MENINGKATKAN amalan mencuci tangan dalam kalangan pengguna lapangan terbang dapat mengurangkan merebaknya penyakit berjangkit termasuk novel koronavirus. Kajian yang dijalankan juga mendapati, sekurang-kurangnya 10 lapangan terbang utama di seluruh dunia wajar menggalakkan orang ramai mencuci tangan. Lebih ramai membersihkan tangan di lapangan terbang, makan lebih besar kesannya untuk mengurangkan penyebaran penyakit, demikian kata penyelidik termasuk dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) di Amerika Syarikat. ARTIKEL BERKAITAN: Nak pastikan cuti anda tidak diganggu, ikuti 5 tip elak terkena wabak koronavirus Ia adalah antara hasil kajian berkaitan penyakit berjangkit termasuk flu yang dijalankan dan diterbitkan pada Disember lalu, sebelum wabak koronavirus di Wuhan, China. Bagaimanapun, kajian yang diterbitkan journal Risk Analysis boleh digunapakai untuk sebarang penyakit dan relevan untuk wabak yang melanda ketika ini, kata penyelidik berkenaan. Amalan mencuci tangan dengan cara betul boleh mengurangkan merebaknya penyakit berjangkit. Selalunya mencuci tangan hanya dilakukan secara kebetulan di lokasi yang sesak seperti lapangan terbang. Pengguna lapangan terbang yang majoritinya pelancong dari seluruh dunia sudah tentu akan menyentuh tempat letak tangan kerusi, kioks daftar masuk, tray pemeriksaan keselamatan, tombol tandas dan kepala paip. Berdasarkan data hasil kajian itu termasuk Persatuan Mikrobiologi Amerika, pasukan itu menganggarkan kira-kira 20 peratus pengguna lapangan terbang mempunyai tangan yang bersih - bermaksud mereka mencuci tangan menggunakan sabun dan air untuk sekurang-kurangnya 15 saat dalam kira-kira sejam. Baki 80 peratus lagi berpotensi telah dicemari dan tentunya apa sahaja yang disentuh terkena apa sahaja kuman yang dibawa. "Tujuh puluh peratus pengguna yang ke tandas akan mencuci tangan, manakala baki 30 peratus lagi tidak berbuat demikian dan daripada mereka yang mencuci tangan itu pula, hanya 50 peratus yang melakukannya dengan cara betul," kata Profesor Christos Nicolaides dari Universiti Cyprus juga felo MIT. Bagaimanapun, kebanyakan akan hanya membilas tangan dengan air tanpa menggunakan sabun atau mencuci tangan antara 15 ke 20 saat seperti yang disarankan. 20 peratus pengguna lapangan terbang mempunyai tangan yang bersih. Angka itu termasuk anggaran pendedahan kepada permukaan yang dicemari dan kontak secara langsung di sesebuah lapangan terbang, sekali gus membawa kepada kira-kira 20 peratus pengguna lapangan terbang mempunyai tangan bersih. Sehubungan itu, meningkatkan sehingga tiga kali ganda amalan mencuci tangan di lapangan terbang dunia boleh mencapai kepada 60 peratus pengguna atau penggembara yang akan mempunyai tangan bersih. Ia seterusnya akan memperlahankan penyebaran penyakit global kepada kira-kira 70 peratus, kata penyelidik itu. Pemilihan lapangan terbang untuk melaksanakan kempen ini sebaiknya mengambil kira lokasi di mana wabak itu mula merebak. Semua data yang dikumpul penyelidik diperoleh selepas mengambil kira jadual penerbangan seluruh dunia melibatkan durasi, jarak dan saling hubungan. Selain itu, tempoh menunggu di sesebuah lapangan terbang serta kadar berinteraksi secara umum di kawasan sekeliling lapangan terbang juga diberi perhatian. Wabak koronavirus menjadi kebimbangan seluruh dunia. Malahan, kata penyelidik itu, jika dapat diperbaiki walau sedikit kadar amalan mencuci tangan itu sudah cukup untuk memberi kesan. Penyebaran meluas kempen tangan bersih di semua lapangan terbang seluruh negara dapat kurangkan kadar merebaknya penyakit kira-kira 24 peratus. Tentunya ia dapat dicapai menerusi pendidikan, poster, pengumuman awam dan memperbaiki kemudahan mencuci tangan, kata penyelidik lagi. Hasil kajian itu didapati konsisten dengan cadangan yang diketengahkan Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Kedua-dua pihak berkenaan telah menyatakan bahawa kebersihan tangan adalah paling berkesan dan langkah kos efektif untuk mengawal merebaknya penyakit, demikian tegas penyelidik berkenaan.