suria

Makan, ambil gambar, shopping! Ada 9 lokasi best di Klang yang boleh anda lawat dalam masa sehari

Pemandangan indah di Tanjung Harapan yang cukup memukau.

BANDAR Klang yang dikenali sebagai 'bandar Diraja' terkenal dengan sejarah dan budayanya yang mampu menambat hati penduduk tempatan dan pelancong asing.

Dari keindahan alam semulajadi sehinggalah kawasan peninggalan bersejarah, setiap tarikan di bandar ini harus anda kunjungi!

ARTIKEL BERKAITAN: Menara Kuantan 188 kedua tertinggi dalam Malaysia, tarikan terbaharu di Pahang

Daerah Petaling kini juga dikenali sebagai lokasi pemprosesan barang-barang import dan eksport terbaik di Asia menerusi Pelabuhan Klang. Tourism Selangor mengesyorkan beberapa aktiviti menarik untuk pengalaman luar biasa di Klang!

8.00 am.: Sarapan pagi di Chong Kok Kopitiam

9.00 am.: Jelajah Bandar Klang melalui Program Royal Klang Town Heritage Walk Tour

12.00 pm.: Makan tengah hari di Archana Curry House

1.00 pm.: Berjalan di sekitar Little India di Jalan Tunku Kelana

2.00 pm.: Membeli-belah di GM Klang

5.00 pm.: Bersantai di Café 1986, Botanic untuk minum petang

6.00 pm.: Menikmati pemandangan matahari terbenam di Tanjung Harapan

7.00 pm.: Makan malam di Restoran Faridah Nasi Ayam & Kambing Bakar

8.30 pm.: Bersiar di sekitar Pasar Malam Teluk Pulai pada waktu malam

1. Sarapan pagi di Chong Kok Kopitiam

Mulakan hari anda dengan bersarapan di salah sebuah kedai makan yang cukup terkenal di Klang. Sering dikunjungi ramai penduduk tempatan, restoran ini sering menjadi pilihan warga Klang dan juga para pelancong luar.

Oleh itu, anda haruslah mengambil peluang untuk datang ke sini dan mencuba kopi buatan mereka yang digemari ramai, roti kukus atau roti bakar disaluti mentega dan kaya, dan juga telur separuh masak!

2. Jelajahi Bandar bersejarah Klang melalui Program Royal Klang Town Heritage Walk Tour

Semasa berada di Klang, anda digalakkan untuk menjelajahi seluruh bandar untuk satu perjalanan yang lebih menarik! Anda juga boleh menyertai lawatan berpandu yang disediakan oleh Tourism Selangor secara percuma, di mana anda akan dibawa ke pelbagai lokasi menarik dan bersejarah di sekitar bandar Klang!

3. Makan tengah hari di Archana Curry House

Seringkali disarankan oleh penduduk bandar ini, pastikan anda singgah ke salah sebuah restoran terbaik dengan menu autentik yang terdapat di Klang.

Archana Curry House ini telah giat menjalankan perniagaan mereka selama lebih dari 15 tahun. Terkenal dengan hidangan khasnya, nasi daun pisang yang disajikan dengan ayam peratal, ia adalah salah satu menu yang mesti anda cuba!

4. Berjalan di sekitar Little India yang terunggul di Jalan Tunku Kelana

Bersiar-siarlah di sekitar Jalan Tengku Kelana yang sering dipenuhi dengan orang ramai untuk mendapatkan pelbagai jenis pilihan barangan. Faktor ini telah menjadikan lokasi ini sebagai salah sebuah tempat kegemaran pelancong!

Antara yang menarik perhatian ialah deretan kedai yang menjual pakaian tradisional, tekstil, makanan ringan di bahu jalan dan gerai jualan lain yang turut mempromosikan kebudayaan kaum India di Malaysia.

5. Beli-belah di GM Klang

Jika anda sedang mencari sebuah lokasi terbaik untuk berbelanja, GM Klang adalah pilihan ramai! Masuklah ke dalam pasar borong besar yang menawarkan aneka jenis barangan termasuk pakaian, makanan, barangan hiasan rumah, barang-barang perkahwinan dan juga barangan elektronik.

Bukan sahaja mereka menyediakan anda dengan produk-produk yang berkualiti, malahan harganya juga adalah sangat berpatutan untuk semua!

6. Santai di Café 1986, Botanic untuk minum petang

Kepada sesiapa yang mengatakan bandar Klang ini kurang memilik kafe berestetik, inilah masanya untuk buktikan mereka salah. Bagi mereka yang ingin berada di kafe yang sesuai untuk bersantai serta dihidangi makanan yang lazat, jangan lupa untuk singgah ke Café 1986 ini.

Menyajikan anda dengan pelbagai jenis makanan dari makanan Barat mereka sehinggalah pencuci mulut yang digemari ramai, sudah pasti ianya akan menambat hati anda!

7. Menikmati pemandangan matahari terbenam di Tanjung Harapan

Terletak berdekatan dengan Medan Muara Ikan Bakar yang terkenal, Tanjung Harapan kini terkenal sebagai salah satu tempat berehat pilihan ramai pada waktu petang! Kebanyakan orang ramai yang mengunjungi tempat ini sanggup memandu jauh hanya untuk melihat pemandangan matahari terbenam yang sungguh luar biasa.

Pemandangan laut yang cukup menenangkan serta angin sepoi-sepoi bahasa tentu akan membuatkan anda melupakan sementara segala masalah anda!

8. Makan malam di Restoran Faridah Nasi Ayam & Kambing Bakar

Adakah anda sedang mencari nasi ayam yang lazat di Klang? Jangan bimbang kerana Restoran Faridah sudah pasti akan menepati cita rasa anda! Jangan ketinggalan untuk mencuba menu utama mereka iaitu nasi ayam dan kambing bakar!

Oleh kerana restoran ini terletak berhampiran dengan Pasar Raya Matahari, anda tidak akan ada masalah untuk mencari lokasinya.

9. Bersiar-siar di sekitar Pasar Malam Teluk Pulai

Berjalan-jalanlah di sepanjang pasar malam yang terkenal di mana anda pasti akan berasa teruja dengan makanan-makanan Melayu, Cina dan India yang dijual di sini!

Dengan pelbagai pilihan makanan yang ada, kini lokasi ini sering dikunjungi oleh para pelancong untuk mendapatkan seleksi makanan tempatan yang terbaik di tengah-tengah bandar! Di pasar malam ini juga terdapat pelbagai jenis gerai yang menjual pakaian dan barang keperluan rumah.

Percutian pendek anda ke bandar Klang tidak akan lengkap tanpa melawati kawasan-kawasan indah yang disenaraikan! Ambillah peluang ini untuk menerokai bandar DiRaja ini yang sudah pasti akan menambat hati anda dengan bangunan bersejarahnya yang memiliki senibina luar biasa.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain