BUAT kaki travel, kalau tak dapat mengembara ke luar negara, pasti otak akan ligat berfikir di mana destinasi dalam negara yang boleh dilawati bersama bajet yang tidak terlalu tinggi dan masa yang agak pendek. Apa kata anda ke Kuantan, Pahang? Bandar persisiran pantai ini jaraknya tidak terlalu jauh dengan Kuala Lumpur ataupun Lembah Klang. Perjalanan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) mengambil masa kira-kira tiga jam setengah untuk sampai. Biarpun Kuantan tidak sepopular Ipoh, Perak, destinasi ini sebenarnya menjanjikan keseronokkan tersendiri. Sebagai bonus, ia mempunyai beberapa buah pantai yang menjanjikan pemandangan indah, sesuai untuk bersantai seisi keluarga. Pantai Teluk Cempedak yang mesri dikunjungi jika ke Kuantan. Agak-agaknya apa yang boleh dilakukan di Kuantan jika punya masa hanya 2 hari 1 malam? Jangan risau, jika anda bijak merancang perjalanan, banyak perkara atau aktiviti yang boleh dilakukan dalam tempoh waktu ini. Paling penting, mulakan perjalanan sebelum waktu tengahari dan buat sedikit rujukan dalam talian. Lagipun, jika bertolak awal, anda boleh singgah di Hentian Rehat dan Rawat Temerloh untuk menikmati menu istimewa, Ikan Patin masak tempoyak. Hidangan popular ini memang sukar dilepaskan, lebih-lebih lagi jika anda penggemar Ikan Patin. Berikut antara tarikan yang tersedia menanti kunjungan anda ke Kuantan: 1. Berkelah di Pantai Teluk Cempedak Hari pertama tiba ke Kuantan, anda boleh singgah ke pantai peranginan yang cukup popular di kalangan penduduk tempatan ini. Terletak kira-kira 20 minit dari pusat bandar, pantai ini sesuai dikunjungi pada sebelah petang hingga ke malam. Siput Buluh juga tersedia di Ana Ikan Bakar Petai. Terdapat banyak kedai makan di sini termasuklah McDonald’s, Subway, dan Starbucks. Jika ingin mandi-manda, pastikan bendera merah tidak berkibar. Ini kerana berlaku beberapa kejadian tidak diingini di sini apabila ada pengunjung yang tidak menghiraukan bendera amaran. Jika hanya mahu merakam pemandangan indah, bolehlah menyusuri jambatan merah yang membawa penghujung ke penghujung pantai. Terdapat beberapa buah gazebo untuk anda melepaskan lelah seketika. Satu peringatan, hati-hati dengan monyet-monyet liar yang banyak berkeliaran. 2. Jamu selera di Warung Joe Mee Calong & Keropok Beserah Kedai makan yang terletak berdekatan pantai Beserah ini pernah dikunjungi kru program Jalan-jalan Cari Makan yang bersiaran di TV3. Istimewanya Mi Calong di sini kerana ia berbeza dengan Mi Calong yang ada di tempat lain. Mereka menggunakan Mi Lidi, bukan Mi Kuning. Warung Joe Mee Calong & Keropok Beserah yang terkenal dengan keenakan Mi Calongnya. Selain itu, sup dan bebola ikan yang digunakan dibuat sendiri di kedai makan ini. Jadi rasanya lebih segar dan mewah dengan rasa ikan. Terdapat dua pilihan untuk Mi Calong Biasa (RM4.00) dan Mi Calong istimewa, dengan tambahan sebiji telur (RM4.50). Selain Mi Calong, anda juga boleh menikmati hidangan keropok lekor, rojak, dan juga kuih-muih tempatan. Tidak susah mencari lokasi kedai ini kerana ia terletak di tepi jalan utama. 3. Rakam memori di Pantai Batu Hitam Tidak jauh dari Joe Mee Calong & Keropok Beserah, terdapat Pantai Batu Hitam yang juga popular dalam kalangan penduduk tempatan. Pantai ini tidak sesuai untuk aktiviti mandi-manda kerana dipenuhi dengan batu-batu hitam. Selalunya mereka yang berkunjung ke sini akan menghabiskan masa dengan berkelah bersama keluarga ataupun bermain layang-layang. Jika ke sini pada waktu pagi, bolehlah menikmati pemandangan matahari terbit yang indah. Pantai Batu Hitam juga popular dialam kalangan penduduk tempatan. 4. Makan malam di Ana Ikan Bakar Petai Mencari makan malam di Kuantan bukanlah satu isu. Ini kerana banyak kedai makan yang boleh dikunjungi, lebih-lebih lagi yang menyediakan masakan Thailand. Bagaimanapun, alang-alang sudah sampai ke sini, bolehlah panjangkan langkah ke Ana Ikan Bakar Petai yang terletak di Tanjung Lumpur. Memang benar restoran makanan laut ini sudah ada cawangannya di Shah Alam dan Kuala Lumpur, tetapi percayalah, rasa makanan di negeri asalnya lebih lazat. Bahkan, pilihan makanan laut lebih banyak dan segar. Paling penting, harganya lebih murah. Seekor ikan Pari bakar petai, seekor sotong bakar petai, sepinggan Siput Buluh masak pedas, semangkuk tomyam campur, sepinggan kangkung belacan dan dua pinggan nasi putih hanya berharga RM68.90 (untuk dua orang makan). Sotong Bakar Petai yang membuka selera di Ana Ikan Bakar Petai, Tanjung Lumpur. Satu pesanan, datang awal untuk mendapat tempat duduk dengan mudah. Selain itu, kalau datang lambat, mungkin tiada lagi sotong, ketam, udang atau ikan kegemaran untuk dinikmati. 5. Nikmati Mango Cheese Cake di Kula Cakes Sebelum bertolak pulang, jangan lupa singgah di Kula Cakes, Jalan Besar, Kuantan untuk menikmati Mango Cheese Cake yang menjadi pujaan ramai. Tapi kena banyak bersabar untuk membuat pesanan. Sebabnya anda mungkin perlu berbaris panjang, terutamanya di hujung minggu. Sepotong Mango Cheese Cake dijual pada harga RM7.90. Sudut menarik di Kula Cakes, Kuantan Selain itu, terdapat juga kek-kek lain yang turut dijual. Antaranya Red Velvet, Chocolate Moist, dan Peanut Butter. Sambil menjamu selera, bolehkan merakam kenangan di taman Kula Cakes yang menghijau. Semoga percutian anda lebih bermakna jika ke Kuantan dengan jadual perjalanan ini.