SEBANYAK 34 peratus daripada rakyat Malaysia merancang untuk melancong dalam tempoh tiga bulan akan datang dan angka itu meningkat sebanyak lima peratus berbanding sebulan yang lalu menurut Indeks Perjalanan yang dilakukan Finder.com. Rancangan perjalanan antarabangsa jangka pendek juga mencapai tahap tertinggi dalam tempoh empat bulan, dengan 15 peratus merancang untuk ke luar negara pada September, Oktober atau November ini.ARTIKEL BERKAITAN: Bangkitkan semangat patriotik anda! Kenali 5 lokasi di Selangor tersimpan 1,001 sejarah dan kisah menarik Hampir satu perempat golongan dewasa di Malaysia iaitu 24 peratus merancang untuk melakukan perjalanan dalam negeri pada September, Oktober dan November berbanding 23 peratus menerusi tinjauan sama pada Julai. Editor Finder.com, Angus Kidman berkata, terdapat sedikit lonjakan terhadap rancangan perjalanan itu bertepatan dengan cadangan kerajaan untuk mempertimbangkan kebenaran merentas negeri bagi individu yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19. "Untuk pertama kalinya sejak tinjauan pada April, kita melihat peningkatan jumlah rakyat Malaysia merancang perjalanan jangka pendek. Ramai berharap agar pandemik segera berakhir. "Pada April, 44 peratus rakyat Malaysia merancang untuk bercuti tetapi angka itu turun menjadi 36 peratus pada Mei, 33 peratus (Jun), 30 peratus (Julai) sebelum angka itu naik kepada 34 peratus pada Ogos. "Kami menjangkakan lebih ramai akan merancang percutian domestik dan antarabangsa apabila lebih banyak yang sudah melengkapkan vaksin dan syarikat penerbangan menawarkan harga tiket yang murah," katanya. Bagaimanapun kata Angus, penting untuk lebih peka terhadap keadaan semasa dan sekatan perjalanan sebelum membuat tempahan tiket kapal terbang atau pakej percutian selain bersedia terhadap sebarang kemungkinan. Indeks Perjalanan Finder adalah tinjauan berterusan yang setakat ini mengumpulkan respons daripada 170,000 responden. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI