suria

'Train to Dabong' jadi tumpuan pelancong nikmati pemandangan hutan hujan tropika

Kereta Api Dabong juga menjadi pengangkutan pelajar yang ingin ke sekolah.

PERJALANAN kereta api KTM di Kelantan yang mendapat jolokan sebagai "Train To Dabong'' dari Tumpat ke Dabong menjadi tumpuan dalam kalangan penduduk tempatan.

Menurut Pengarah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Kelantan (MOTAC), Mohd Aidil Afizie Daud, produk pelancongan terbaharu ini juga digelar ‘Jungle Train’ kerana ia melalui kawasan luar bandar yang penuh dengan pemandangan hutan hujan tropika.

ARTIKEL BERKAITAN: Hong Kong dan Singapura buka pintu pelancongan antara negara, tak perlu kuarantin tapi ada syarat lain

Kata Mohd Aidil, produk pelancongan kereta api dari Wakaf Baru, Tumpat ke Dabong di Kuala Krai melebihi 140 kilometer itu memakan masa hampir tiga jam. Ini katanya adalah salah satu daripada 10 produk pelancongan ikonik di Kelantan di bawah program Homestay dan kereta api.



Pemandangan indah di stesen kereta api Dabong, Kelantan.

"Stesen Kereta Api Dabong adalah stesen transit untuk Homestay Jelawang berhampiran Gunung Stong. Pengalaman menaiki kereta api di Kelantan sangat berbeza kerana biasanya perjalanan biasa akan melalui bangunan konkrit seperti laluan di pantai barat," katanya.

Seni bina dan reka bentuk setiap stesen juga sangat unik dan menarik untuk Instagram.

Bermula dari Tumpat, jumlah orang yang menaiki kereta api akan meningkat apabila kereta api berhenti di beberapa stesen termasuk Wakaf Bharu, Pasir Mas, Temangan, Bukit Abu, Kuala Krai dan beberapa stesn kecil lain untuk mengambil penumpang ke stesen terakhir, Dabong.

Salah seorang penumpang, Saiful Azlan Yusof, 40, berkata, dia tidak sabar untuk membawa anak dan isterinya menaiki kereta api itu setelah ia tular di media sosial.



Pelajar menaiki kereta api untuk ke sekolah.

"Kali terakhir saya menaiki kereta api adalah 30 tahun lalu, ketika saya mengikuti ayah yang berkerja di klinik di Dabong. Pada masa itu, sangat seronok kerana di stesen kereta api banyak penjaja makanan dan ramai turut naik kereta api. Seronok kalau dapat hidupkan kembali detik-detik seperti itu," katanya.

Sementara itu, dalam acara berasingan, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Nancy Shukri mengingatkan semua pengendali pelancongan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mencegah gelombang pandemik berikutnya.

"Pemain industri perlu memainkan peranan penting dengan memastikan semua pelancong mencatat kehadiran mereka serta menyemak suhu badan selain menggunakan pembersih tangan sebelum mengunjungi tempat-tempat menarik," katanya.

Nancy berkata walaupun penyebaran Covid-19 sekarang di hampir semua negeri membimbangkan, pematuhan SOP yang ketat akan memastikan pelawat berasa yakin untuk mengunjungi tempat-tempat pelancongan di negara ini. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain