tahun kemudian, pemerintah Wilayah Yunnan, Wang Jiwen tertarik dengan pemandangan alam yang indah di sini dan mula membina sebuah taman yang sehingga kini menjadi tarikan utama Kunming. Dari September ke pertengahan Januari, taman ini dipenuhi dengan burung-burung camar yang berhijrah dari Siberia.

Daguan Ancient Town

Jika anda ingin membeli cenderahati untuk dibawa pulang, Daguan Ancient Town ini adalah tempat yang patut dikunjungi. Pelbagai barangan yang ditawarkan di sini seperti selendang kain kapas, selendang sutera, rantai kunci, hasil-hasil kraftangan penduduk tempatan dan banyak lagi.

Daguan Ancient Town ini adalah tempat untuk mendapatkan pelbagai cenderahati pada harga murah.

Satu masalah untuk tawar-menawar di sini ialah, kekangan bahasa. Penjual di sini tidak memahami bahasa Inggeris. Jadi gunakan kalkulator untuk urusan pembelian. Jika tidak mahu berbelanja, bolehlah melihat-melihat struktur bangunan-bangunan lama yang masih dipertahankan sehingga kini.

Satu info yang ingin dikongsi, di sini adalah tempat untuk mencari cenderamata dengan harga paling murah. Jika di tempat-tempat lain, harganya jauh lebih tinggi.

Kunming, jelajah, #mstarjelajah, travel

Artikel Lain