MESKIPUN Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik, dengan tiada tempat terkecuali, sebenarnya masih ada beberapa negara di dunia terselamat, lapor agensi berita Anadolu. Sejak pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember lalu, virus itu kini merebak dengan lebih 788,000 kes disahkan di seluruh dunia, hampir 38,000 nyawa terkorban, menurut Johns Hopkins University. Bagaimanapun, 16 negara, sebahagiannya negara Pasifik dan rantau Afrika serta Asia, masih tiada kes disahkan setakat ini. ARTIKEL BERKAITAN: Akibat Covid-19, majoriti negara dunia tutup pintu! Di Afrika, negara seperti Lesotho, Sudan Selatan, Yaman, Sierra Leone, Burundi, dan Malawi serta wilayah Sahara Barat buat masa ini belum melaporkan sebarang kes Covid-19. Korea Utara antara negara yang masih 'bersih' daripada wabak Covid-19 setakat ini. Di Asia pula negara seperti Turkmenistan, Tajikistan dan Korea Utara. Terdapat juga beberapa negara di Kepulauan Pasifik, yang popular sebagai destinasi pelancongan ketika waktu biasa, kelihatan belum terjejas dengan virus itu, disebabkan kedudukannya yang jauh lagi terpencil. Kepulauan Cook masih bebas Covid-19 sehingga hari ini. Negara itu termasuk Tonga, Samoa, Vanuatu, Kepulauan Cook, Niue dan Tuvalu. Keseluruhannya, virus Covid-19 kini merebak ke sekurang-kurangnya 178 negara dan wilayah di seluruh dunia.