LOKASI penggambaran filem Parasite yang memenangi Anugerah Oskar baru-baru ini menjadi perhatian penduduk tempatan dan pelancong yang mengunjungi Korea Selatan. Paling mendapat perhatian adalah kedai piza yang dipaparkan dalam beberapa babak filem itu sehingga penjualannya meningkat dua kali ganda. Restoran yang bersaiz kecil dan hanya boleh memuatkan 10 pelanggan pada satu-satu masa itu kini penuh dengan pelanggan yang ingin merasai piza yang disediakan. ARTIKEL BERKAITAN: 27 hari siapkan mural 7 PM Malaysia... kini Terengganu miliki pelbagai tarikan pelancong "Jualan meningkat sebanyak dua kali ganda! Malah mesin membuat piza kami rosak kerana terlalu banyak pesanan disediakan!," kata Eom Hang-ki, 65, pemilik Syk Pizza yang terletak di selatan Seoul. Kedai runcit kecil ini juga menjadi tumpuan pelancong. Parasite memenangi empat trofi Oskar dan mengukir sejarah apabila menjadi filem pertama bukan berbahasa Inggeris memenangi trofi utama, Filem Terbaik sejak ia diperkenalkan pada 1929. Diarahkan oleh Bong Joon Ho, ia dibintangi oleh Song Kang Ho, Lee Sun Kyun, Cho Yeo Jeong, Choi Woo Shik, Park So Dam dan Jang Hye Jin. Berikutan kemenangan itu, ramai mula menjejaki lokasi penggambaran filem itu. Melihat kepada fenomena itu, kerajaan Korea Selatan mula mempromosikan Parasite di laman web pelancongan dengan menekankan empat lokasi penggambaran filem itu. Sampai terowong pun diserbu peminat filem Parasite. Selain Sky Pizza, antara destinasi yang menjadi perhatian adalah di Pig Rice Supermarket di barat Seoul iaitu kedai runcit di mana watak utamanya, Kim Ki Woo lakonan Choi Woo Shik bertemu rakannya untuk menerima tawaran mengajar anak perempuan sebuah keluarga kaya. Pemilik kedai runcit itu, Kim Kyung Soon memberitahu dia sangat gembira dengan perhatian diberikan dan berterima kasih dengan produksi filem itu yang memilih kedainya sebagai lokasi penggambaran Parasite. Namun katanya, bukan semua penduduk di kawasan kejiranan itu gembira dengan perhatian diberikan malah ramai menyatakan kebimbangan ia akan merosakkan keharmonian. Parasite bukan yang pertama menjadi perhatian pelancong jika ke Korea Selatan malah sebelum ini beberapa lokasi penggambaran drama bersiri popular negara itu seperti Full House di Gwangyeok-si dan Winter Sonata (Nami Island) menjadi perhatian pelancong.