suria

Semakin ‘mewangi’, Floria Diraja Putrajaya kembali meriah dengan hampir sejuta jenis tumbuhan

Haslinda (kiri) melihat bunga marigold yang menghiasi laluan pejalan kaki.

BAYANGKAN anda dikelilingi hampir sejuta jenis pokok, tumbuhan dan bunga-bungaan yang ditanam dalam taman!

Pengalaman indah ini bakal menanti pengunjung apabila Floria Diraja Putrajaya membuka tirai hari ini (29 Ogos) di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya.

Bertemakan 'Orkid' pada tahun ini, tumpuan utama yang bakal menggamit pengunjung adalah dinding bunga menegak yang dipenuhi dengan orkid daripada pelbagai spesies dan kacukan, terutama daripada kelompok Dendrobium.

Dipilih kerana keupayaan kelopaknya menahan haba, Dendrobium adalah kelompok terbesar daripada semua kumpulan orkid dengan hampir 2,000 spesies, kata Naib Presiden Jabatan Landskap, Perbadanan Putrajaya (PPj), Abdul Aziz Buang.

Berpengalaman menerajui pesta bunga terbesar itu sejak 2007, Abdul Aziz turut memasukkan beberapa jenis orkid daripada kelompok Phalaenopsis pada dinding bunga tersebut, berikutan lonjakan popularitinya dalam tempoh tujuh tahun lalu.

"Kelopaknya kelihatan seperti sayap rama-rama. Ia juga kegemaran saya," katanya.

Satu lagi acara istimewa sempena Floria Diraja Putrajaya kali ini adalah pameran khas di Floral Pavillion di mana persaingan sengit dijangka berlangsung dengan menampilkan 18 pereka bunga tempatan dan antarabangsa dalam 55 kategori yang dipertandingkan.

Sementara itu, pengunjung juga pasti terpesona dengan pemandangan pada waktu malam yang menakjubkan hasil kesan pencahayaan khas, dengan lilitan lampu LED pada pohon dan tanaman.

Secara keseluruhannya, pameran bunga terbesar ini bakal dipersembahkan dalam tidak kurang daripada 15 konsep yang berbeza, dengan setiap daripadanya mempunyai tema yang berlainan.

floria 1

Abdul Aziz (kiri) berpengalaman menyelia penganjuran acara Floria Diraja Putrajaya sejak 2007.

Sebagai contoh, bagi suasasa bertemakan koboi, pokok kaktus yang muncul buat pertama kali ditempatkan pada bahagian khas bersama tumbuhan jenis bromeliad dan succulents.

Spesies kaktus gergasi seperti Golden Tong yang boleh mencapai ketinggian purata kanak-kanak berumur dua tahun adalah tarikan utama di bahagian ini.

Sejarah

Diadakan buat kali pertama pada 2007, Floria Putrajaya pada asalnya tampil dengan objektif untuk menjadi acara dwitahunan berorientasikan keluarga bagi menghidupkan kalendar aktiviti Putrajaya, kata Pengarah Perancangan dan Pembangunan Taman PPj, Haslinda Khalid.

Ujarnya, namun penganjur sama sekali tidak menjangkakan sambutan yang hangat daripada orang ramai.

"Pada tahun pertama, kami menerima 300,000 pengunjung. Apabila ia diadakan untuk kali kedua, pada 2009, kami menerima 504,000.

"Disebabkan sambutan hangat, kerajaan memutuskan untuk mengadakannya setiap tahun. Pada 2010, bilangan pelawat meningkat kepada 740,000 orang. Menjelang 2011, jumlahnya mencecah lebih satu juta," kata Haslinda.

Sambutan yang diterima pada 2011 membuatkan penganjur menyedari bahawa pameran berkenaan kini sudahpun bertukar status menjadi sebuah acara mega.

Kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang menganjurkan perarakan bot berhias berlayar merentasi Tasik Putrajaya, diiringi pertunjukan bunga api yang menerangi langit malam, adalah satu kolaborasi yang menjadi paling bersejarah dalam kalendar Floria Putrajaya.

Menjelang 2012, berikutan peningkatan jumlah peserta antarabangsa, Floria Putrajaya diletakkan sepenuhnya di bawah bidang kuasa dan pengurusan PPj untuk tujuan perancangan dan pengawalseliaan yang lebih baik.

Abdul Aziz berkata, salah satu faktornya adalah jumlah bunga dan tumbuhan yang begitu banyak diperlukan untuk pameran tersebut.

floria 3

Zoo haiwan peliharaan (petting zoo) ditempatkan di taman permainan kanak-kanak di Anjung Floria, khas untuk pengunjung cilik.

"Sebagai contoh, untuk mencipta padang rumput bunga bagi menghias laluan pejalan kaki setiap tahun, kami akan menggunakan tidak kurang daripada 250,000 marigold pelbagai warna.

"Selain itu, kami juga ada bunga jenis lain seperti periwinkle, kosmo dan petunia sebagai tambahan. Untuk penjimatan kos yang lebih baik, ia disemai di Pusat Kecemerlangan Landskap dan Pertanian Putrajaya (MyPlace) seluas 4.04 hektar di mana banyak bunga dan tumbuhan yang digunakan untuk landskap di bandar ini turut ditanam.

"Faktor lain ialah apabila bunga dibawa keluar untuk dipamerkan semasa pertunjukan, ia mesti mekar. Untuk merealisasikannya, tukang kebun perlu menetapkan masa penanaman bunga tahunan kira-kira 60 hari sebelum pameran membuka tirai agar bunga mekar dengan cantik pada hari tersebut," katanya.

Semakin menyerlah saban tahun

Pada 2014 ketika Sultan Kedah ke-27, Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14, baginda berkenan supaya nama Floria Diraja digunakan mulai tahun tersebut dan seterusnya.

Pada tahun yang sama, acara tersebut telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records kerana mempunyai bilangan peserta antarabangsa paling ramai dalam pesta bunga.

Ini diikuti beberapa pengiktirafan lain seperti Anugerah Kecemerlangan Joyce White oleh Majlis Bunga Dunia pada 2015, dan pengiktirafan untuk kecemerlangan kreatif di Pameran Bunga dan Taman Melbourne, dan Anugerah Pencapaian Hijau Institut Arkitek Landskap pada 2017.

Menurut Haslinda, penyertaan sekolah dan universiti pada acara tahunan tersebut juga merupakan satu kebanggaan bagi penganjur.

"Tidak semua festival bunga dan taman melibatkan institusi pendidikan tempatan dalam acara mereka. Tetapi kami yakin bahawa kehadiran mereka adalah penting untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan alam semula jadi dan menarik lebih ramai golongan muda melanjutkan pelajaran dalam bidang pertanian dan hortikultur," katanya.

floria 2

Lautan bunga 'celosia' bakal memikat pengunjung. Hampir sejuta jenis pokok, tumbuhan dan bunga ditanam di Anjung Floria untuk Floria Diraja Putrajaya 2022.

Pada tahun ini, kira-kira 20 sekolah rendah dan menengah akan mempertandingkan kemahiran green thumb skills dalam pertandingan menghasilkan terarium (ekosistem miniatur tumbuhan).

Di bawah kategori institusi pendidikan tinggi menyaksikan tujuh penyertaan, kebanyakannya dihantar daripada mereka yang mengikuti kursus seni bina landskap.

Pemula ekonomi

Digembar-gemburkan sebagai pertunjukan bunga mega, Royal Floria bukan sekadar pertunjukan kecantikan.

Sepanjang tempoh tujuh hari pameran, lebih 300 aktiviti telahpun dirancang antaranya demonstrasi gubahan bunga, bengkel berkebun, pertandingan fotografi, aksi hiburan, pertandingan seni cat air dan aktiviti kraf.

"Selepas kelembapan ekonomi akibat sekatan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak dua tahun lalu ekoran pandemik Covid-19, salah satu matlamat acara ini adalah penjanaan semula aktiviti perniagaan bagi mereka yang terlibat dalam bindang landskap, bunga dan hiasan serta industri tumbuhan.

"Memandangkan pameran ini juga produk pelancongan berimpak tinggi, ia akan membawa limpahan ekonomi yang positif kepada masyarakat setempat," kata Haslinda lagi.

Selepas dua tahun acara tersebut 'berehat' seketika, Abdul Aziz menjangkakan keghairahan para pengunjung mampu memacu jualan tumbuhan di Garden Bazaar, Hort Mart serta kedai makanan dan minuman.

"Lebih-lebih lagi berkebun telah menjadi antara aktiviti popular berikutan PKP," katanya.

Susulan trend tersebut, ia turut menghidupkan semula minat untuk aktiviti keusahawanan menyediakan peralatan untuk nurseri, aksesori berkebun dan gajet untuk pertanian berteknologi tinggi, di samping perkhidmatan perundingan untuk perkhidmatan landskap dan pengurusan taman.

Tambah Abdul Aziz, secara tidak langsung, Floria Diraja Putrajaya menjadi medan perhimpunan buat 'kaki bunga' dan menjadi medium yang bagus untuk membina rangkaian.

Floria Diraja Putrajaya 2022 bakal berlangsung selama tujuh hari dan akan menutup tirainya pada 4 September.

Pameran dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain