suria

Roti bakar enak, kaya sejarah... ruginya kalau ke Johor tapi tak singgah Kluang Rail Coffee

Kluang Rail Coffee mempunyai pelbagai hidangan menarik.

BERMULA sebagai sebuah kantin bagi tentera British, Kluang Rail Coffee yang terkenal di daerah Johor ini, semakin melebarkan sayapnya sejak beroperasi 78 tahun yang lepas.

Kopitiam yang terletak dalam Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kluang itu, masih mengekalkan persekitaran asli yang seolah-olah boleh membawa pelanggan kembali ke zaman silam.

Sehingga kini, nilai nostalgia yang dikekalkan di kopitiam ini berjaya menjadi tarikan seluruh masyarakat Johor, sehinggakan pernah mendapat kunjungan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, selain turut menjadi tumpuan pelancong antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 tempat menarik wajib singgah di KL... bukan sahaja dekat, perlu bajet ciput je!

Menu utamanya yang juga menu tradisi ialah Kopi Kluang dan roti bakar kaya yang diperbuat menggunakan resipi sendiri.

Lim Ben Winn, 31, pengurus kopitiam ini yang merupakan generasi keempat pemilik asalnya berkata konsep nostalgia dikekalkan dari segi makanan, struktur kedai dan kerusi meja yang digunakan sejak dulu lagi.

Sehingga kini, Kluang Rail Coffee mempunyai empat cawangan di Kluang, masing-masing sebuah di Mersing dan Kota Damansara, Selangor.

Kluang Rail Coffee terletak di landasan kereta api Kluang.

Empat generasi

Menariknya, sejarah kewujudan kopitiam ini bermula pada tahun 1938 ketika moyang Ben Winn, iaitu Lim Luan Hee bersama-sama datuknya, Lim Heng Yong menerima tawaran untuk menubuhkan kantin bagi menyediakan makanan untuk tentera British di Stesen Keretapi Kluang yang juga laluan utama kereta api Malaysia-Singapura.

Pada ketika itu, pembangunan sudah mula tertumpu di bandar Kluang yang menjadi lokasi persinggahan strategik yang juga berhampiran dengan kem tentera, pejabat pos dan pejabat Lembaga Elektrik Pusat (kini dikenali sebagai Tenaga Nasional Berhad).

“Kebiasaannya sandwic akan dihidangkan dengan jem buah-buahan seperti strawberi dan blackberi mengikut kegemaran askar British, namun disebabkan kekangan untuk mendapatkan buah tersebut, jadi mereka membuat versi jem tempatan iaitu menggunakan telur (kaya) dan turut menghidangkan teh campur susu,” katanya.

Sekitar tahun 80-an, perniagaan keluarga yang dimulakan oleh moyang dan datuk Ben Winn itu, kemudiannya diteruskan oleh bapa Ben Winn, Lim Jit Chen.

Roti bakar antara hidangan yang menjadi tarikan pengunjung.

Menurut Ben Winn, perubahan pada perniagaan kedai kopi itu mula menjadi lebih aktif apabila sepupu bapanya Lim Jit Tong pulang dari Amerika Syarikat sekitar tahun 2007-2008 dan membantu perniagaan keluarga itu dengan ilmu pengalaman kulinari dari luar negara.

“Usaha itu tidak berhenti di situ apabila bapanya mendapati terdapat potensi untuk mengembangkan lagi menu sedia ada dengan penambahan menu barat dan kek selari dengan cita rasa pelanggan kini,” katanya sambil menambah beliau kemudian turut terlibat dalam perniagaan keluarga dan diberi tanggungjawab memantau cawangan di Johor dan Selangor.

Nilai yang diterapkan oleh moyangnya kepada setiap generasi adalah untuk sentiasa memelihara kualiti makanan dan menghargai mereka yang menyokong perniagaan sejak dulu hingga sekarang terutamanya masyarakat setempat.

Cabaran

Ben Winn, yang mempunyai latar pendidikan dalam pengurusan perniagaan, percaya cabaran yang terbesar adalah keupayaan untuk kekal relevan dan mengikuti trend semasa tanpa menghilangkan identiti sedia ada.

Kluang Rail Coffee sentia menjadi pilihan pengunjung tempatan dan luar.

“Ada banyak kedai yang menggunakan nama yang lebih kurang sama, namun kami percaya perkara ini tak salah dan menghormati tindakan mereka.

“Kami perlu dilihat lebih eksklusif dalam dunia perniagaan ini dan sedia berubah agar tidak ketinggalan selari dengan kehendak pelanggan,” katanya yang merupakan anak bongsu dari tiga beradik dan satu-satunya yang meneruskan perniagaan keluarga itu.

Mengakui terdapat cubaan syarikat lain untuk melabur, namun hasrat itu ditolak kerana tidak mahu mengikut acuan luar yang boleh memberi kesan kepada identiti perniagaan keluarga itu.

“Kami masih belajar untuk terus mengembangkan lagi perniagaan dan kekal relevan. Antaranya bersedia bekerjasama dengan syarikat penghantaran makanan, Food Panda yang baru dilancarkan di sini bagi memastikan perniagaan kami lebih mudah sampai kepada penduduk setempat,” tambah Ben Winn. - Bernama

Kluang, Johor, Kluang Rail Coffee

Artikel Lain