suria

Penat pilih buku di BBW? Jangan risau, Cafe Wolf dibuka 24 jam

Troli-troli para pengunjung yang diletakkan di depan gegantung Cafe Wolf.

BAGI mereka yang belum berkesempatan untuk berkunjung ke jualan buku terbesar, Big Bad Wolf (BBW) yang telah dilancarkan Khamis lalu, jangan bimbang kerana anda masih belum terlambat.

Ini kerana, jualan buku BBW ini beroperasi selama 24 jam di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) dan akan berakhir pada 17 Disember nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian 'ulat buku'! 4.5 juta bahan bacaan menanti di Big Bad Wolf

Terdapat lebih 4.5 juta buku untuk dipilih oleh 'ulat buku' yang tentunya akan rambang mata sebaik melangkah ke pusat pameran tersebut!

Pelanggan beratur untuk membuat pesanan di Cafe Wolf.

Buat pertama kalinya tahun ini, BBW memperkenalkan Cafe Wolf untuk menawarkan jualan minuman dan makanan kepada semua pengunjung yang hadir.

Apa yang istimewanya Cafe Wolf ini? Ia turut dibuka selama 24 jam dan anda tidak perlu bimbang jika perut lapar pada pukul 3 pagi ketika sedang asyik memenuhkan troli dengan buku-buku yang ada.

Makanan yang terdapat di Cafe Wolf ini antaranya adalah nasi lemak ayam goreng, nasi dan ayam pedas Thailand selasih, mi goreng 'speshel', spageti, kek dan pelbagai jenis minuman termasuk kopi.

Kalau rasa tekak tiba-tiba haus, boleh lah singgah minum kopi latte di Cafe Wolf sebentar sebelum kembali mencari buku yang anda inginkan. 

Lokasi kafe ini pula tidak sukar dicari kerana ianya terletak di bahagian kiri pusat pameran yang bertentangan dengan pintu masuk dan berhampiran dengan seksyen bahan bacaan kanak-kanak.

Pengunjung hendaklah meninggalkan troli buku di luar ruang kafe agar dapat memberikan keselesaan kepada pelanggan lain.

Pemerhatian saya ketika berpeluang ke sana baru-baru ini, antara tip yang boleh dikongsikan adalah pemilihan pakaian yang selesa.

Pastikan anda memakai selipar atau kasut yang bersesuaian kerana anda berkemungkinan akan meluangkan masa selama beberapa jam di dalam pusat pameran ini.

Jangan pula datang dengan kasut bertumit tinggi! Takut nanti tak sempat nak menerokai semua seksyen buku yang ada kerana kaki sudah mula melecet.

Bagi ulat buku yang memang bercadang untuk memborong bahan bacaan, pastikan anda membawa bagasi atau troli yang dapat memuatkan semua 'tangkapan' agar mudah untuk dibawa pulang ke rumah nanti.

Tip terakhir sudah tentu tentang memastikan keselamatan anak-anak sentiasa diawasi terutama kepada ibu bapa yang merancang untuk membawa si kecil bersama-sama meneroka lokasi sarat dengan ilmu ini.

Big Bad Wolf

Artikel Lain