suria

Trek ‘pacak’, laluan berakar... Gunung Datuk destinasi terbaik untuk kaki hiking cabar diri

Awan 'karpet' merupakan pemandangan dari atas Gunung Datuk yang sering dinantikan para pendaki.

AKTIVITI pendakian semakin menjadi kegilaan ramai, sama ada dari usia remaja sehinggalah warga emas.

Bukan sahaja tidak melibatkan kos perbelanjaan yang besar seperti melancong, ia sememangnya lebih santai kerana anda bebas untuk memasang khemah jika ingin menikmati keindahan alam.

Malah bagi 'kaki hiking', masa lapang pada hujung minggu mesti diabadikan dengan mendaki bukit mahupun gunung.

Antara destinasi yang sering menjadi kegemaran pendaki dan runner untuk membuat latihan dan sesi lepas gian ke hutan, adalah Gunung Datuk yang terletak di Hutan Simpan Tampin, Negeri Sembilan.

Mana tidaknya, jenis hutan Dipterokarp Bukit ini mempunyai ketinggian lebih kurang 650 meter sekali gus memberi panorama 360 darjah yang menarik kepada para pendaki.

Jika bernasib baik, anda akan dihidangkan dengan 'awan karpet' bergulung yang cantik dan indah!

Untuk mereka yang ingin menghabiskan masa selama berhari-hari di atas puncak gunung tersebut pula, boleh meneruskan pendakian ke dua lagi puncak berhampiran iaitu Gunung Rembau dan Gunung Gagak.

Antara trek laluan di Gunung Datuk yang mencabar ketika hujan.

Antara trek laluan di Gunung Datuk yang mencabar ketika hujan.

Tapi berhati-hati ya! Tahap pendakiannya agak mencabar kerana trek 'pacak' dan berakar menjadikannya sukar terutama musim hujan.

Selain menjadi lokasi idaman para hikers, Gunung Datuk juga menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang ingin menganjurkan aktiviti kesukanan dan kecergasan mahupun kem bina jati diri.

Seperti program National Youth Camp (NYC) anjuran Pertubuhan Pemimpin Sukarelawan Malaysia (YOSH) dan Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) baru-baru ini.

Melibatkan 85 pelajar universiti dari dalam dan luar negara, program selama tiga hari itu diadakan bagi menanam sifat patriotik dalam diri peserta yang terdiri daripada golongan belia berusia 1 hingga 25 tahun.

Menurut Pengarah NYC 2022, Wan Imran Mahdi Wan Yusni, kesemua peserta terlibat merupakan mereka yang terpilih dari sudut potensi, tenaga dan daya fikir.

Baginya, hanya belia yang mempunyai misi yang jelas sahaja yang mampu membuat perubahan dalam mendepani cabaran dunia yang semakin meningkat.

Sebahagian peserta yang mengikuti kem NYC2022.

Sebahagian peserta yang mengikuti kem NYC2022.

Sementara itu, wakil peserta yang berasal dari Tawau, Sabah, Mohd Asran Lataga pula berkata, pendakian Gunung Datuk merupakan pengalaman yang berharga dan tidak dapat dilupakan.

Malah katanya, dengan membawa bendera negeri, dia sudah membayangkan bahawa dirinya menjadi wakil Sabah sekali gus menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam jiwa.

"Bendera sering diumpamakan sebagai maruah sesuatu tempat. Jika saya berpatah balik ketika menaiki gunung, maka maruah negeri Sabah akan tercalar," katanya.

Menurut anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan, Nur Arif Aiman Abdul Kudus, meskipun telah dua kali mendaki Gunung Datuk, namun dia dapat merasakan perbezaan pendakian ketika mengikuti kem NYC 2022.

"Sebelum ini saya mendaki bersama keluarga dan tujuannya hanyalah untuk beraktiviti bersama keluarga di hujung minggu, tapi kali ini tujuannya adalah untuk mengharumkan nama negeri kelahiran saya," luahnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain