suria

Kalau ke Kelantan singgahlah ke Masjid ar Rahman, setiap kisah binaannya pasti buat anda terpukau

Masjid ar-Rahman yang terletak di Kampung Pulau Gajah Pengkalan Chepa, Kelantan baru -baru ini.

TERPEGUN seketika tatkala kereta menghampiri tempat letak kenderaan di  Masjid ar Rahman di Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa, Kelantan baru -baru ini.

Apa tidaknya, keindahanan seni binanya yang indah memukau mata yang memandang!

Terletak kira-kira tujuh kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, masjid yang baru dibuka tahun lalu ini kian menjadi sebutan dan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Seolah-olah berada di tengah-tengah pulau, masjid ini sebenarnya dibina di atas tanah paya bakau oleh seorang penderma yang mewakafkan tanah miliknya, dibeli sejak 25 tahun lalu.

Menurut Imam Tua masjid itu, Hasan Mahmood, 76, penderma yang enggan namanya disiarkan turut menanggung kos pembinaan masjid, selain beliau sendiri  bertanggungjawab sepenuhnya dalam rekaan masjid itu.

“Masjid ini adalah gabungan seni bina Melayu Kelantan, nusantara terutama Indonesia, ada sedikit sentuhan Turki dan Yaman.

"Malah ukiran ayat al Quran daripada kayu yang memenuhi bahagian atas masjid menggunakan kepakaran pengukir dari Japara, Indonesia.

“Bukan itu saja, banyak juga hiasan dalaman dalam masjid ini yang diperoleh dari negara luar misalnya dua batang pokok tamar diimport dari Timur Tengah menyerikan lagi kawasan mimbar, ” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, baru-baru ini.

Kayu cengal jadi pilihan

10 batang kayu cengal dari kawasan hutan Hulu Kelantan juga menjadi penyeri dalam pembinaan masjid ini. Lima batang kayu sebesar pemeluk yang didirikan di ruang solat dalam masjid mewakili Rukun Islam, lima perkara.

Setiap arca atau hiasan dalaman masjid ini mempunyai maksud yang tersirat. Ini termasuk batu yang diukir dengan ayat suci al Quran, menjadi hiasan di tepi masjid juga adalah diilhamkan dari Batu Bersurat Terengganu.

“Beduk dan ketuk-ketuk di luar masjid juga adalah yang asli dibeli dari negara jiran.

"Walaupun ia tidak digunakan, tetapi warisannya boleh dilihat oleh generasi muda, bagaimana di zaman dahulu tanpa pembesar suara, kita menggunakan kedua alat itu untuk menandakan waktu solat masuk,” katanya.

Mesra OKU dan warga emas

Paling menarik ciri-ciri masjid ini adalah ia pembinaannya sangat praktikal. Bukan hanya cantik tetapi pembinanya tidak melupakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas yang mempunyai masalah sakit kaki.

Dengan hanya dua mata tangga dan ada juga laluan kerusi roda, masjid ini turut menyediakan tandas duduk bagi kegunaan mereka.

Hanya ada satu saja tandas cangkung di kedua-dua bilik air lelaki dan wanita, berbeza dengan masjid lain di kawasan luar bandar.

Guna tenaga hijau

Hasan berkata walaupun dari segi luaran masjid ini lebih nampak tradisional dengan diinspirasikan Masjid Kampung Laut, masjid tertua di Malaysia tetapi pihaknya tetap menerapkan ciri teknologi hijau dalam memastikan ia mesra alam.

“Tanpa menggunakan penghawa dingin, masjid ini agak sejuk di bahagian dalam kerana binaan tingkap dari atas ke bawah di sekeliling bangunan ini secara tidak langsung membuka laluan angin.

“Kami juga mengumpul hujan untuk kegunaan air pancut di sekeliling masjid yang turut menyumbang kepada elemen menyejukkan masjid ini.

"Air hujan ini juga turut digunakan untuk menyiram pokok di musim kemarau,” katanya.

Nah, apa lagi, jika ke Kota Bharu, singgah-singgahlah ke Masjid ar Rahman Kampung Pulau Gajah, kerana pastinya anda juga terpegun dengan seni binanya seperti penulis juga.

Artikel Lain