suria

Apa salahnya cuti-cuti Malaysia, macam-macam ada!

Suasana gerai menjual makanan laut berhampiran Bulatan Todak di Kota Kinabalu. Ia tempat makan popular yang menawarkan hasil laut seperti ikan, udang dan ketam segar dengan harga berpatutan dan sangat sesuai untuk dikunjungi sempena Tahun Melawat Malaysia Tahun 2020. -fotoBERNAMA

SEWAKTU berbual santai dengan dua sahabat baru-baru ini, saya secara spontan melontarkan soalan sama ada mereka sudah habis pusing cuti-cuti satu Malaysia.

Seorang daripada rakan saya, Fina, 37, memang suka melancong dan tentunya saya fikir sahabat saya itulah yang akan berkata “Ya.”

Jangkaan saya salah rupanya!

Ada dua negeri yang Fina kata belum pernah pergi. Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu belum lagi sampai ke Johor dan Sarawak.

Hampir hendak pecah perut saya ketawa sebaik mendengar pengakuan jujur Fina. Manakan tidak. Saya sudah kenal Fina yang bekerja sebagai penjawat awam selama 10 tahun dan agak mustahil kalau sahabat saya itu belum pernah langsung menjejakkan kaki ke dua negeri itu.

“Aku lebih suka bercuti di luar negara kerana inginkan pengalaman berbeza dan pelajari budaya mereka. Dah lebih 10 negara aku pergi antaranya Indonesia, Turki, Greece dan UK. Sebenarnya tahun ini aku merancang nak ke Korea Selatan, bulan ini. 

Kuching menawarkan pelbagai lokasi menarik dan bersejarah untuk diterokai.

“Rancang nak sambut birthday di sana tapi Kementerian Kesihatan pula nasihatkan supaya tangguh perjalanan ke sana kalau tidak mendesak disebabkan wabak Covid-19 di sana sangat membimbangkan. Nasib baik tak beli tiket lagi,” jelas Fina. 

Sebenarnya ada hikmah juga untuk Fina bercuti di Malaysia sahaja, menjimatkan apatah lagi dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu. 

Manalah tahu, mungkin sampai juga Fina ke Johor dan Sarawak “Bumi Kenyalang “.

Saya yakin bukan sahaja Fina tetapi ramai lagi masih belum berkesempatan menjejaki kesemua negeri yang ada di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak. 

Kalau pun ada yang berkata sudah, namun saya percaya bukan meliputi semua tempat.

Setiap negeri di Malaysia ini mempunyai keunikan sendiri, daripada segi budaya serta tradisi dan destinasi percutian serta kehidupan masyarakat setempat.

Saya sendiri sudah menjejaki hampir kesemua negeri di Malaysia kecuali Labuan. Itu pun bukan semua tempat, daerah dan kampung.

Kundasang merupakan pekan kecil yang terletak berhampiran Gunung Kinabalu.

Contohnya, Sabah. Cuma bandar serta lokasi percutian popular di Kundasang, sedangkan banyak lagi pulau menarik di Semporna, contoh Pulau Mabul, Pulau Sipadan dan Pulau Bohey Dulang. 

Semenangnya, negara kita ini sebenarnya begitu kaya dengan khazanah destinasi percutian yang istimewa termasuk keseronokan penginapan desa yang menjanjikan pengalaman kehidupan di desa seperti menanam atau menuai padi. 

Negara kita juga begitu kaya dengan pemandangan alam semula jadi, termasuk banyak pulau dan kawasan perhutanan yang indah. 

Itu tidak termasuk lagi destinasi membeli-belah seperti kawasan bebas cukai, lokasi sejarah mahupun percutian bersandarkan aktiviti ekstrem serta pelbagai jenis makanan tempatan yang pastinya menjanjikan keseronokan berganda yang mungkin tidak diduga sebelum ini. 

Bahkan, saya yakin masih ramai lagi daripada kita yang belum mengenali dengan lebih dekat pelbagai keistimewaan sesuatu kaum dan etnik di negara ini. Walhal, inilah antara harta kita yang sangat berharga dan dikagumi masyarakat antarabangsa kerana keunikan budaya masyarakat majmuk negara seperti penghasilan produk kraftangan turut menjadi tumpuan pelancong luar. 

Ketika saya membuat liputan untuk program Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) di Sarawak, keterujaan begitu dirasai sebaik melihat penghasilan kraf produk suku kaum Iban seperti anyaman pua kumbu di mana sebelum ini saya tidak pernah melihatnya. 

Pelbagai kraftangan menarik dijual di Sarawak.

Itu baru satu. Bayangkan, betapa banyaknya produk kraftangan negara warisan nenek moyang sesuatu kaum atau etnik yang menarik serta unik yang mungkin masih belum dikenali ramai.

Sayang sekali. Ketika pelancong luar begitu sukakan dengan keunikan produk kraftangan negara dan juga pengalaman menarik percutian di sini tetapi kita pula masih ada yang cenderung memilih luar negara sebagai destinasi pelancongan. 

Memangnya tidak salah, tetapi apa kata kita turut sama menghargai keunikan yang ada selain menyedari bahawa Malaysia juga sebenarnya sangat istimewa sehingga berjaya menambat hati ramai pelancong antarabangsa. 

Sebenarnya, banyak manfaat apabila kita bercuti dalam negara. Bukan sahaja lebih menjimatkan, tetapi ia juga membantu pengusaha pelancongan tempatan serta merancakkan lagi program Tahun Melawat Malaysia (VM2020). 

Bagi mengalakkan masyarakat tempatan melancong dalam negara, beberapa inisiatif diperkenalkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan bekas Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Februari lepas. 

Antaranya, pengguna bakal memperoleh pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik, rakyat Malaysia diberi baucer digital bagi pelancongan domestik sehingga RM100 seorang untuk penerbangan domestik, kereta api dan penginapan di hotel berlesen.

Di samping itu, kerajaan juga akan menyediakan geran padanan untuk mempromosi pelancongan. Peruntukan sebanyak RM500 juta disediakan untuk langkah ini selain melonggarkan arahan untuk mengehadkan penggunaan hotel oleh agensi kerajaan.

Pemandangan senja di Pantai Teluk Cempedak yang terletak di Kuantan, Pahang.

Pakej bertemakan “Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan” yang bernilai RM20 bilion ini adalah merupakan usaha menangani ekonomi akibat penularan wabak penyakit Covid-19.

Langkah yang diperkenalkan ini dilihat dapat menarik minat masyarakat tempatan untuk memanfaatkan inisiatif tersebut dengan memilih bercuti dalam negara. Ini sedikit sebanyak dapat membantu merealisasikan matlamat Malaysia yang menyasarkan kedatangan 30 juta pelancong untuk 2020. 

Dalam hal ini, pemain industri pelancongan juga perlu menawarkan promosi hebat yang mampu memikat pelancong domestik dan bukan hanya tertumpu kepada pasaran luar sahaja. 

Apatah lagi, impak daripada Covid-19 menyebabkan pembatalan lebih 157,000 tempahan bilik hotel--kerugian sebanyak RM66 juta dari segi pendapatan sehingga 17 Februari, menurut Persatuan Hotel Malaysia (MAH) baru-baru ini. 

Malaysia menerima kira-kira 3.1 juta pelancong dari China pada 2019 dan 2.94 juta pada tahun sebelumnya. Sasaran untuk menerima lebih 3.26 juta pelancong dari negara itu pada 2020 mungkin terjejas akibat penularan Covid-19.

(Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis) - BERNAMA

cuti-cuti, Malaysia, Sabah, Sarawak, Covid19, VM2020

Artikel Lain