SETIAP kali berbicara mengenai dunia penerbangan pasti ramai tertanya-tanya mengenai situasi dilalui juruterbang, pembantu juruterbang dan anak kapal semasa di dalam pesawat. Antaranya yang menjadi persoalan adalah mengenai makanan juruterbang sewaktu mengendalikan sesebuah penerbangan. Ramai beranggapan juruterbang dan pembantu juruterbang akan menikmati makanan yang sama. Namun hakikatnya itu tidak benar sama sekali. ARTIKEL BERKAITAN: Kerusi nombor 13 tak wujud dalam pesawat ada kaitan unsur mistik? Juruterbang dan pembantunya tidak akan diberi makanan sama untuk mengelak masalah keracunan makanan. Kebiasaannya juruterbang akan disajikan makanan dari kelas pertama manakala pembantunya pula menerima makanan kelas perniagaan. Makanan yang disajikan berbeza untuk mengelak kes keracunan makanan. Namun juruterbang juga boleh bertukar makanan dengan pembantunya jika sudah bosan menikmati makanan yang sama. Itulah prosedur yang ditetapkan kebanyakan syarikat penerbangan untuk mengelak terjadinya perkara tidak diingini. Jarang kita dengar berlaku masalah keracunan makanan membabitkan dua individu penting dalam sesebuah pesawat tetapi ia pernah terjadi pada 1982. Sebuah penerbangan dari Boston ke Lisbon terpaksa berpatah balik selepas juruterbang, pembantu juruterbang dan jurutekniknya mengalami keracunan makanan selepas makan sejenis puding. Dalam pada itu, pesawat juga tidak dibekalkan dengan penyapu atau mop. Pramugari bertanggungjawab memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang di dalam pesawat. Pramugara atau pramugari hanya akan membersihkan kawasan basah atau bersepah dengan hanya menggunakan tisu. Selain itu, kehidupan anak kapal juga banyak dipengaruhi oleh jadual kerja mereka. Tiada istilah cuti hujung minggu untuk mereka yang memilih profesion ini. Setiap anak kapal akan merancang setiap aktiviti mereka mengikut roster yang dikeluarkan majikannya setiap 20 hingga 30 haribulan setiap bulan.