suria

Malaysia kini destinasi nombor 1 pilihan pelancong Asia Barat

Pelancong dari Asia Barat memilih Malaysia sebagai destinasi percutiaan mereka.

MALAYSIA tersenarai sebagai destinasi utama dalam kalangan pelancong dari Arab Saudi menerusi kaji selidik yang dijalankan oleh aplikasi Agoda.

Dalam pada itu, Pulau Langkawi, Kedah dan Kuala Lumpur tersenarai sebagai 10 destinasi pilihan pelancong dari negara Asia Barat itu.

Kuala Lumpur berada di tangga kelapan berbanding kesembilan tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanchanaburi tersimpan banyak tinggalan sejarah, Air Terjun Erawan jangan lupa singgah!

Data itu dikeluarkan selepas pelancaran KL-Sharjah oleh Air Arabia iaitu penerbangan tambang murah yang menghubungkan negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan Malaysia buat pertama kali.

Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pengenalan penerbangan oleh Air Arabia itu sejajar dengan kempen Visit Malaysia 2020 (VM2020).

"Tahun ini, kami menyasarkan seramai 337,000 pelancong dari negara Asia Barat dan saya percaya penerbangan Sharjah-KL oleh Air Arabia dapat membantu kepada peningkatan kemasukan pelancong di rantau ini," katanya.

Kuala Lumpur juga tersenarai sebagai bandar pilihan pelancong dari Asia Barat. 

Penerbangan terus itu sebagai hasil lawatan rasmi kementerian berkenaan ke Dubai pada acara Arabian Travel Mart pada April lalu yang mana memperlihatkan pelbagai perjanjian kempen ditanda tangani oleh Tourism Malaysia, Malaysia Airports dan Air Arabia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Arabia, Adel Abdullah berkata, pengenalan itu dapat memberi manfaatkan kepada kedua-dua negara.

Sharjah adalah bandar berdekatan Dubai dan ketiga terbesar dalam kesatuan UAE dan Air Arabia adalah penerbangan tambang murah pertama di negara Asia Barat dan Afrika Utara.

Ketibaan pelancong dari Asia Barat menunjukkan peningkatan sebanyak 25.3 peratus pada tahun ini iaitu 251,937 kepada 315,937.

Daripada jumlah itu sebanyak 36.9 peratus pelancong dari Oman, 11.6 peratus (Arab Saudi) dan 9.7 peratus (UAE).

Tahun lalu, Malaysia mencatatkan RM3.1 bilion menerusi pelancong dari Asia Barat, peningkatan 32.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sehingga Mac lalu, kedatangan pelancong dari Asia Barat mencatatkan sebanyak 65,202.

Untuk Visit Malaysia 2020, negara menyasarkan 30 juta pelancong dari luar negara. - THE STAR

Artikel Lain