suria

Tak sabar nak travel? Hilangkan rindu bercuti, jom pusing-pusing Kuala Langat

Menikmati suasana tenang di Pantai Morib.

BAGI kaki travel, sebenarnya di negara kita sendiri terdapat banyak lokasi menarik untuk diterokai antaranya di Kuala Langat, Selangor.

Bagi penduduk di kawasan ini, sudah menjadi pemandangan biasa apabila melihat kunjungan ramai orang menerokai daerah Kuala Langat yang mempunyai pelbagai keistimewaan.

Manakala bagi mereka yang belum pernah ke daerah itu, beberapa tip di bawah ini boleh memenuhi lawatan sehari anda ke sana termasuk meninjau ke sekitar bandar Banting, Pulau Carey, Jugra, Morib dan juga Teluk Datok yang sememangnya mempunyai keunikan tersendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Rancang kembali melancong? Ini yang perlu fikir dan buat sebagai persediaan awal

1) Sarapan di Kedai Kopi dan Makanan Phua Kian Guan



Antara menu menarik di Kedai Kopi sambil menikmati dekorasi berkonsepkan zaman dahulu.

Mulakan hari anda dengan menikmati sarapan di salah sebuah restoran Cina pilihan ramai di daerah ini. Dekorasi dalaman premis ini yang bercirikan gaya lama semestinya akan membawa anda kembali ke zaman dahulu!

Anda sudah tentu akan berasa kagum dengan pilihan kuih dan mi yang pelbagai, lebih lebih lagi, kuih Chai dan ubi keledek goreng hasil air tangan Phua Kian Guan yang tiada tandingannya.

2) Berjalan-jalan di sekitar Kuil Fo Guang Shan Dong Zen

Terletak di Jenjarom, kuil yang berkeluasan 16 ekar serta dibina pada 1994 ini adalah rumah bagi semua mercu tanda utama seperti Waterdrop Teahouse, Taman Lumbini dan Galeri Seni Fo Guan Yuan.

Selain itu, pemandangan yang menakjubkan di kuil ini akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang datang ke sini! Tambahan pula, tiada bayaran masuk dikenakan dan anda boleh kunjungi kawasan ini bermula pukul 10 pagi setiap hari.

3) Pelajari budaya Orang Asal Negeri Selangor di Perkampungan Kebudayaan Mah Meri



Jangan lupa mengetahui asal usul budaya Orang Asal Negeri Selangor.

Anda dapat melihat dan merasai sendiri kehidupan sebenar suku-kaum Mah Meri serta aktiviti-aktiviti mereka dengan menyertai pakej lawatan yang ditawarkan. Semasa anda berada di sini, jangan lupa untuk kunjungi bengkel Mah Meri untuk menimba ilmu mengenai seni kraf tangan yang tentunya memberikan pengalaman lawatan yang lebih mengujakan!

4) Makan tengahari di Restoran Selera Tujuh

Pastikan anda tidak ketinggalan untuk makan tengah hari di Restoran Selera Tujuh yang terletak di bandar Banting ini! Terdapat pelbagai jenis makanan Malaysia yang terdiri daripada nasi ayam, nasi ambeng, asam pedas, ikan bakar dan bermacam-macam lagi pilihan yang patut anda cuba! Sekiranya anda adalah seorang rakyat Malaysia yang sudah terdedah dengan kepelbagaian budaya, sudah pasti anda akan menyukai setiap hidangan lazat di restoran ini.

5) Membeli-belah di kedai Kerepek Ros yang terkenal



Pelbagai pilihan kerepek untuk dibawa pulang.

Setuju ataupun tidak, membeli-belah adalah salah satu perkara yang paling seronok untuk dilakukan ketika melancong! Terdapat pelbagai jenis makanan ringan yang dijual di sini antaranya kerepek ubi masin, pisang tanduk, kuih siput dan macam-macam lagi!

6) Bersiar-siar di Bukit Jugra dan sertai aktiviti paragliding



Bagi yang suka sukan lasak, jangan lupa menempahnya untuk merasai pengalaman baharu.

Tidak dapat dinafikan, Bukit Jugra adalah antara tarikan yang sangat popular di Kuala Langat! Meskipun ianya akan mengambil sekitar 1 jam pendakian, setiap tempat di kawasan ini adalah sangat berbaloi untuk dilawati! Di bahagian atas bukit, anda akan dapat menikmati sebuah pemandangan yang indah. Juga, sekiranya anda adalah seseorang yang sukakan cabaran, anda bolehlah menempah sesi paragliding yang mengambil masa selama 10 minit!

7) Lawati Kuan Wellness Eco Park



Jangan lupa singgah untuk merakam pemandangan menarik di sini.

Oleh kerana daerah ini terkenal sebagai antara destinasi pengeluar sarang burung yang terbaik di Malaysia, pastikan anda tidak ketinggalan untuk ke Kuan Wellness Eco Park yang berhampiran Pantai Batu Laut. Di dalam taman tersebut, anda akan dapat menikmati pelbagai jenis tarikan seperti Swiftlet Home, Eco Park, Bird Nest Gallery dan juga Eco-Café! Anda juga dapat menyaksikan bermacam macam spesis burung, ikan dan reptilia lain di zoo mini mereka.

8) Singgah ke Mansion 1969 Café untuk minum petang



Suasana tenang di Mansion 1969.

Setelah menerokai seluruh bandar sepanjang hari, anda pasti memerlukan sedikit gula untuk mendapatkan tenaga semula! Oleh itu, kunjungi kafe berkonsep vintaj ini untuk dapatkan pencuci mulut dan kopi mereka yang enak untuk menghilangkan tpenat.

9) Saksikan pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan di Pantai Morib

Tiada ada yang lebih menenangkan selain berjalan-jalan di sekitar Pantai Morib untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam. Sebilangan besar pengunjung singgah ke pantai ini semata-mata untuk menikmati pemandangan pantai yang indah serta udaranya yang segar sudah pasti akan membuatkan anda berasa selesa! Terdapat juga medan selera berhampiran yang menawarkan seleksi menu Ikan Bakar dan Sotong Goreng Tepung yang sangat enak!

10) Makan malam di Assam Batu Laut



Antara hidangan istimewa yang disediakan.

Salah satu cara yang terbaik untuk menamatkan hari anda adalah dengan menikmati makan malam di restoran makanan laut yang terbaik di Kuala Langat! Ia menawarkan sejumlah menu yang enak seperti Ikan Merah Stim Asam dan Ikan Kerapu Stim yang disajikan dengan halia yang dicincang; anda perlu mencubanya! Semua sajian yang mereka jual di sini adalah sangat segar dan ianya tidak akan mengecewakan anda.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain