PULAU Langkawi, Kedah terkenal dengan oasis yang tenang, indah dan mendamaikan. Namun di sebalik ketenangan itu, tersembunyi pelbagai aktiviti mencabar yang pastinya mengujakan sesiapa sahaja termasuk peminat sukan lasak. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut rahsia yang tersembunyi di bumi bertuah ini, berikut adalah senarai aktiviti yang boleh anda lakukan sambil menikmati keindahan kawasan perairan dan landskap tropikanya. 1) Canyoning air terjun, berkayak dan papan dayung berdiri Canyoning air terjun adalah aktiviti di mana anda menuruni cerun air terjun hingga ke lantainya dengan menggunakan tali. Cabar diri anda untuk rasai pengalaman ini di Air Terjun Durian Perangin sambil menikmati pemandangan Gunung Raya iaitu gunung tertinggi di Langkawi. Pastikan aspek keselamatan diutamakan ya! Bagi yang minat berkayak, apa kata anda ke Gua Kelawar terlebih dahulu sebelum meneruskan jelajah ke kawasan penternakan ikan dalam sangkar. Akhir sekali, dayung kayak anda dan terokailah hutan paya bakau sambil menyaksikan sendiri pemandangan indah habitat seperti helang laut, layang-layang, bangau, raja udang mahupun ketam rebab. Selain itu, anda juga boleh menguji keseimbangan diri dengan mencuba papan dayung berdiri sambil menghayati alunan ombak. 2) Aktiviti lagak ngeri dan Morac Adventure Park Lemau kerana sudah lama tidak bercuti? Anda boleh tingkatkan adrenalin dengan aktiviti meluncur merentasi kanopi hutan hujan yang berusia puluhan juta tahun sambil melihat beberapa spesies haiwan terancam seperti Lotong Cengkong dan Burung Enggang. Jangan lupa untuk menyertai ATV adventure trail, yang terdiri daripada sembilan cabaran dan empat laluan kembara dalam dua pakej tunggangan selama 1 jam atau 30 minit. Anda juga boleh terus mencabar diri dalam sukan permotoran di Morac Adventure Park yang mempunyai sejarah selama 20 tahun. Litar ini terletak hanya 8 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chenang dan Pantai Chenang. 3) Luncur udara tandem Sesiapa sahaja yang telah mencuba pengalaman luncur udara tandem pasti akan terpesona dengan pemandangan indah kawasan persisiran pantai dari udara. Jika anda sukakan pilihan yang sedikit kurang mencabar berbanding terjun udara, usah bimbang, anda hanya perlu duduk di dalam abah-abah yang selesa dan nikmati pemandangan 360 darjah sambil juruterbang berpengalaman mengemudi luncur udara untuk anda. 4) Wakeboarding Wakeboarding ialah salah satu sukan air lasak popular di Langkawi. Ia adalah kombinasi sukan ski air, luncur air dan luncur salji, di mana penunggangnya menggunakan papan lebar untuk berdayung dan meluncur di atas air. Wakeboarding menjadi kegilaan baru di masa kini. Kejernihan air membolehkan anda melihat ikan dan terumbu karang sambil berdayung di atas papan dan meluncur dengan selamat. Sesuai untuk dewasa dan kanak-kanak, ia sememangnya aktiviti yang menyeronokkan untuk dicuba! 5) Jet ski dan luncur air Dengan jet ski, anda boleh menerokai destinasi menarik di gugusan kepulauan itu sambil meluncur laju di atas permukaan laut yang tenang dan mengunjungi pulau-pulau lain seperti Pulau Tepur, Pulau Singa Besar dan Pulau Dayang Bunting. Pilih saja pakej yang disediakan dari satu jam hingga empat jam. Jika anda menginginkan aktiviti yang boleh melonjak adrenalin anda, Pantai Tengah dan Pantai Chenang menawarkan lokasi yang terbaik untuk mereka yang gilakan sukan luncur air. Di situ anda boleh meluncur di atas ombak setinggi 1.5 meter yang dibawa oleh angin kencang. 6) Snorkeling dan selam skuba Cara yang terbaik untuk menerokai kehidupan bawah air Laut Andaman ialah menerusi aktiviti snorkeling dan selam skuba. Kawasan untuk menyelam boleh didapati di sekeliling pulau-pulau kecil di kawasan Chenang. Kunjungi Pulau Pasir untuk melihat arca-arca menarik yang ditenggelamkan ketika menyelam di perairan itu. Ia juga sesuai untuk yang baru berjinak dengan aktiviti menyelam dan yang berpengalaman kerana anda berpeluang untuk melihat penyu, terumbu karang, kuda laut dan pelbagai spesies hidupan laut yang lain. 7) Memancing dan mencandat sotong Bagi yang ingin merasai suasana kehidupan Langkawi yang mempesonakan, anda semestinya mencuba aktiviti memancing di sekitar perairan Langkawi yang jernih. Terdapat pelbagai jenis ikan sedia untuk dipancing seperti kerapu, kakap, alu-alu, wahoo dan banyak lagi. Anda juga tidak boleh melepaskan peluang untuk mencuba aktiviti mencandat sotong yang biasanya dilakukan pada waktu malam. Keindahan pulau ini yang mempesonakan pastinya akan menggembirakan anda dengan pemandangan yang mengagumkan tatkala fajar dan senja di sekitar Pekan Rabu. Sebelum pulang ke tempat penginapan anda, nikmati dulu aktiviti berenang dan makan malam barbeku. Apa tunggu lagi... Tempahlah bot anda sekarang! Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI