PENYEDIA perkhidmatan kereta sewa di Jepun menemui satu trend aneh sejak belakangan ini. Semuanya disedari selepas mereka mendapati jarak perjalanan kereta yang yang disewakan hanya bertambah sedikit sahaja selepas ia dipulangkan. Fakta tersebut membuatkan dua ejen kereta sewa, Orix dan NTT Docomo melakukan kaji selidik untuk mengetahui apa yang dilakukan penyewa terhadap kenderaan-kenderaan tersebut. Memetik Asahi Shimbun, berdasarkan kaji selidik yang telah dilakukan, satu fakta baharu yang mengejutkan telah ditemui. Mereka mendapati ramai yang menyewa kereta bukan untuk tujuan pengangkutan sebenar, sebaliknya untuk melakukan perkara-perkara remeh, malah yang tidak pernah terfikir untuk dilakukan. Misalnya, ada yang menyewa kereta hanya untuk berbaring atau tidur pada waktu siang. Perkhidmatan kereta sewa di Jepun melakukan kaji selidik berhubung trend baharu penduduk Jepun. -foto Asahi Shimbun Malah ada antara mereka menggunakan perkhidmatan kereta sewa untuk bermesyuarat dengan rakan bisnes, sebagai lokasi tenang untuk berborak atau berbincang dengan kekasih atau sekadar dijadikan ruang makan yang jauh dari suasana bising. "Saya membeli makanan di supermarket, tapi tak ada tempat kosong untuk makan. Sebab itulah saya pilih sewa kereta," kata seorang pegawai berusia 31 tahun yang tinggal di Tokyo. Selain alasan-alasan tersebut, NTT Docomo juga menemukan satu fakta unik lain! Penyewa kereta yang terdiri daripada kalangan orang muda biasanya menggunakan kenderaan untuk menonton TV, memakai kostum Halloween, berlatih menyanyi, belajar bahasa malah untuk melakukan yoga wajah. Sebab utama mengapa ramai penduduk Jepun menyewa kereta untuk perkara remeh dan nampak seperti 'main-main' kerana caj sewanya sangat murah, sedangkan penawarannya sangat tinggi. Penyewa hanya perlu membayar kira-kira 400 Yen (RM15.50) untuk menyewa kereta selama satu jam setengah. Selain itu, syarikat kereta sewa juga mempunyai puluhan ribu petak parkir di seluruh Jepun, sehingga pelanggan boleh mengambil kereta sewa di mana saja yang sesuai dengan lokasi mereka. Dijangkakan, trend aneh tersebut akan berterusan sehingga beberapa tahun akan datang.