TAHUN lalu sahaja Kuala Lumpur sudah pun memiliki 197 pusat beli belah yang menawarkan pelbagai pilihan dan pengalaman terutamanya bagi kaki shopping! Meskipun dua tahun kebelakangan ini pandemik Covid-19 telah banyak mengubah landskap perniagaan secara seismik, namun 2022 memperlihatkan lebih banyak pusat beli belah dibuka. ARTIKEL BERKAITAN: Jom jalan-jalan... 7 destinasi pelancongan ini dianggap ‘syurga’ dunia! Ia sudah pasti dapat memberi keseronokan buat pengunjung selain dapat merancakkan kembali ekonomi yang terjejas akibat pandemik. Berikut merupakan tiga pusat beli-belah terbaharu yang sudah dibuka kepada orang ramai termasuk dua lagi dijangka dibuka akhir tahun ini. 1. Mitsui Shopping Park Lalaport KL Bakal beroperasi pada 20 Januari 2022 ini, Mitsui Shopping Park Lalaport, Bukit Bintang City Centre (Lalaport BBCC) - menempatkan hampir 400 kedai yang kebanyakannya jenama dari Jepun. Lalaport merupakan fasiliti luar negara pertama di Asia Tenggara oleh Mitsui Fudosan Co. Ltd, dengan keluasan 861,000 kaki persegi yang membezakannya dengan pusat beli belah lain. Kehadiran jenama Coo&RIKU antara salah satu kelainan di sini selain Nitori (rumah dan kediaman), Nojima (elektronik), kedai roti Kobe DONQ/Mini one, dan restoran Yakiniku Sizzle oleh Yakiniquest antara kedai yang wajib dikunjungi. Sisa-sisa Penjara Pudu yang dirobohkan di mana Lalaport telah didirikan itu, menggunakan simbolik warna putih di pintu masuk utama pastinya akan memenuhi ruangan Instagram pada hari pembukaannya nanti. 2. Pavilion Bukit Jalil Pavilion Bukit Jalil mempunyai banyak keunikan yang wajib diterokai di bangunan lima tingkat dengan keluasan 1.8 juta kaki persegi dan pusat beli belah itu kini mula menerima kunjungan orang ramai. Barangan berjenama seperti Goodnite, HOHM (kedai keperluan rumah terbesar), Shiseido Ginza Tokyo, The Coffee Academics, Christine Bakery's dan pelbagai jenama mewah semestinya menarik minat pengunjung. Keluasan ruang acara 28,000 kaki persegi meliputi piazza sebagai pusat hiburan luar untuk menganjurkan acara perayaan dan pelancaran cukup mengagumkan. Tidak hanya itu, terdapat juga akses jejantas baharu sebagai sebahagian daripada pelan induk untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kemudahan pelanggan ke pusat beli belah itu. Ia termasuk jalan sepanjang 100 kaki, pelebaran jalan kepada enam lorong, pusingan U baharu, laluan bawah tanah dan akses terowong ke tempat letak kereta bawah tanah pusat beli belah yang akan datang. 3. Sungei Wang Plaza Pusat beli belah legenda Malaysia Sungei Wang Plaza, antara yang paling lama beroperasi di Malaysia sehingga melepasi beberapa dekad kini kembali hidup dengan pandangan serba baharu selepas menjalani projek baik pulih besar-besaran keempat yang bermula 2017 lalu. Seiring dengan perkembangan, Sungei Wang Plaza menunjukkan rupa 'glistening gold' yang mewakili bangunan itu sebagai 'Beauty & Experiential Mall' - menawarkan kedai yang berbeza di samping aktiviti yang menarik seperti indoor rock-climbing gym, indoor adventure park, indoor drift kart, muzium miniatur warisan dan pelbagai lagi. 4. 118 Mall Bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa iaitu Merdeka 118 bakal mempunyai sebuah pusat beli belah iaitu 118 Mall yang pastinya memberi pengalaman membeli belah berbeza. Pusat beli belah ini berbeza dengan kompleks lain apabila ia dikelilingi empat ekar kehijauan taman linear sesuai untuk mereka yang penat seharian menjelajah bandar. Lebih menakjubkan lagi, 118 Mall dihiasi dengan ciri air dan kubah kaca yang sangat besar menerusi bangunan dengan satu juta kaki persegi itu. Bagaimanapun, setakat ini masih tiada sebarang khabar berita mengenai pembukaan pusat beli-belah ini tetapi ia pasti akan menjadi tempat yang wajib dikunjungi orang ramai apabila ia dibuka kelak. 5. The Exchange Bangunan bercirikan moden ini dilihat sebagai pemangkin dalam pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) untuk memacu bandar ke arus perkembangan dunia maju. TRX memiliki empat tingkat yang berkeluasan kira-kira 1.3 juta kaki persegi - mengintegrasikan taman awam seluas 10 ekar. Malah konsep dewan makanan Depachika dan Dairy Farm memperkenalkan dalam pusat beli-belah mewah seluas 23,000 kaki persegi ini. Seperti yang didengari daripada khabar angin, pusat beli-belah itu akan dipenuhi dengan pelbagai jenama mewah yang beroperasi di luar sebagai tarikan tetamu untuk datang. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI