BAYANGKAN... di sebuah rumah kampung, berdekatan halaman kelihatan anak sungai mengalir jernih airnya. Di sekeliling rumah pula terdapat pohon durian yang berpuluh tahun mencecah usia. Ketika malam pula menjelma, bunyi unggas dan cengkerik sambil udara sejuk menyapa wajah menambah lagi kenikmatan suasana kampung. Nikmat dan tenang keadaan sebegini sebenarnya sudah jarang dirasai oleh generasi muda kerana kebanyakan mereka dilahir dan dibesarkan di kota. ARTIKEL BERKAITAN: 7 aktiviti di Teratak Toksu… hilang ‘stress’ tengah sawah! RM80 je Sesetengah kawasan kampung suasananya juga banyak berubah dek kerana tempias perkembangan pesat pembangunan dengan rumah kediaman dibina menampilkan ciri-ciri moden. Agak sukar untuk melihat rumah-rumah tradisional bertiang tinggi seperti dahulu-kala. Kalau ada pun... ia mungkin tidak lagi dijaga atau terus terbiar. Dek kerana itulah, tiga bersaudara mengambil insiatif mengusahakan inap desa bercirikan rumah kampung tradisional bagi memboleh generasi terdahulu mengimbas semula saat kehidupan di desa sementara, generasi moden pula boleh mengimbau bagaimana kehidupan ibu bapa dan datuk nenek masing-masing. Pengusaha, Azmin Aziz (kiri), Esqandar Azmi (tengah) dan Azim Aziz (kanan) bergambar di sebuah rumah tradisional yang dalam pemasangan semula. Mengangkat tema kehidupan cara kampung atau Kampung Stay, rumah inap ini mula operasi sekitar awal Ogos lalu dan diusahakan oleh dua beradik iaitu Azmin Abdul Aziz dan adiknya, Azim Abdul Aziz serta seorang anak saudara, Esqandar Azmi. 'Bagas Zakariah Orchard and Farm' sememangnya menjanjikan sebuah destinasi percutian yang luar biasa bagi mereka yang tidak pernah merasi kehidupan di kampung selain mahu mendapatkan udara nyaman dan suasana tenang di sebalik bunyi air sungai yang mengalir. Terletak di Kampung Lawan Kuda, Gopeng, Perak, Bagas Zakariah menawarkan atmosfera yang cukup menyegarkan dengan landskap indah di kelilingi tumbuhan hijau serta alam semula jadi. Suasana malam yang diterangi cahaya lampu semestinya membuatkan anda terpegun. Berasal dari bahasa Mandailing, Bagas bermaksud 'sebuah rumah', manakala Zakariah adalah sempena nama datuk kepada pengusaha rumah inap itu yang merupakan seorang pendatang dari kawasan berhampiran Peyambungan, Kabupaten Mandailing-Natal, Sumatera Barat, Indonesia. Tersergam indah di atas tanah keluasan lima ekar, Bagas Zakariah menawarkan tiga pilihan penginapan yang berbeza mengikut cita rasa anda seperti Rumah Lenggung, Rumah Lawan Kuda atau dikenali sebagai Rumah Merah dan Rumah Kuning. Kesemua rumah itu terletak berdekatan antara satu sama lain. Sesuai untuk dijadikan rumah penginapan bagi menjalankan aktiviti kekeluargaan dengan bilangan ahli yang besar. Inilah rumah Lenggung yang asalnya terletak di Lenggong, Perak dibeli dan dibina semula di Gopeng. 1. Rumah Lenggung - Dari RM500 semalam Menariknya, Rumah Lenggung (ejaan sebenar Lenggong) ini merupakan rumah tradisional asal dari daerah Lenggong, Perak yang kemudiannya dipindahkan ke Gopeng sebelum reka bentuknya dimodenkan. Menurut Azmin, 56, Rumah Lenggung itu kemudiannya dibina semula dengan membuat sedikit pengubah suaian tetapi masih mengekalkan struktur asal rumah Perak atau lebih dikenali sebagai rumah Kutai. "Ramai yang tak tahu, sebenarnya Rumah Lenggung ini dibeli yang pada asalnya terletak di Lenggong, Perak. Kemudian kami buka dan dibawa pulang ke Lumba Kuda, Gopeng untuk membinanya semula," jelas pengusaha rumah inap ini. Memiliki 2 bilik tidur, 2 katil bersaiz single, 1 katil bersaiz king dan 2 bilik air serta sebuah loteng kecil turut disediakan di Rumah Lenggung. Malah rumah ini boleh disewa dengan harga serendah RM500 untuk satu malam yang dapat memuatkan hingga 10 orang dalam satu rumah. Rumah Lawan Kuda turut dikenali sebagai Rumah Merah. 2. Rumah Lawan Kuda - Dari RM650 semalam Menurut Azmin, Rumah Lawan Kuda direka khas oleh adiknya, Azim yang merupakan seorang arkitek. Masih mengekalkan struktur asal rumah Kutai, hampir 95 peratus pembinaan rumah ini adalah daripada kayu Cengal, manakala lima peratus lagi adalah kayu Kempas. Selain itu, nama Lawan Kuda diberi sempena nama kampung kawasan itu. Rumah Lawan Kuda turut memiliki 2 bilik tidur, 2 katil bersaiz single , 1 katil bersaiz king dan 2 bilik air bersaiz selesa selain turut disediakan enam buah tilam. Terdapat juga loteng kayu bersaiz besar juga dibina dan ia dapat memuatkan empat orang didalamnya. Loteng kayu bersaiz besar di 'Rumah Merah'. Mengekalkan konsep tradisional, sebuah loteng turut dibina yang membolehkan pengunjung berehat sambil menikmati keindahan malam. "Menariknya rumah ini, kami turut menyediakan sebuah loteng khas yang agak besar saiznya yang boleh muat hingga empat orang berbanding loteng di Rumah Lenggung yang agak kecil dan tidak sesuai buat pengunjung tidur," kata Azmin. Selain itu, Rumah Lenggung ini juga boleh memuatkan lapan hingga 10 orang tetamu dengan harga RM600 untuk satu malam. Rumah Kuning, rumah asal peninggalan keluarga yang berusia hampir 100 tahun. 3. Rumah Kuning Manakala, bagi Rumah Kuning yang bakal dibuka sekitar November ini mempunyai nilai sentimental yang tinggi dek kerana merupakan rumah asal peninggalan keluarga ini yang berusia hampir 100 tahun. Menurut Azmin, rumah peninggalan ini mempunyai sejarah tersendiri kepada keluarganya apabila ketika zaman penjajahan tentera Jepun, keluarga mereka mengambil keputusan untuk lari tinggalkan rumah itu dan menetap di hutan hampir tiga bulan. Walau bagaimanapun, selepas kembali semula keadaan rumah masih utuh dan tidak mengalami sebarang kerosakkan teruk. Selain itu, atap genting yang digunakan sekarang adalah atap genting original yang di import dari negara India sekitar tahun 1920 dan masih digunakan sehingga kini. Tampil kelainan, Rumah Kuning ini mempunyai 4 bilik tidur, 1 katil bersaiz single, 1 katil double decker, 1 katil bersaiz Queen serta 1 katil bersaiz super king dan sebuah bilik air. Sehingga artikel ini ditulis, harga penginapan bagi Rumah Kuning ini masih belum ditetapkan lagi. Ruang mandi yang semestinya membuat anda terpukau dengan dekorasi yang moden. Seolah-olah anda berada di hotel lima bintang sewaktu anda melangkah masuk ke ruangan kamar, rekaannya berkonsepkan moden dengan ruang selesa, bilik mandi luas serta lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti kipas angin, mesin basuh serta pengering baju, peti sejuk, dapur moden, microwave, televisyen dan yang paling penting ialah wi-fi percuma. "Walaupun luarnya nampak tradisional, namun jika pengunjung melangkah masuk pasti mereka terpegun dengan dekorasi-dekorasi moden yang menjanjikan keselesaan kepada mereka seolah-olah berada di hotel lima bintang," kata Azmin yang merupakan pesara. Dalam pada itu menariknya ketiga-tiga unit rumah di Bagas Zakariah ini dikelilingi dusun buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan, nangka, cempedak, limau, avocado serta tanaman herba yang lain dan membolehkan pengunjung menikmati buah-buahan itu secara percuma. Ruang makan di luar yang boleh memuatkan 20 orang untuk menikmati makan malam, BBQ dan sebagainya. Disamping itu, terdapat pelbagai aktiviti luar menarik yang boleh dilakukan oleh pengunjung seperti bermain paintball, hiking, berkayak, ATV (motor 4 roda) yang boleh diaturkan oleh pihak pengurusan. Selain itu, turut disediakan ialah tempat serta peralatan barbeque (BBQ) di setiap rumah, mini zoo serta sebatang sungai khas buat pengunjung meluangkan masa bersama keluarga. Bunyi air sungai dan persekitaran hening semestinya menjadi kenangan paling dirindui bagi anak kota untuk tidak melepaskan peluang menikmatinya. Air sungai jernih dan bersih. Malahan, pengunjung juga berpeluang melawat tempat tarikan pelancong dek kerana kedudukannya yang strategik. Antara lokasi berdekatan yang boleh pengunjung kunjungi adalah Gua Tempurung, bandar Ipoh, Tanjung Tualang yang terkenal dengan khazanah negara iaitu kapal korek pertama diperkenalkan di Malaysia, Kellie's Castle di Batu Gajah dan banyak lagi. Jadi tunggu apa lagi, buatlah tempahan awal jika anda berhajat untuk ke Bagas Zakariah dengan menghubungi 013-4763030 (Azahari). Selain itu, pengunjung juga boleh membuat tempahan melalui airbnb.