OPERATOR resort Disney di Tokyo, Disneyland dan DisneySea memaklumkan pada Jumaat, taman tema itu akan ditutup untuk tempoh dua minggu kerana bimbang merebaknya wabak koronavirus, Covid-19. "Disneyland dan DisneySea Tokyo memutuskan untuk meneruskan dengan penutupan secara mengejut taman tema itu bermula Sabtu 29 Februari 2020 sehingga Ahad 15 Mac selepas kerajaan menggesan supaya langkah diambil untuk mengehadkan penularan virus berkenaan," demikian menurut operatornya. Operatornya, Oriental Land berkata, buat masa ini diharap ia taman berkenaan dapat beroperasi semula pada 16 Mac. "Buat masa ini, kami merancang untuk ia dibuka semula 16 Mac, tetapi kami akan putuskan tarikh sebenar pembukannya semula selepas meneliti situasi semasa dan perkembangannya. Kami juga akan merujuk pegawai agensi berkaitan," kata jurucakapnya kepada AFP. Lebih 30 juta pengunjung membanjiri dua taman berkenaan setiap tahun dan ia menjadi antara destinasi popular kepada pelancong ke Tokyo. Keputusan itu diambil susulan susulan langkah kerajaan Jepun meningkatkan usaha untuk menangani merebaknya virus berkenaan yang setakat ini telah mengakibatkan empat kematian di samping hampir 200 yang telah dijangkiti. Pada Khamis, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menggesa sekolah di seluruh negara itu ditutup untuk tempoh sebulan kecuali taska. Kerajaan juga menggesa orang ramai supaya bekerja dari rumah dan mengelak berada di khalayak ramai.