suria

AAX perkenal laluan baharu ke Australia, New Zealand! Kanggaru, beruang koala menunggu anda

Panorama memukau di Melbourne, Australia. foto Leesan

TERBAYANGKAN kecomelan kanggaru dan beruang koala, pasti mengingatkan anda kepada destinasi pelancongan menarik di Australia.

Berita baik untuk kaki travel, syarikat penerbangan jarak sederhana dan jauh, AirAsia X (AAX) mengumumkan laluan baharu ke Melbourne (Tullamarine) dan Perth di Australia mulai 1 November 2022.

Pengumuman itu turut melibatkan laluan ke Auckland di New Zealand, juga bermula 1 November.

Wah, tak sabar rasanya untuk meneroka keindahan bandaraya Auckland yang menjanjikan kepuasan tersendiri.

AAX akan memulakan semula perkhidmatannya ke Melbourne (Tullamarine), Perth dan Auckland (melalui Sydney) dengan tiga penerbangan mingguan dan akan meningkatkan kekerapan kepada penerbangan harian secara beransur-ansur menjelang suku pertama 2023 untuk memenuhi peningkatan permintaan.

perth australia com

Keindahan Perth, Australia. foto Australia.com

Ketiga-tiga destinasi baharu ini tersedia untuk tempahan daripada RM499 ke Perth, RM699 ke Melbourne dan RM1,999 ke Auckland termasuk semua sehala di kelas ekonomi.

Para tetamu juga boleh menikmati Premium Flatbed daripada RM1,999 ke Perth, RM2,999 ke Melbourne dan RM5,999 ke Auckland sehala.

Bagi tetamu yang terbang ke Kuala Lumpur, mereka juga boleh menikmati tambang bernilai hebat termasuk semua sehala daripada AUD209 dari Perth, AUD359 dari Melbourne dan NZD499 dari Auckland di kelas ekonomi; dan dari AUD1,099 dari Perth, AUD1,999 dari Melbourne dan NZD1,999 dari Auckland untuk Premium Flatbed.

ARTIKEL BERKAITAN: AirAsia sambung flight ke 2 laluan Vietnam! Dah boleh bayangkan angin pantai Nha Trang, indahnya air terjun Da Lat

AAX juga terbang dari Kuala Lumpur ke Sydney dengan tambang termasuk semua sehala daripada RM899 di kelas Ekonomi dan RM2,799 untuk Premium Flatbed, serta tambang pulang dari AUD309 di kelas ekonomi dan AUD899 untuk Premium Flatbed bermula September 2022.

auckland nz com

Tarikan di Auckland, New Zealand. foto New Zealand.com

Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail berkata, pihaknya berbesar hati untuk memulakan semula perkhidmatan ke Australia dan New Zealand sebagai strategi pengembangannya dengan tambang bernilai hebat untuk perjalanan jarak sederhana dan jauh.

"Kami juga ingin mengumumkan bahawa kami akan kembali memulakan perkhidmatan ke Lapangan Terbang Melbourne (Tullamarine) yang menawarkan lebih fleksibiliti dan rangkaian untuk tetamu yang melakukan perjalanan ke dan dari negeri Victoria.

"Pada 2019, kami telah menerbangkan lebih sejuta tetamu ke kedua-dua negara, menunjukkan Australia dan New Zealand adalah pasaran penting dan kami juga menghubungkan jumlah yang sama warga Australia dan New Zealand ke Malaysia dan merentasi Asean," katanya dalam satu kenyataan.

brighton beach melbourne freepik jcomp

Pantai Brighton dekat Melbourne. foto Freepik / Jcomp

Selepas dua tahun, Benyamin berkata, AAX kini kembali dengan lebih kuat dan berbangga untuk memperbaharui komitmen untuk menjadikan perjalanan udara jarak sederhana dan jauh berpatutan kepada semua orang di seluruh rantau ini dan Asean.

"Berikutan sempadan dunia dibuka semula dan sekatan perjalanan semakin berkurangan, kami yakin perkhidmatan baharu ini akan memenuhi permintaan ramai. Tambahan pula, Premium Flatbed kami kekal sebagai tempat duduk kos rendah terbaik dan sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada para tetamu ke/dari Australia dan New Zealand.

"Apa yang penting dengan lebih banyak laluan dalam rangkaian kami pada tahun ini, para tetamu dengan tempahan tertunggak akan dapat menggunakan baucar perjalanan mereka untuk menempah perjalanan masa depan ke pelbagai destinasi menarik.

"Kami akan membawa kembali destinasi kegemaran semua dan berharap untuk mengalu-alukan para tetamu kembali terbang dengan tambang bernilai hebat dan perkhidmatan terkemuka kami," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain