JIKA disebut sahaja Indonesia sebagai destinasi pelancongan, tentu lokasi seperti Bali, Bandung, Jakarta dan Jogja yang pertamanya terlintas di fikiran kita bukan? Namun, nun jauh di Sumatera Selatan, berdirinya sebuah kota dengan 1001 sejarah, Palembang, yang mana kelibatnya mula kelihatan selepas terpilihnya kota ini sebagai salah satu lokasi acara sukan bersejarah Sukan Asia 2018 yang diadakan tidak lama dulu. Kanak-kanak bermain di tepi sungai. Mungkin asing pada pandangan pelancong luar, Palembang sebenarnya bukanlah calang-calang destinasi. Ia menyimpan pelbagai cerita menarik yang siap sedia diteroka, di balik kisah sejarahnya yang bukan sahaja menarik perhatian para pendeta, malah turut menanti keindahan kota dan tarikannya yang nyata. Masjid Cheng Ho dengan unsur Cina. Penerbangan dari Kuala Lumpur yang hanya mengambil masa satu jam 10 minit terasa amat singkat saat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di mana dari tingkap pesawat, anda akan disambut dengan pemandangan Sungai Musi, yang turut dikenali sebagai The Venice of Indonesia. Mana mungkin kita lupa akan sejarah Parameswara, yang asalnya dari Kota Palembang, kemudian berkelana ke tanah Melayu dan membuka Melaka. Berkeluasan lebih 370km persegi dengan populasi melebihi 1.5 juta penduduk, kota ini menghimpunkan penduduk dari pelbagai latar belakang dan etnik. Majmuknya masyarakat di sini boleh dilihat menerusi peninggalan lokasi sejarah yang menyimpan pelbagai kisah mengenai kota ini. Bukit Siguntang umpamanya merupakan tempat bersemadinya para bangsawan terkenal yang menjadi sebahagian daripada sejarah Palembang di mana ia merupakan antara lokasi yang boleh dikaitkan dengan kegemilangan Kerajaan Sriwijaya satu ketika dahulu. Antara kisah sejarah menarik yang mencuri perhatian saya adalah kewujudan Pulau Kemaro, pulau kecil yang punya pengaruh Cina yang kuat. Pagoda Pulau Kemaro. Tersergam indah sebuah Pagoda 9 tingkat di samping tokong Cina yang menjadi tarikan pulau ini terutamanya bagi pelancong Tionghua. Khabarnya, seorang pengeran Cina bernama Tan Boong An berhasrat melamar Puteri Siti Fatimah, puteri Palembang sendiri di mana kisah percintaan dua insan ini memayungi pengkisahan penuh erti Pulau Kemaro. Oh ya, untuk ke pulau ini anda perlu menaiki bot atau perahu yang menyusuri Sungai Musi. LRT Pertama Indonesia Setibanya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, para pelancong mempunyai pelbagai pilihan pengangkutan untuk ke Bandar Palembang yang terletak lebih kurang 15 km dari lapangan terbang tersebut. Selain perkhidmatan teksi, e-hailing dan bas, pastikan anda tidak ketinggalan mencuba menaiki LRT pertama di Indonesia. Ya, LRT pertama bukanlah di bandar-bandar moden seperti Jakarta mahupun Bandung, tetapi Palembang. LRT dengan 13 stesen ini menghubungkan lapangan terbang terus ke stesen terakhir di Jakabaring. Mula beroperasi sepenuhnya ketika Sukan Asia Ogos lalu, perjalanan selama sejam ke bandar menggunakan tren ini diserikan lagi dengan pemandangan indah Kota Palembang dari dalam tren. Menariknya, laluan tren ini turut melewati salah satu mercu penuh ikonik Palembang, Jambatan Ampera. Jambatan berwarna merah bata yang tersergam indah ini dibina bagi menghubungkan dua bahagian Palembang iaitu Seberang Ulu dan Seberang Ilir, melintasi Sungai Musi yang turut menjadi laluan utama penduduk di sini yang menggunakan bot dan perahu. Kehebatan Kulinari Tempatan Pastinya, makanan merupakan tarikan wajib bila mana kita ke sesebuah destinasi. Jika ke Palembang, tidak sah kunjungan anda jika tidak mencuba ‘pempek’, sejenis makanan tradisional yang menjadi kebanggaan mereka. Hampir di setiap jalan utama, pasti ada warung yang menjual makanan ini. Diperbuat daripada tepung sagu dan isi ikan, hidangan seakan bebola ikan dan keropok lekor ini dihasilkan dalam pelbagai variasi. Pempek, makanan istimewa di Palembang. Paling popular tentunya, pempek kapal selam yang mana saiznya menyamai segenggam penumbuk, dengan intinya diisi dengan telur ayam. Pada mereka yang seleranya tidak terlalu besar, pempek kulit serta pempek keriting bisa menjadi pilihan. Dimakan bersama kuah cuka versi Palembang yang mencampurkan kicap dan cili padi, pempek enak disajikan untuk