suria

Seronoknya jalan-jalan di Singapura sempena Krismas

Kemeriahan suasana malam di Prudential Marina Bay Carnival.

BAGI sesiapa yang pernah menikmati percutian di Singapura pada musim perayaan Krismas dan tahun baharu pasti anda tahu bagaimana kemeriahan suasananya di seluruh Kota Singa. 

Boleh dikatakan setiap jalan-jalan utama dihias dengan dekorasi indah yang pastinya menggamit kedatangan pelancong.

Biarpun negara jiran itu tidak menjanjikan suasana dingin seperti di negara-negara Eropah, namun pengalaman bercuti di Singapura pada hujung tahun sememangnya sesuatu yang berbaloi. Percayalah, suasana atau ‘vibesnya’ tidak sama seperti di Malaysia.

Jadi, jika sehingga kini anda masih tercari-cari destinasi percutian bagi menghabiskan cuti tahunan, apa kata panjangkan langkah ke Singapura.

The Great Christmas Village antara tarikan yang ada di Orchard Road.

Selain boleh membeli-belah pada harga yang istimewa, anda juga boleh mengikuti pelbagai aktiviti menarik bersama teman-teman, mahupun keluarga.

Berikut tiga lokasi yang boleh dilawati jika anda ke Singapura dalam waktu terdekat ini sehinggalah menjelang tahun baru 2019.

Orchad Road

Menampilkan tema Disney Magical Moments - Christmas on A Great Street! Lokasi membeli-belah yang popular di kalangan pelancong ini memang menyeronokkan untuk dikunjungi.

Dimeriahkan dengan dekorasi dunia imaginasi Disney, di sini anda akan tidak jemu-jemu mengambil gambar untuk dijadikan kenangan. Baik kanak-kanak mahupun dewasa, kehadiran Mickey Mouse dan rakan-rakan, Princess Elsa, Princess Anna, Olaf dan juga bintang-bintang utama filem animasi Disney yang lain pastinya mencuri perhatian.

Prudential Marina Bay Carnival membolehkan pengunjung mengikuti pelbagai aktiviti menarik.

Bagi yang membawa anak-anak, boleh singgah di The Great Christmas Village yang terletak di hadapan Ngee Ann City untuk mencuba pelbagai jenis permainan istimewa untuk kanak-kanak. Selain boleh bergambar dengan karektor-karektor animasi Disney, terdapat juga pokok-pokok Krismas yang dihias cantik.

Marina Bay

Seperti kebiasaan, Marina Bay tidak pernah gagal membawakan pelbagai aktiviti menarik sempena Krismas dan juga tahun baru.

Bermula 30 November sehingga 26 Disember ini, Garden by The Bay mempersembahkan Christmas Wonderland yang membawa pengunjung merentasi keajaiban Krismas. Garden by The Bay yang dilimpahi dengan kemilau cahaya menakjubkan ini meriah dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan.

Jangan lupa merakam kenangan di pokok Krismas luminarie tertinggi di Asia, yang berketinggian 21 meter. Di sini, anda akan terkejut dengan cermin maze luminari bersaiz 314 meter persegi yang mempesona pada ketinggian 22 meter.

Selain itu, jangan sesekali lepaskan peluang menikmati sajli yang akan turun pada setiap malam serta meluncur ais di bawah sinaran bintang. Christmas Wonderland bermula pada jam 4.00 petang hingga jam 11 malam.

Meluncur ais di bawah sinaran bintang merupakan salah satu tarikan yang ada di Gardens by The Bay.

Tiket-tiket pula berharga SGD34 (RM103.50) untuk dewasa dan SGD22 (RM67) untuk kanak-kanak.

Tahun ini Prudential Marina Bay Carnival kembali sekali lagi selepas mencipta kejayaan memberansangkan pada tahun lalu. Karnival yang bertempat di Bayfront Event Space ini bermula dari 22 Disember sehingga 24 Mac 2019.

Menawarkan 50 tunggangan dan permainan mendebarkan, pengunjung dijamin akan melalui masa-masa yang menarik.

Jika ingin menjamu selera, terdapat trak-trak menjual makanan pembuka selera. Sama ada menu antarabangsa mahupun citarasa tempatan.

Tidak ketinggalan, persembahan nyanyian daripada penghibur-penghibur tempatan. Karvinal ini bermula pada jam 4 petang sehingga 11 malam pada setiap hari. Bagaimanapun, pada malam Krismas dan tahun baru, operasi dilanjutkan sehingga jam 2 pagi.

Antara dekorasi Krismas yang menghiasi Gardens By The Bay.

Satu lagi aktiviti yang mungkin tidak mahu dilepaskan ialah kiraan detik 12 malam sempena tahun baru (New Year Countdown). Acara yang bakal berlangsung dalam suasana gilang-gemilang ini akan menampilkan satu persembahan muzik pelbagai derivatif yang dilengkapi dengan siri persembahan bunga api akan menyinari persekitaran Marina Bay sehingga ke detik 12 malam.

Universal Studios Singapore

Taman tema kegemaran ramai ini membawakan tema A Universal Christmas bagi meraikan perayaan Krismas tahun ini. Selain dihiasi dengan dekorasi Krismas yang menarik, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang direka khas untuk Krismas.

Jika melihat laman sesawang taman tema ini, terdapat 11 acara yang telah disusun untuk pengunjung. 

Bagaimanapun, Santa’s Snowy Sleigh Parade dan Santa's Christmas Light-Up Party merupakan acara kemuncak yang wajib ditunggu untuk pengalaman Krismas meriangkan dan bermakna di Universal Studio Singapura. Maklumlah setahun hanya sekali.

Dekorasi Krismas yang menyambut kedatangan anda sebaik sahaja melangkah masuk ke Universal Studio Singapore.

Pastikan anda datang awal untuk berseronok dengan permainan-permainan yang tersedia terlebih dahulu. Mengambil tempat di zon Hollywood dan New York, Santa’s Snowy Sleigh Parade dan Santa's Christmas Light-Up Party menampilkan Santa dan rakan-rakan menghiburkan pengunjung.

Tidak cukup dengan nyanyian dan tarikan, pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman salji turun menyirami bumi.

Sebelum mengundur diri, Santa dan rakan-rakan seperti Minion, Shrek, Puss in Boot, Princess Fiona, dan rakan-rakan animasi Madagascar turut memberi peluang kepada pengunjung bergambar dengan mereka.

Tiket lawatan sehari berharga SGD76 (RM231.30) untuk dewasa dan SGD56 (RM170.40) untuk kanak-kanak.

Singapura, #mstarjelajah, travel

Artikel Lain