suria

Nak hotel bajet tapi 'tip top' macam 5 bintang? Semuanya tak mustahil di Ubud, Bali

Di sini anda boleh bersantai untuk menikmati keindahan matahari terbenam.

BAGI kaki jalan atau kaki melancong, tamat cuti penghujung tahun bukan bermakna sudah tidak memikirkan tentang percutian lain. Lebih-lebih lagi pada tahun 2019 nanti ada cuti-cuti umum yang bertembung dengan cuti hujung minggu.

Bagi yang sudah punya tiket penerbangan ke destinasi pilihan, mungkin selepas ini anda akan mula mencari hotel sesuai dengan bajet. 

Jika mahu ke pulau peranginan popular Bali, Indonesia, mencari hotel bukanlah satu masalah kerana penginapan di sana tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Mengikut rekod, Perhimpunan Hotel dan Restoran Indonesia pada Februari 2017,  jumlah penginapan di Bali meningkat ke 130,000 buah. Rekod ini merangkumi hotel berbintang lima sehinggalah ke rumah penginapan yang tidak berbintang.

Jadi, terpulang kepada bajet anda untuk memilih lokasi penginapan yang diidamkan. Jika merancang untuk menginap di lokasi yang tidak sesak, daerah Ubud boleh dijadikan pilihan. Daerah ini memang terkenal dengan villa-villa mewah yang bersatu dengan kehijauan alam.

Happiness Room tampil selesa dan punya dekorasi ceria.

Namun, ini tidak bermakna tiada penginapan bajet. Max One Hotel Ubud yang terletak di Jalan Raya Pengosekan Ubud boleh dijadikan pilihan.

Dibuka pada awal 2017, hotel ini menawarkan 66 buah bilik dengan menampilkan dekorasi berkonsep pop art culture. Biarpun tidak bertaraf lima bintang, tetapi hotel ini menjanjikan sebuah penginapan selesa, berbaloi dengan harga. Harga bilik bermula serendah 450,000 Rupiah (RM128) berserta sarapan percuma untuk dua orang.

Terdapat tiga jenis bilik yang tersedia iaitu Happiness & Max Happiness Room, Warmth Room dan Max Warmth Room. Setiap bilik punya kelengkapan yang lebih kurang sama, cuma Warmth Room dan Max Warmth Room bersaiz lebih luas. Sesuai untuk mereka yang berkeluarga kecil.

Biarpun rangkaian hotel Max One terkenal sebagai hotel bajet, tetapi kualiti perkhidmatan sama sekali tidak diabaikan. Satu perkara yang perlu anda tahu, roof top Max One Hotel Ubud punyai sky pool yang menawarkan pemandangan ‘sunset’ memukau pandangan.

Sambil berenang bolehlah menikmati magis alam ini dengan suasana tenang. Tambah memikat jika kunjungan anda ke sini ketika sawah padi menghijau atau menguning.

Roof  top ini jugalah menempatkan Max Bistro yang menyediakan sarapan pagi secara bufet. Pilihan menu agak terhad tetapi cukup untuk mengalas perut sebelum anda menikmati hidangan makan tengah hari bercitarasa tempatan.

Sudut yang terletak di tingkat Roof Top ini sesuai untuk menghabiskan masa berbual-bual dengan rakan-rakan mahu pun keluarga.

Jika memilih untuk bermalasan di hotel, terdapat juga menu ala carte yang boleh ditempah untuk makan tengahari atau makan malam.

Berita baik untuk yang suka bergambar, Max One Hotel Ubud pasti membuatkan anda tersenyum riang. Tampil dengan dekorasi ceria, banyak sudut di hotel ini punya nilai Instagrammable. Rugi kalau tidak bergambar untuk dijadikan kenangan.

Ada empat ‘spot’ yang tidak boleh dilepaskan

Pertama, sudah tentu di Sky Pool. Kedua, di ruangan santai yang terletak di tingkat yang sama.

Ruangan yang menempatkan tiga unit patchwork sofa ini turut dihiasi dengan hiasan dinding yang mempunyai kata-kata motivasi. Selain bergambar, boleh juga bersembang bersama teman-teman di sini.

Ruang ketiga yang punya Instagram value terletak di tingkat tiga. Ruang ini dihias dengan sofa kayu kusyen berbelang merah. Lukisan wanita Bali dalam pakaian tradisi tambah menghidupkan mood ruangan.

Salah satu sudut di lobi hote yang menarik perhatian pengunjung.

Ruangan terakhir berada di kawasan lobi hotel. Ada sofa warna-warni dengan latar belakang mural yang sangat cute. Ada gambar beberapa ekor monyet dan seorang wanita Bali yang seakan-akan mengalu-ngalukan kedatangan tetamu.

Berikut beberapa maklumat tambahan berkenaan Max One Hotel Ubud

1. Terletak 800 meter dari Monkey Forest, 5 minit dari Pasar Ubud dan 1 jam setengah masa perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali

2.  Kemudahan Wifi percuma untuk semua tetamu

3.  Mempunyai spa untuk tetamu memanjakan diri. Ada khidmat urutan di bilik, tetapi perlu maklumkan lebih awal

Satu lagi sudut yang punya nilai Instagrammable.

4.  Perkhidmatan menyewa scooter juga tersedia. 80,000 Rupiah untuk sewaan sehari

5. Cheeky Monkey merupakan maskot hotel ini dan ia boleh dilihat di mana-mana

6) Bilik penginapan agak luas berbanding hotel-hotel bajet yang lain

Selamat bercuti!

Bali, Ubud, #mstartravel, travel

Artikel Lain