JAMBATAN merentasi laut yang terpanjang di dunia akhirnya dibuka secara rasmi di China, baru-baru ini. Jambatan sepanjang 55 kilometer (34 batu) itu mampu menghubungkan Hong Kong ke Macau serta bandar Zhuhai. Ia sekali gus memudahkan pergerakan 68 juta penduduk yang berada di kawasan sekitar. Sepanjang tempoh pembinaan, ia berdepan dengan beberapa isu kontroversi termasuklah kematian 18 pekerja. Jambatan yang bernilai $20 bilion (RM83.68 bilion) itu dibina dengan teknologi yang menjadikan ia kalis taufan dan gempa bumi. Jambatan itu mampu memberi manfaat kepada 68 juta penduduk sekitar. Malah, sebanyak 400,000 tan besi keluli digunakan dalam jambatan itu, bersamaan dengan jumlah yang diperlukan untuk membina 60 Menara Eiffel di Paris. Suatu ketika dahulu sebelum kewujudan jambatan ini, penduduk setempat perlu meredah perjalanan sehingga empat jam dari Zhuhai ke Hong Kong. Kini, masa itu berjaya dipendekkan kepada 30 minit sahaja. Bagi mereka yang ingin menggunakan jambatan ini, mereka perlu memohon permit khas yang dikeluarkan mengikut sistem kuota. Malah, semua kenderaan yang melaluinya juga wajib membayar tol. Selain kenderaan persendirian, tiada pengangkutan awam dibenarkan melalui jambatan itu melainkan bas henti-henti yang disediakan oleh pihak pengurusan sahaja. Mengikut jangkaan, jambatan itu bakal dilalui kira-kira 9,200 kenderaan pada setiap hari. Satu fakta yang paling menarik mengenai jambatan ini, sejumlah kamera akan dipasang dan ia berupaya mengesan pemandu yang mengantuk. Misalnya, jika anda memandu di atas jambatan itu dan dikesan menguap lebih tiga kali, kamera berkenaan secara automatik akan memaklumkan nombor pendafaran kereta anda kepada pegawai bertugas. Pembinaan jambatan itu dikatakan memberi kesan kepada spesis ikan lumba-lumba di perairan sekitar. Malah, 48 kamera berdefinisi tinggi juga bakal dipasang bagi membantu mengesan serangan pengganas di atas jambatan itu. Dalam pada itu, pembinaan jambatan mega berkenaan turut menerima reaksi kurang senang dalam kalangan aktivis alam sekitar. Ujar mereka, pembinaan itu secara langsung telah memberi kesan negatif kepada kehidupan marin khususnya spesis ikan lumba-lumba yang mendiami perairan itu. Menurut Timbalan Pengarah Pemuliharaan Laut di Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF), berlaku penurunan jumlah ikan lumba-lumba sejak jambatan itu dibina. "10 tahun lalu, perairan di sekitar jambatan itu mencatatkan bilangan 148 ikan lumba-lumba sebelum ia turun kepada 48 sahaja. "Saya bimbang tidak akan ada lagi ikan lumba-lumba di sekitar perairan jambatan itu selepas ini," ujarnya.- BBC.