SEJAK kebelakangan ini, percutian secara glamping menjadi trend dalam kalangan pelancong yang sukakan alam semula jadi dengan menginap dalam khemah di hutan atau kawasan luar bandar. Bagai yang tak tahu apa itu glamping, ia adalah kombinasi percutian 'glamour' dan 'camping' terutama kepada yang ingin mencari ketenangan dalam hutan berkonsepkan ala perkhemahan. Di Malaysia sendiri sudah banyak lokasi yang menawarkan percutian ini seperti di Gopeng Clamping Park (Perak) , Cabana Retreat (Sabah) dan Boulder Valley Clamping (Pulau Pinang) dan Cabana Retreat, Sabah yang memukau pandangan. ARTIKEL BERKAITAN: Jom kenal apa itu glamping... sekali try mesti nak cuba lagi Tetapi sejajar dengan populariti percutian itu - kini ia bukan sahaja boleh dinikmati di dalam hutan semata-mata sebaliknya dalam bandar besar seperti Kuala Lumpur pun anda boleh glamping! Lokasi yang cukup sesuai untuk bersantai bersama rakan-rakan dan keluarga. Buktinya, anda kini boleh merasai pengalaman glamping di tengah-tengah segitiga emas Kuala Lumpur iaitu di Castra by Colony yang terletak di atas bumbung bangunan Star Boulevard KLCC. Pemandangannya mungkin bukan pepohon hijau yang mendamaikan tetapi di sini anda dapat merasai pengalaman berkhemah bertemankan bangunan pencakar langit seperti KLCC dan Menara KL di depan mata! Unik bukan? Paling penting ia adalah lokasi menarik bagi membantu memenuhi kesibukan anda dalam merancang percutian hujung minggu bersama keluarga atau rakan-rakan. Pemandangan konkrit dari bumbung Star Boulevard KLCC. Malah di Castra by Colony juga anda boleh mengadakan perjumpaan bersama rakan-rakan, barbeku atau menjadikan ia sebagai lokasi meraikan sambutan hari jadi atau ulang tahun perkahwinan! Dengan keluasan tapak glamping seluas 4,510 kaki persegi, tiada masalah untuk memuatkan 100 tetamu pada satu-satu masa dan paling penting ada unsur privasi serta keselesaan. Tak cukup dengan itu, di Castra by Calony turut didatangkan dengan dua khemah gergasi yang berkonsepkan Mediterranean yang cukup selesa dan berhawa dingin. Cukup selesa untuk bersantai bersama teman. Bagi yang merancang untuk bermalam di sini, jangan bimbang! Castra by Colony boleh memuatkan sehingga 10 tetamu dalam khemah selain dilengkapi dengan kemudahan kelas pertama termasuk katil premium. Dalam khemah juga bukan sahaja ada penghawa dingin, tetapi televisyen definisi tinggi, pembesar suara serta sambungan wifi bagi keselesaan anda. Itu tidak termasuk bilik mandi dengan pancuran air panas serta mandian organik untuk anda dengan pakej serendah RM2,500 semalam! Wow. Memandangkan ia premis tertutup, di sini juga anda boleh melakukan pelbagai aktiviti termasuk barbeku atau bersantai di ruang yang disediakan.