KETIKA ini ekonomi dan industri pelancongan beransur pulih selepas hampir dua tahun ia tidak dapat bergerak akibat wabak Covid-19 dan ramai mengambil peluang untuk bercuti ke destinasi menarik di seluruh Malaysia. Melihat kepada perkembangan itu, Islamic Tourism Centre (ITC) menyarankan Pelancongan Islam sebagai salah satu langkah ke hadapan untuk destinasi pelancongan global.ARTIKEL BERKAITAN: Tinggalkan rumah seketika, alami nikmat percutian sebenar... segala yang anda impikan ada dalam kempen terbaharu Marriot Bonvoy! Dengan sejumlah 1.8 bilion penduduk Islam di seluruh dunia, menerokai pasaran pengguna Islam dilihat sebagai antara strategi utama untuk meningkatkan industri pelancongan dan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik.Bagi merealisasikan hasrat itu, ITC akan menjadi tuan rumah World Tourism Conference (WITC) dari 15 hingga 17 November untuk mengetengahkan peluang yang ada dalam segmen Pelancongan Islam dalam tempoh pasca pandemik. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Pelancongan Islam dan konsep Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim adalah satu penjenamaan yang berkesan dan cara pemasaran untuk menarik pasaran Muslim dalam situasi pelancongan baharu yang mana kesihatan dan keselamatan menjadi keutamaan. Nancy berkata Pelancongan Islam adalah pemasaran menarik untuk menarik pelancong Muslim. Dalam meneroka pasaran pelancong Muslim, Nancy mencadangkan tiga strategi utama iaitu inovasi, pengetahuan dan kerjasama selain memberitahu penggiat industri pelancongan perlu inovatif dalam pembangunan produk dan pembinaan kapasiti bagi mencipta produk dan perkhidmatan sesuai untuk pelancong beragama Islam. "Dengan menyesuaikan produk dan perkhidmatan sedia ada untuk memenuhi keperluan pasaran pelancong Muslim dan menggunakan standard dan pensijilan yang memberi jaminan kepada pengguna Muslim, sesebuah destinasi boleh menyediakan diri mereka dengan lebih baik untuk memenuhi kehendak pasaran," katanya. Sementara itu, Nancy berkata, pengetahuan tentang pasaran pelancongan Muslim juga penting untuk memahami keperluan am dan unik serta tingkah laku dan kehendak mereka dalam membuat pilihan percutian. Nancy turut meminta pelbagai latihan, peningkatan kemahiran dan penyelidikan dilakukan sebagai persiapan penggiat industri dalam memahami pasaran yang mampu membantu pembangunan dan kepelbagaian produk. Masjid Negara antara mercu ikonik di Kuala Lumpur. "Bagi penggiat industri pelancongan, kerjasama boleh meningkatkan usaha pemasaran dan penjenamaan sambil mewujudkan ekosistem yang lebih kukuh untuk memenuhi kehendak pasaran pelancong Muslim dengan berkesan. "Skop Pelancongan Islam amat luas dan hubungannya dengan bidang sosio-ekonomi yang lain membuka begitu banyak peluang untuk semua orang. Malah, Pelancongan Islam adalah bidang yang belum diterokai sepenuhnya dan berpotensi dalam memajukan Ekonomi Islam secara keseluruhan," ujarnya. Beliau optimis pelancong Islam akan terus melancong apabila sempadan dibuka semula secara beransur-ansur. Pada kemuncak pelancongan sebelum wabak Covid-19, perbelanjaan pelancong Muslim berjumlah USD194 bilion, dan dijangka mencecah AS$208 bilion pada 2024, dengan mengambil kira kesan pandemik. Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah ITC, Datuk Dr Mohmed Razip Hasan pula memberitahu persidangan WITC penting kerana ia mengetengahkan tentang sektor Pelancongan Islam yang sedang berkembang dan bagaiman ia boleh menjadi strategi penting ke arah pemulihan ekonomi dan destinasi pelancongan global. Persidangan antarabangsa itu menampilkan topik-topik yang menarik dan barisan penceramah yang hebat dan disegani daripada sektor kerajaan dan majlis bandar raya, komuniti diplomatik, pemilik perniagaan, industri pelancongan, ahli akademik dan media. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI