suria

Kaitkan Kuala Sepetang dengan kota popular di Itali buat ramai tak puas hati, siap ‘troll’ lagi – “Orang Perak pun tak pernah cakap ni Venice, over la alahai”

Kuala Sepetang di Perak kini menjadi tarikan pelancongan. -foto instagram Dan.Din.Drone

RAKYAT Malaysia mula merancang 'cuti-cuti Malaysia' berikutan pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, termasuk penutupan pintu sempadan negara pada masa ini.

Tarikan pelancong tempatan di negara ini tidak kurang hebatnya, malah setanding dengan destinasi-destinasi menarik di luar negara.

Antara lokasi yang popular adalah Kuala Sepetang dekat Taiping, Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: "Orang pernah cakap, sunset di Sabak Bernam lawa..." - Remaja Malaysia terharu gambar hari terakhir percutian kini dilihat 23 juta pengikut Instagram Apple

ARTIKEL BERKAITAN: Wah! Apple nun jauh di Amerika hargai foto rumput hijau di utara tanah air, jurugambar tak kecil hati ada yang perlekeh - "Setakat macam ni, biasa je..."

Beberapa foto yang memaparkan keindahan panorama dan landskap di perairan kampung nelayan itu rakaman lensa jurugambar Syed Iman Udin dari udara menggunakan dron.

"Ini bukan di Venice Itali, tapi di Kuala Sepetang, Perak. Kuala Sepetang lebih dari sebuah perairan kampung nelayan. Dulunya dikenali sebagai Port Weld," menurut keterangan posting di laman Twitter Viral Perak.



Keterangan yang mengaitkan Kuala Sepetang dengan Venice.

Walaupun tidak merujuk Kuala Sepetang sebagai Venice, namun mengaitkan lokasi itu dengan destinasi pelancongan popular Itali itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

"Saya rasa tak ada siapa akan kata ini Venice," komen seorang netizen.

"Venice tu tempat banyak bangunan cantik kot. Ni (Kuala Sepetang) nampak macam tipikal kampung nelayan. Tak ada pun bangunan hebat-hebat. Ni mesti jenis yang fikir kalau tempat banyak bot disamakan dengan Venice," kata netizen lain.



Panaroma Kuala Sepetang yang memukau. foto instagram Dan.Din.Drone

"Orang Perak pun tak pernah cakap ni Venice. Over la alahai," ujar yang lain.

"Kenapalah kau cuba samakan macam Venice, lima peratus pun tak sampai," kata netizen seolah-olah keliru dengan perbandingan antara Kuala Sepetang dan Venice.

Segelintir netizen pula menjadikannya sebagai 'troll' atau sindiran sinis dengan memberi kenyataan mahupun pandangan masing-masing.

"Kalau admin tak cakap ni Sepetang, mati-mati ingat Venice," kata netizen.

"Venice tak ada air sungai teh tarik!" ujar yang lain merujuk kepada warna sungai keruh berwarna coklat.



Komen netizen di ruangan bebenang.

Malah, di ruangan bebenang terdapat netizen berkongsi pemandangan Venice di Itali dari udara dengan kapsyen: “Ini bukan Kuala Sepetang, Perak tapi di Venice, Itali. Itali lebih kepada bandar perairan. Dulunya dikenali sebagai Ristretto Espresso Doppio Lungo."

"Apa salahnya acah-acah Venice walaupun Kuala Sepetang. Barulah rakyat Malaysia," komen yang lain.

Namun bagi yang pernah menjejakkan kaki di Kuala Sepetang, antara tarikan lain di perkampungan itu adalah menu popular dalam kalangan pengunjung iaitu mi udang.



Mi udang antara tarikan di Kuala Sepetang.

Selain itu, Kuala Sepetang juga membawa orang luar merasai pengalaman menakjubkan dengan meronda sekitar hutan payau bakau.

Destinasi pelancongan yang menghadap Selat Melaka itu memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan helang berterbangan, selain pelbagai aktiviti berasaskan alam semula jadi lain boleh disertai termasuk menyaksikan cahaya kunang-kunang ketika malam.



Antara komen netizen.

Beberapa netizen berkongsi foto mi udang yang dinikmati mereka semasa kunjungan ke Kuala Sepetang.

Turut dikongsi netizen adalah sekeping foto yang menunjukkan seorang pemuda bergaya di tepi jeti berlatarkan sebuah restoran di Venice.

"Sedap mi udang kat belakang tu," ujar netizen berkenaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain