suria

Lokasi paling Insta-worthy di Hanoi, 'Train Street' kembali meriah selepas 3 tahun sunyi tanpa pelancong

Train Street kembali dibuka secara tidak rasmi sejak beberapa bulan lalu. Foto: Manan VATSYAYANA/ AFP.

LOKASI pelancongan popular Hanoi iaitu Train Street ditutup kepada orang ramai sejak 2019 atas faktor-faktor keselamatan.

Namun, lokasi yang dianggap sebagai hotspot untuk pengguna Instagram itu dilaporkan sudah kembali dibuka beberapa bulan lalu.

Terletak di tengah Hanoi, pelancong dapat menyaksikan gerabak kereta api meluncur laju dengan bunyi yang kuat, melalui kawasan itu dalam jarak yang begitu rapat dengan bangunan di sepanjang landasannya.

Bangunan-bangunan yang terletak di sepanjang jajaran laluan itu pula terdiri daripada kediaman yang kebanyakannya telah bertukar menjadi kafe, bar dan kedai cenderamata.

Lokasi popular ini ditutup kepada orang ramai sejak tahun 2019 atas faktor-faktor keselamatan. Foto: Manan VATSYAYANA/ AFP.

Christina dan Paul, dua pelancong berusia 29 tahun dari Austria, berkata seorang rakan baru-baru ini memberitahu mereka tentang tempat yang luar biasa itu.

Perkongsian itu ternyata memberi inspirasi kepada mereka untuk melawat.

"Kami tidak tahu bila kereta api itu akan datang. Kami naik ke tingkat atas untuk minum dan kemudian bernasib baik kereta api itu berlalu dengan pantas," ujar Christina.

Keseronokan 'menonton' kereta api dari jarak dekat menarik ratusan ribu pelawat pada 2018 dan 2019, menjadikan kawasan itu sebagai tempat tumpuan media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Laos destinasi ‘rare’ yang dijamin selamat, piawaian LaoSafe janjikan kepuasan 100 peratus pelancong asing

Namun pada Oktober 2019, pihak berkuasa Vietnam secara tiba-tiba menutup kawasan itu kepada pelancong, atas alasan kesesakan dan kebimbangan keselamatan.

Pembukaan semula Train Street secara beransur-ansur berlaku ketika Vietnam berusaha untuk meningkatkan lagi sektor pelancongan selepas sempadan ditutup sepanjang wabak Covid-19.

Menurut Nguyen Van Long, pemilik kafe berusia 51 tahun, kerajaan tidak pernah membuka semula lokasi itu secara rasmi, tetapi ramai pemilik perniagaan memulakan sendiri operasi mereka sejak tiga atau empat bulan lalu.

file77h11525iiress23lx4

Lokasi Insta-worthy itu sering menjadi tumpuan pelancong dalam kunjungan mereka ke Hanoi. Foto: Manan VATSYAYANA/ AFP.

Namun katanya, mereka tidak pasti berapa lama dapat bertahan dan risau sekiranya kerajaan mengarahkan agar mereka menutup semula operasi di kawasan itu.

"Kami bimbang kerajaan akan menutup kawasan itu semula. Tetapi selepas Covid-19, kami bergelut. Penduduk di sini perlu mencari rezeki, kita perlu meneruskan hidup," ujarnya lagi.

Pada 2019, negara Asia Tenggara itu menerima 18 juta ketibaan pelancong antarabangsa, manakala pada separuh pertama 2022, hanya 602,000 pelancong asing memasuki negara itu.

Laluan kereta api yang melintasi jalan Dien Bien Phu jalan Tran Phu itu bermula sejak zaman penjajah Perancis.

Ia dibina pada tahun 1902, tetapi masih memainkan peranan penting untuk pelancong tempatan dan asing hari ini. - DPA.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain