suria

Mahu kelainan di Terengganu? Setiu ‘syurga’ pencinta alam semula jadi... Paragliding Bukit Bubus paling menakjubkan!

Wan Rozza melakukan aktiviti paragliding buat pertama kali.

KAKI travel pastinya tidak pernah puas untuk mengembara selagi mempunyai kudrat.

Pulau Perhentian sudah, Pulau Kapas dan Tasik Kenyir pun sudah pergi.

Itulah yang difikirkan oleh seorang pengembara seperti saya ketika membuat keputusan untuk melancong ke Terengganu sekali lagi.

Saya inginkan sesuatu yang berbeza kali ini. Lantas saya membuat carian di internet dan media sosial lalu membawa saya ke tiga lokasi yang belum pernah saya kunjungi.

cuti tganu Glamping Bowl Tent

Glamping Ball Tents di Rembulan Escape.

Menerusi percutian selama tiga hari dan dua malam pada Mac lalu, saya dan rakan-rakan menginap di Rembulan Escape dekat Pantai Mangkuk.

Nama Rembulan Escape itu sendiri membuatkan saya tertarik untuk menginap di sini. Lari daripada hiruk-pikuk kesibukan itulah yang saya mahukan.

Sesuai dengan namanya, ia merupakan suatu escapism bagi saya. Terletak di Kampung Mangkuk, perjalanan dari Kuala Terengganu mengambil masa hanya satu jam.

Sepanjang perjalanan anda tidak akan berasa bosan kerana di kiri kanan terdapat rumah-rumah kampung dan pohon nyiur sejuk mata memandang.

cuti tganu Red Bowl dan Blue Bowl Container House

Penginapan di Rembulan Escape.

Deruan ombak dan hembusan angin pantai dekat Rembulan Escape mencetuskan suasana yang cukup mendamaikan.

Terletak berhadapan Pantai Penarik, lokasi ini pernah tular kerana landskapnya yang cukup cantik.

Persepsi khemah berubah

Setibanya di sini, saya disambut mesra oleh pemilik Rembulan Escape, Dr Azlawati. Anda boleh memilih samada untuk menginap di Blue Bowl Container House, Red Bowl Chalet atau Glamping Ball Tents.

Hari pertama, saya memilih untuk menginap di Glamping Ball Tents. Pada mulanya saya agak skeptikal kerana pengalaman aktiviti berkhemah sewaktu zaman persekolahan dahulu membuatkan perkhemahan bukanlah aktiviti kegemaran saya.

cuti tganu Setiu Wetlands 2

Wan Rozza di hadapan Setiu Wetlands.

Namun, sejurus saya masuk ke dalam khemah persepsi tersebut ternyata berubah. Lantas di fikiran saya mengatakan 'aku tidak mahu keluar dari khemah ini'.

Ternyata ia cukup memberi keselesaan, ruang yang luas dengan dekorasi minimal menjadikannya sesuai untuk seisi keluarga dan mereka yang berkunjung bersama rakan-rakan.

Keesokkan hari, saya memilih Red Bowl Chalet. Chalet ini dan Blue Bowl Container House selalunya menjadi pilihan keluarga kerana menyediakan dapur untuk memasak. Terdapat set memanggang di perkarangan chalet untuk mereka yang ingin melakukan aktiviti barbeku.

cuti tganu Setiu Wetlands

Setiu Wetlands menawarkan sembilan ekosistem berbeza.

Seterusnya saya berpeluang ke destinasi eko pelancongan, Setiu Wetlands. Di sini saya dibawa ke sembilan ekosistem berbeza di sekitar kawasan sama iaitu laut, sungai, pantai, muara sungai, pulau, lumpur paya bakau, lagun, paya air tawar dan hutan paya bakau. Menakjubkan!

Pakej river cruise membawa saya ke Setiu Boardwalk menyelusuri keindahan hutan paya bakau. Bagi saya, Pantai Kuala Setiu sesuai untuk aktiviti beriadah dan barbeku. Manakala Pulau Busung pula untuk hardcore camper dan mereka yang gemar memancing.

cuti tganu Setiu Wetlands Rivercruise

River cruise menyelusuri hutan paya bakau.

Pertama kali paragliding

Buat pertama kali, saya mencuba aktiviti udara, iaitu paragliding di Bukit Bubus. Anda boleh memilih untuk melakukan paragliding secara solo sekiranya berpengalaman atau bersama juruterbang paragliding.

Perjalanan dari Rembulan Escape mengambil masa lebih kurang sejam. Setibanya di sana, saya dibawa menaiki pacuan empat roda untuk naik ke Bukit Bubus.

Dari tempat berkumpul ke puncak bukit hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit. Sepanjang perjalanan hati berdebar kerana ini merupakan cubaan saya yang pertama.

Sementara menunggu giliran, saya dan rakan-rakan mengambil peluang untuk bergambar. Bagi mereka yang belum ada keberanian untuk melakukan aktiviti paragliding. anda boleh ke puncak Bukit Bubus untuk menikmati pemandangan dan sesi bergambar.

cuti tganu aragliding Bukit Bubus

Pemandangan laut biru yang terbentang luas dikelilingi kehijauan hutan di Bukit Bubus.

Tibalah giliran saya untuk 'terbang' rakan-rakan bersorak memberi semangat tetapi mengakui berasa gementar.

Manakan tidaknya, saya perlu terjun dari puncak bukit ke arah laut. "Ok, lari!" kata juruterbang paragliding. Saya berlari selaju mungkin dan tidak lama kemudian kaki saya tidak lagi menjejak tanah.

Saya kini di udara, di bawah pemandangan laut biru yang terbentang luas dikelilingi kehijauan hutan sekitar Bukit Bubus.

Antara pemandangan tercantik yang saya lihat, subhanallah. Saya rasa puas dan berbaloi kerana menikmati pemandangan darat dan laut pada masa sama.

cuti tganu bukit bubus

Wan Rozza menyaksikan pemandangan indah di Bukit Bubus.

Siapa sangka, misi saya menerokai lokasi pelancongan yang berbeza akhirnya tercapai. Banyak lagi lokasi di Terengganu yang belum saya jejaki.

Jika ditanya apa yang paling menarik, saya sarankan semuanya kena pergi dan rasai kerana semuanya ada tarikan tersendiri, lain daripada yang lain.

Tak sabarnya saya ke Terengganu lagi untuk merasai pengalaman lebih menarik.

**Wan Azfarozza Wan Athmar atau lebih dikenali sebagai Wan Rozza merupakan pensyarah berasal dari Melaka dan menyukai destinasi percutian di pulau dan pantai.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain