TAK tahu nak buat apa hujung minggu ini? Jika anda peminat seni jahitan kreatif dan pembuatan kraftangan, The Tunku Azizah Handmade Market (TTAHM) adalah jawapannya. Menariknya mengenai karnival ini diadakan sempena peranan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga penaung Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) selaku penganjur. ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beradik angkat martabat seni anyaman gigih hasilkan supik mengkuang khas buat delegasi global Tahun lalu, Tunku Azizah diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Ikon Kraf 2019 oleh Majlis Kraf Dunia (WCC), atas sumbangan baginda dalam mengekalkan warisan kraf tradisional. Anugerah itu akan disampaikan pada majlis Anugerah Kraf Antarabangsa (ICA) ketiga di GMR Aerocity, New Delhi pada 7 Disember, semasa Minggu Kraf India. Anugerah itu mempromosi, memberi inspirasi dan menggalakkan masyarakat dalam mengekalkan warisan kraf. Anugerah berkenaan penghormatan yang amat bertepatan bagi Tunku Azizah yang begitu aktif dalam mempromosi kraf tradisional, bermula sejak 2006. Baginda sinonim dengan tenun Pahang, sehingga memilih fabrik eksklusif yang menjadi identiti negeri Tok Gajah itu sebagai persalinan diraja pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 30 Julai lalu. Pada karnival ini, sebanyak 200 gerai yang menjual pelbagai hasil jahitan kreatif dan kraftangan oleh anak tempatan akan dijual kepada pengunjung bertempat di Sewing World Gallery, Sky Park @ One City USJ, Subang Jaya. Pelbagai barangan dijual pada karnival itu seperti pakaian, beg tangan, aksesori, perhiasan rumah, hasil seni kraftangan dan sebagainya. Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melakukan gimik pelancaran platform The Tuanku Azizah Handmade Market (TTAHM) di One City. Tak cukup dengan itu, pada acara empat hari itu turut diadakan bengkel jahitan kreatif, lawatan berpandu di Sewing World Gallery dan pameran seni jahitan kreatif. Menurut Pengerusi PSJKM, Chye Goet Lee, karnival itu bukan sahaja memfokuskan kepada penjualan sebaliknya sebagai persediaan bagi industri pembuatan kraftangan supaya dapat bergerak seiring dengan revolusi 4.0 disamping mempunyai akses pasaran lebih besar. Ini termasuk menawarkan jualan secara dalam talian agar industri ini tidak ketinggalan dan dapat bersaing dengan bidang lain serta mampu mencapai pelanggan dari luar negara. The Tunku Azizah Handmade Market ini adalah platform keusahawanan yang dibangunkan oleh PSJKM untuk membantu penggiat kraftangan tempatan memasarkan produk mereka secara langsung kepada pelanggan. Bagi memastikan industri kraftangan tidak ketinggalan, PSJKM turut memperkenalkan platrofm TTAHM Online melalui www.sewingworld.com.my.