minum petang. Pempek yang sudah divakuumkan juga disediakan buat mereka yang ingin membawa pulang juadah enak ini sebagai buah tangan. Lorong Basah Night Culinary (LBNC), merupakan tarikan terbaru kota ini. Menghimpunkan lebih 20 penjual makanan yang mewakili kepelbagaian hidangan di Palembang, tempat lepak ala Uptown di Malaysia ini sesuai dikunjungi keluarga dan teman-teman. Aneka makanan di Lorong Basah. Suasana santai yang sesekali dihiburkan dengan nyanyian busker tempatan, cukup membuatkan kemeriahan tempat ini dirasai. Dari pelbagai jenis minuman kepada hidangan daerah lain seperti Lele Goreng dan Bebek goreng, pengunjung berpeluang merasai juadah yang mengangkat profil kulinari masyarakat setempat. Sports Tourism Kemuncak pelancongan Palembang pastinya ketika berlangsungnya acara Sukan Asia 2018 berlangsung tahun ini. Kompleks Olahraga Jakabaring yang dibina, lengkap dengan fasiliti sukan kelas pertama merupakan kebanggaan baharu Kota Palembang. Pengunjung berpeluang mengunjungi kompleks ini di samping turut sama merasai pengalaman beraksi di kompleks sukan dengan keluasan kira-kira 325 hektar ini. Antara yang menarik perhatian adalah tempat berlangsungnya acara Tenpin Bowling yang menyediakan 40 lane permainan yang cukup moden serta gelanggang sukan lain seperti bola tampar pantai, menembak, tenis serta lain-lain lagi acara sukan bertaraf dunia. Bagi mereka yang bercadang datang ke mari, boleh juga merasai pengalaman menginap ala atlet di Perkampungan Sukan yang tersedia menanti. Pada yang sukakan aktiviti larian, kawasan di sekitar kompleks olahraga ini juga sesuai dijadikan laluan larian. Tarikan Pelancong Bagi pelancong yang beragama Islam, jangan lepaskan peluang mengunjungi Al-Quran Raksasa yang menjadi lokasi wajib kunjung jika ke kota ini. Terletak di Pondok Pesantren Al Ihsaniyah Gandus Palembang, Al-Quran ini telah pun dinobatkan antara tarikan paling menarik di seluruh Indonesia dalam satu majlis anugerah pelancongan yang diadakan di negara tersebut. Ia merupakan Al-Quran terbesar di dunia yang mempamerkan kesemua 30 juzuk ayat suci Al-Quran yang dipahat pada lembaran-lembaran kayu besar. Al-Quran gergasi terbesar di dunia ada di Palembang. Binaannya unik di mana pahatan Al-Quran diukir pada kayu tembusu, pastinya membuatkan sesiapa yang melihat teruja. Kampung Arab Al-Munawar juga mempamerkan keindahan seni bina Islam menerusi reka bentuk bangunannya, terutama rumah-rumah penduduk yang ada berusia 300 tahun lamanya. Menurut sejarah, orang-orang Arab telah datang ke Kota Palembang ketika zaman pemerintahan Belanda bagi tujuan berdagang dan ada di antara mereka yang jatuh cinta dengan keindahan kota ini sekali gus mula mendiami Palembang, dan dari situlah kampung ini terbina. Kampung Kapiten pula menyingkap kisah masyarakat Cina yang turut sama membangun kota ini manakala Muzium Sultan Mahmud Badaruddin di tengah kota Palembang membawa kita menyingkap bait-bait sejarah serta budaya masyarakat Palembang termasuklah perkara berkaitan adat perkahwinan dan banyak lagi. Lebih menarik lagi, reka bentuk muzium ini turut menampilkan rekaan rumah limas, rumah tradisional orang-orang Palembang. Bagi mereka yang bercadang membeli ole-ole buat tanda kenangan pada yang tersayang, Palembang cukup terkenal dengan songket buatan tangan yang cukup halus buatannya. Selain ke Pasar Ilir 16 yang menjadi lokasi popular pembelian cenderahati di kota ini, satu pusat sehenti yang mengumpulkan kraftangan dari serata Palembang iaitu Lenggok juga boleh dikunjungi para pelancong. Penginapan di kota ini juga boleh dipilih dari pelbagai variasi harga. Antara yang kerap menjadi pilihan pengunjung adalah The Zuri Hotel, di mana ketika saya menginap di sini, saya berpeluang bertentang mata dengan Pak Jokowi, presiden Indonesia yang turut sama bertandang ke hotel ini untuk acara rasminya. Secara keseluruhannya, Palembang merupakan sebuah destinasi yang sesuai dikunjungi seisi keluarga. Tidak keterlaluan jika saya katakan Palembang adalah destinasi wajib anda kunjungi jika berhasrat mahu ke Indonesia. Harga makanan dan barangan yang berpatutan juga kepelbagaian budaya yang meraikan perbezaan mampu membuatkan pengalaman anda di Palembang diingati sepanjang zaman!