SELEPAS tertangguh disebabkan beberapa faktor, pameran pelancongan yang dinanti-nantikan akhirnya diumumkan akan berlangsung bermula April ini. Ekspo Cuti-Cuti Malaysia bakal dijayakan pada 4 dan 5 April ini di Pusat Persidangan Kuala Lumpur. Memfokuskan kepada sektor pelancongan domestik menerusi Pameran MATTA, ia dijangka melibatkan lebih 200 operator yang akan menawarkan pelbagai pakej dan diskaun menarik. Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, tentu sekali pameran sulung itu akan menjadi tumpuan 'kaki melancong' untuk pakej yang menampilkan pelbagai destinasi baharu. ARTIKEL BERKAITAN: Pameran Matta ditangguh ke Mei susulan wabak koronavirus "Pameran ini akan memfokuskan produk baharu untuk pasaran tempatan di mana ia mungkin tidak diberi perhatian sebelum ini dengan menumpukan khusus untuk pelancongan keluarga atau kumpulan, juga solo dan pengembara muda yang gemarkan cabaran. "Kami sedang bekerjasama dengan rakan kongsi termasuk syarikat penerbangan dan hotel untuk menggabungkan pelbagai tawaran menarik," katanya kepada The Star selepas mengumumkan acara itu. (Kiri) Ketua Pemasaran Malaysia Airlines Berhad, Roslan Ismail, Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar dan Setiausaha Agung Kehormat MATTA Nigel Wong pada sidang media di ibu negara pada Selasa. Beliau berkata, ada pakej dan agensi pelancongan yang akan membenarkan pelancong melakukan aktiviti sepanjang menyertai lawatan menuju ke destinasi. Berdasarkan sentimen semasa, ia adalah masa yang sesuai untuk menganjurkan Pameran MATTA edisi baharu secara eksklusif untuk pelancongan domestik. "Pelbagai langkah berjaga-jaga diambil kerajaan untuk mengelak merebaknya koronavirus di negara dan pelaksanaan pameran pelancongan dalam negara ini adalah bukti bahawa Malaysia adalah lokasi selamat untuk pelancong," katanya. Susulan penganjuran acara tahunan Pameran MATTA di ibu negara yang ditangguhkan ke 1 hingga 3 Mei juga kerana wabak berkenaan, expo pelancongan domestik itu diharap dapat meningkatkan industri pelancongan tempatan selepas berdepan isu pembatalan tempahan dalam jumlah besar. Sejak wabak berkenaan, kata Kok Liang, lebih 95,000 tempahan bilik hotel dibatalkan terutama melibatkan pelancong dari China yang kosnya mencecah RM40 juta. "Pameran MATTA sebelum ini mencatatkan jualan antara RM40 juta hingga RM50 juta dan kami berharap dapat mengekalkan sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah itu," katanya.