suria

Wow! 12 ‘Hero Pelancongan Malaysia’ kongsi rahsia bertahan ketika pandemik menerusi SMTH 2.0

Ramai penggiat industri pelancongan terjejas akibat pandemik Covid-19 sepanjang tahun ini.

PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia ternyata memberi impak luar biasa terhadap industri pelancongan.

Tidak terkecuali di Malaysia, banyak syarikat pelancongan yang terpaksa gulung tikar apabila industri ini lumpuh khususnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi melandaikan graf jangkitan wabak berkenaan.

Di sebalik keperitan yang dirasai siapa sangka ada pengusaha bidang pelancongan masih bertahan, malah melangkah lebih cemerlang biarpun mereka juga sebenarnya terkesan dengan situasi semasa yang sedang melanda seluruh dunia.



Kisah 12 syarikat pelancongan terbaik ini turut dibukukan menerusi penerbitan dalam talian (e-publication) Showcasing Malaysia's Tourism Heroes 2.0 (SMTH 2.0) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Tourism Industry Nexus (TPN) yang telah dimuatnaik di laman web MPC http://www.mpc.gov.my/ebook/latest-heroes/index.html.

Menurut Pengerusi Produktiviti Pelancongan Nexus, Uzaidi Udanis, SMTH 2.0 merupakan penerbitan kedua selepas siri pertama yang dilancarkan pada tahun lalu dan berharap versi ini mampu memberi manfaat buat penggiat industri pelancongan di luar sana.

"Ia telah diterbitkan pertama kali pada tahun lepas yang mana kita mengiktiraf beberapa 'hero pelancongan' Malaysia. Kali ini amat penting sebab kita mengalami pandemik Covid-19.

Pengerusi Produktiviti Pelancongan Nexus, , Uzaidi Udanis.

"Kita lihat ramai penggiat industri cuba bertahan dalam keadaan sekarang. Kita terbitkan e-publication SMTH 2.0 yang mana kita iktiraf 12 syarikat yang menunjukkan prestasi bagus walau dalam keadaan pandemik, ” katanya dalam dalam satu temuramah bersama mStar.

Menurut Uzaidi, apa yang diharapkan melalui penerbitan ini adalah penggiat industri yang lain dapat mencontohi amalan terbaik oleh syarikat-syarikat cemerlang yang diketengahkan.

"Dengan adanya buku ini, kita boleh belajar mengenai amalan dan model terbaik dalam industri pelancongan. Malah, penggiat industri boleh berhubung dengan 12 syarikat ini untuk mendapatkan ilmu," ujarnya.

Mengulas situasi semasa industri pelancongan negara, Uzaidi mengakui ia cukup terjejas dan memberi saranan kepada syarikat-syarikat terlibat agar tidak takut melakukan perubahan untuk terus bertahan, seterusnya kekal dalam industri.

Menerusi MPC dan TPN sendiri, mereka turut menggariskan beberapa inisiatif serta menyediakan platform yang boleh dimanfaatkan oleh penggiat industri pelancongan tempatan dalam tempoh sukar ini.

"Pihak kerajaan selalu mengatakan tentang norma baharu. Jangan harapkan zaman kegemilangan dahulu, jadi kita jangan terlalu selesa.

"Zaman dah berubah, dunia dah berubah, cara pelanggan kita membeli produk (pelancongan) pun dah berubah. Kita tengok siapa yang boleh bantu kita?

MPC dan TPN menggariskan beberapa inisiatif serta menyediakan platform yang boleh dimanfaatkan oleh penggiat industri pelancongan tempatan dalam tempoh sukar ini.

"Itu sebabnya pihak MPC melalui TPN telah menyediakan pelbagai platform. Kita ada mentor yang boleh memberi latihan dan bantu industri melalui program Malaysia Virtual Experience (MyVXp)," ujarnya lagi.

Salah satu syarikat yang terpilih untuk berkongsi kisah mereka dalam buku berkenaan adalah Maverick Trainers and Consultants yang mendapat pengiktirafan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) pada tahun 2019.

Wakil syarikat itu, Emma Muis sewaktu ditemui turut senada dengan Uzaidi dan menyifatkan Covid-19 serta pelaksanaan PKP sebagai satu tamparan besar buat dirinya sendiri dan pengusaha pelancongan yang lain.

Memegang prinsip enggan berputus asa, dia cuba bangkit dan menggunakan teknologi yang ada bagi membolehkan syarikat itu terus bertahan.

"Dengan bantuan TPN, kami dapat idea bagaimana untuk mengharungi pandemik dengan menukar cara kami bekerja. Perlu berubah, kalau tidak, kita akan gagal untuk bertahan.

"Kita jangan anggap pandemik sebagai halangan untuk membuat langkah seterusnya. Sentiasa ada jalan. Bak kata orang... tutup satu pintu, kita keluar ikut tingkap.

Dua wakil Maverick Trainers and Consultants Sdn Bhd yang mendapat pengiktirafan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) pada tahun 2019.

"Dalam apa jua situasi dihadapi, kita cuba buat penilaian apa yang boleh dilakukan untuk mara ke hadapan. Memang ramai terjejas sehingga gulung tikar," ujarnya.

Kata Emma lagi, dia juga melihat situasi yang menimpa rakan seperjuangan lain sebagai satu pengajaran untuk syarikatnya lebih bersedia pada masa akan datang.

Paling penting katanya, penggiat industri haruslah berfikiran terbuka dan mendekati pihak-pihak terlibat seperti TPN apabila buntu untuk meneruskan langkah dalam situasi pandemik Covid-19 yang cukup getir.

Selain Emma, Hassan Muhamad Suyat dari Santika Hulu Langat turut melihat Covid-19 yang melanda seluruh dunia sebagai satu titik tolak perubahan dalam syarikatnya agar mereka terus utuh dalam situasi pandemik.

Mesra disapa Hassan, dia juga mengakui hampir terduduk tatkala PKP mula dilaksanakan sehingga memaksanya berfikiran di luar kotak agar tidak gulung tikar sebagaimana yang telah berlaku kepada sebahagian pemain industri yang lain.

Hassan dari Santika Hulu Langat turut melihat Covid-19 yang melanda seluruh dunia sebagai satu titik tolak perubahan dalam syarikatnya.

"Dulu kita main belasah je, selepas terduduk teruk semasa PKP... kita cuba ubah balik struktur perniagaan sebagaimana yang saya kongsi dalam buku SMTH 2.0.

"Kini syarikat kami akan menyimpan 20 peratus. Maknanya, masuk sahaja keuntungan, terus simpan siap-siap 20 peratus. Prinsip ini tak terlintas pun di fikiran sebelum PKP dilaksanakan.

"Selepas PKP, kita mula ada kesedaran bagaimana untuk tambah baik syarikat. Kita tukar mentaliti, kita gunakan konsep-konsep baharu dan cuba. Kalau berkesan, kita teruskan.

"Kemudian kita cuba berkolaborasi dengan pemain industri. Jangan berhenti belajar, dari situ akan dapat idea daripada kawan-kawan dalam industri untuk terus bergerak.

"Kami memang jangka industri ini akan pulih semula. Saya berharap moga ia berjalan seperti biasa. Cuma dalam tempoh sekarang, kita buat pemasaran secara dalam talian," ujarnya lagi.

Selain dua syarikat ini, ‘wira’ lain yang turut disenaraikan dalam penerbitan berkenaan termasuklah Arba Tour & Travel, Jenoba Tourism, Ohana Adventure Sport, ORL Ventures, Outdoor Geeks Products & Services, Pearl Island Adventure, Pulau Buta Eco Tourism, Rashihah Resources (RNR), SEAAT Resources (South East Adventure Travel) dan Hafiz Cherating Activities.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain