suria

Kini berstatus bandar raya, ini 5 destinasi menarik di Subang Jaya

Pemandang indah Sunway City pada waktu malam.

SEJAK dibangunkan pada 1976, Subang Jaya kini menjadi kawasan yang maju dan moden maka tidak hairanlah ia telah menerima status sebagai sebuah bandar raya susulan pengisytiharan naik-taraf Majlis Perbandaran Subang Jaya kepada Majlls Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020.

Bandar raya ini sangat unik dan menarik kerana dilengkapi dengan pelbagai aspek seperti kemudahan pengangkutan awam yang baik serta kawasan institusi pengajian tinggi seperti kolej dan universiti, pusat membeli-belah dan komersial, hospital, kawasan hiburan dan banyak lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Jom tambah koleksi foto di Instagram anda... semak 6 lokasi seni jalanan sempoi di Selangor

Merujuk kepada data statistik kedatangan pelancong ke Selangor untuk 2019, Subang Jaya telah merekodkan jumlah kedatangan pelancong yang tertinggi ke Selangor iaitu sebanyak 1.8 juta orang pelancong daripada keseluruhan 7.62 juta pelancong pada tahun sama.

Hal ini merupakan bukti yang nyata, bandaraya Subang Jaya merupakan sebuah destinasi pelancongan yang utama di Malaysia khususnya di Selangor.

Berikut adalah beberapa keunikan dan keistimewaan bandar raya ini yang perlu anda ketahui dan mungkin untuk dilawati dan diletakkan dalam senarai 'Places to Visit' dalam jurnal pelancongan peribadi anda!

1. Bandar Mines

Bandar Mines ini dirasmikan pada tahun 2011 yang kini merupakan sebuah bandar peranginan dan kesihatan. Tempat ini terkenal dengan hotel-hotel mewah, tempat penjagaan kesihatan yang berkualiti, dewan besar dan banyak lagi.

Destinasi pelancongan yang sering dikunjungi di Mines Wellness City adalah seperti The Mines Golf Club and Resort, The Mines Beach Resort & Spa, Malaysia International Exhibition & Showroom (M.I.N.E.S), The Mines Shopping Fair, dan juga The Mines Waterfront Business Park. Destinasi pelancongan ini juga terkenal untuk pelancong dari negara Timur Tengah.

2. Bandar Sunway

Bandar Sunway terkenal sebuah kawasan pelancongan yang menarik yang boleh dikunjungi. Antara tarikan di sini adalah taman tema air Sunway Lagoon yang digabung dengan taman hiburan, rumah hantu serta taman hidupan liar.

Terdapat juga pusat membeli-belah Sunway Piramid yang menawarkan aktiviti ice skating, memanah, permainan boling dan banyak lagi selain daripada aktiviti membeli-belah. Terdapat juga Sunway Pyramid Hotel, Sunway Resort Hotel and Spa, Sunway Clio Hotel, Sunway Medical Centre, dan juga Sunway University di Bandar ini.

Bandar berintegrasi ini amat menarik bagi pelancong dalam dan luar negara kerana ianya menawarkan pelbagai segmen, pengalaman dan aktiviti pelancongan yang lengkap. Luangkan tiga hari dua malam di Bandar Sunway; pasti anda dapat merasai pengalaman yang menarik di sini!

3) Bandar Puchong

Tahukah anda, Bandar Puchong telah wujud hampir 120 tahun yang lalu di mana ia bukan sahaja terkenal dengan sektor ekonomi dan industri, malah juga sektor pelancongan.

Tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di Bandar Puchong ini adalah seperti Kenari Lane yang merupakan kawasan mural atau seni jalanan yang menarik untuk bergambar, pusat membeli belah terkenal seperti IOI Mall Puchong dan Setiawalk Puchong, Uptown Puchong Night Bazaar, Hotel Four Points by Sheraton Puchong, dan Kampung Orang Asli Rasau Hilir.

Puchong juga dikenali dengan destinasi syurga makanan terutamanya makanan ‘street food’, makanan tradisonal kaum Cina dan banyak lagi.

4. Kawasan institut pendidikan tinggi

Bandaraya Subang Jaya juga merupakan hab pendidikan tinggi yang mana ia mempunyai banyak kolej dan universiti antarabangsa yang terkenal seperti Kolej Taylor’s University, Sunway University, Kolej Inti, Kolej Segi, Kolej ALFA, Kolej Metropolitan dan banyak lagi.

Jika anda ingin menimba ilmu ke peringkat yang lebih tinggi, Bandaraya Subang Jaya mempunyai banyak insititut pengajian tinggi ternama yang boleh dipertimbangkan.

Dari segi kemudahan sememangnya sangat lengkap, seperti kemudahan pengangkutan awam, penginapan untuk pelajar, pusat membeli belah dan pusat aktiviti riadah untuk para pelajar yang belajar di sini.

5. Medical and Wellness

Bandaraya Subang Jaya merupakan destinasi pelancongan perubatan dan kesihatan terkemuka Negara. Terdapat beberapa hospital terkemuka di Subang Jaya seperti Sunway Medical Centre, QHC Medical Centre, Subang Jaya Medical Centre dan Sime Darby Medical Centre.

Bukan itu sahaja, terdapat juga pusat kecantikan dan spa yang boleh dikunjungi seperti Blossom Spa & Wellness Centre, Mandayu Spa & Wellness Centre, Heavenly Spa, Beauty Palace Muslimah Spa, SOTHYS Premium Facial, De Skin Beauty Saloon, Ridz Okumura Salon dan banyak lagi.

6) SS15

SS15 terkenal sebagai hab makanan dan kedai-kedai hipster untuk anda luangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan. Jika singgah di SS15, anda boleh ke kedai makan dan kafe terkenal seperti Rojak dan Cendol SS15, Restoran Jibril, Nasi Lemak Warisan Sambal Opah, Gold Chilli, Mezcla Burrito Bar, Warung Cikgu, Tryst Café dan banyak lagi.

Di sini boleh diibaratkan sebagai syurga makanan kerana terdapat banyak pilihan makanan yang digemari 'food hunter'. Di sini juga banyak kedai-kedai yang menjual air ‘bubble tea’ dari pelbagai jenama yang ternama.

SS15 juga terkenal dengan kawasan untuk anak-anak muda Subang Jaya mahupun dari Daerah lain, untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan dan keluarga pada hujung minggu.

Bandaraya Subang Jaya bukan sahaja moden dan pesat membangun malah pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya juga berusaha mengekalkan kawasan persekitaran yang harmoni dan bersih serta sering mengadakan program dan karnival seperti 'Kayuhan Jom Sihat', aktiviti senamrobik, program penanaman pokok, pertandingan melukis untuk kanak-kanak dan banyak lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain