MUSIM cuti persekolahan bakal tiba tidak lama lagi! Pastinya ibu bapa sedang 'ligat' merencana pelbagai aktiviti untuk mengisi masa lapang bersama anak-anak. ARTIKEL BERKAITAN: Wah! 24 gelongsor air, 15 tarikan utama... taman air SplashMania menanti anda Januari 2023 Tak usah pening kepala... jika anda masih tercari-cari bagaimana untuk mempelbagaikan percutian anak-anak, di sini Tourism Selangor menyenaraikan beberapa lokasi yang menyediakan aktiviti DIY yang menarik dan menyeronokkan. 1) Chocolate Lab, Chocolate Museum, Petaling Jaya Terletak di Petaling Jaya, bengkel ini menawarkan penyediaan coklat menggunakan kemudahan yang berkualiti serta diajar oleh pakar pembuat coklat. Pengunjung boleh memilih antara dua kursus iaitu bengkel pembuatan coklat daripada biji koko dan marshmallow dicelup coklat; atau membina struktur rumah daripada coklat. Paling menarik, peserta akan menerima lawatan Chocolate Museum secara percuma melalui pakej bengkel ini. 2) Clay Expression, Subang Jaya Terletak di Subang Jaya, Clay Expression ialah bengkel yang khusus dalam seni tembikar dan tanah liat. Hanya sekitar dua jam setengah, kanak-kanak boleh belajar cara membuat pinggan atau cawan teh melalui teknik pembuatan tembikar secara tradisional, dan juga menggunakan roda tembikar dalam bengkel wheel-throwing. Bengkel ini juga menyediakan cabaran dan tema untuk mengasah kemahiran kreativiti mereka. 3) Splatter Art Factory, Subang Jaya Terletak di Subang Jaya, Splatter Art Factory menawarkan seni mewarna dengan percikan cat, termasuk melukis dan mewarna dalam gelap menggunakan cat neon yang 'glow in the dark'. Biarkan anak-anak anda berkreativiti tanpa batas menggunakan medium berlainan seperti percikan berus, straw dan juga memecahkan belon yang diisi cat. Bengkel ini beroperasi setiap hari kecuali Isnin, dari pukul 10 pagi hingga 4 petang. 4) Adiaida, Petaling Jaya Adiaida dapat memupuk minat pertukangan dalam diri anak-anak anda. Terletak di Petaling Jaya, Adiaida menyediakan program mini, junior dan teen maker, di mana kanak-kanak akan mempelajari kemahiran menukang kayu menjadi perabot mengikut saiz dan tahap kesukaran yang bersesuaian. Kemahiran asas pertukangan seperti mengukur, memaku dan sanding akan turut diajar dalam bengkel ini. Secara tidak langsung, program ini bukan hanya menyeronokkan malah anak-anak mungkin dapat memperoleh kemahiran baru dan menjadikan pertukangan sebagai hobi. 5) The Artsy Craftsy by Shia Lynn, Shah Alam Bengkel ini merupakan satu tempat yang bagus untuk belajar melukis. Peserta bengkel ini akan dapat mempelajari sama ada lukisan gaya bebas atau guided, yang diajar oleh sebuah kumpulan pelukis yang mahir. Kanak-kanak juga boleh mempelajari cara-cara menggunakan medium lukisan yang berlainan, di mana mereka kemudian dapat menggunakan teknik yang dipelajari dalam kehidupan seharian mereka. 6) MTMT Studios, Petaling Jaya Terdapat pelbagai pilihan yang tidak terhad kepada melukis sahaja, malah MTMT Studios juga mempunyai bengkel penghasilan crochet, lukisan 3D, penghasilan barang kemas, seni tembikar dan juga kasut DIY. Boleh pilih bengkel yang disukai ataupun sertai kesemuanya! Oh ya, bengkel-bengkel ini juga berjalan pada waktu yang berlainan, jadi ibu bapa mempunyai masa yang fleksibel untuk menyertai bersama anak-anak mereka. 7) Fabcafe Kuala Lumpur, Petaling Jaya Ia adalah kafe yang menawarkan ruangan terbuka kepada pengunjung yang ingin menjalankan projek seni mereka. Dengan kemudahan dan gajet elektronik yang banyak, pelbagai projek seni boleh dihasilkan di kafe ini. Daripada pencetak 3D, mesin sulaman, mesin jahit dan pelbagai lagi, pengunjung juga boleh menikmati kopi, soda, pastri dan kek yang terdapat di kafe ini sambil menyiapkan karya seni. Bermula dari pukul 10 pagi hingga 7 malam, kafe ini beroperasi setiap hari kecuali Ahad. Semuanya menarik, bukan? Selain dapat mencuba perkara baru, anak-anak anda juga memperolehi pengalaman di samping mengasah kemahiran baru yang sangat bermanfaat untuk perkembangan minda mereka. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI