DESTINASI pelancongan terkemuka, Rottnest Island yang terletak di Australia Barat menjanjikan pengalaman berbeza buat mereka yang cintakan alam semula jadi. Baru-baru ini, mStar turut berkesempatan berkunjung ke sana bagi menikmati panorama laut biru serta bermesra dengan quokka, haiwan comel yang menjadi penghuni tetap pulau berkenaan. Seawal 10 pagi, penulis bertolak menaiki feri dari Hillarys Boat Harbour yang mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk tiba ke pulau peranginan itu. Pasir pantai yang memutih serta lautan biru menjadi tarikan utama di pulau itu. Foto: Pojiegraphy. Sepanjang perjalanan, penumpang boleh memilih untuk berada di dalam feri ataupun naik ke ruangan paling atas yang tidak berbumbung, sekali gus dapat menikmati panorama laut yang seolah-olah tidak berpenghujung. Setibanya ke Rottnest Island, pengunjung berpeluang untuk mendekati quokka yang berada di segenap penjuru dan ruang serta merakam swafoto kenang-kenangan dengan haiwan comel itu. Pelancong juga boleh melakukan aktiviti berbasikal untuk menikmati keindahan alam dengan lebih dekat sambil menjelajah ke seluruh pulau. Selain berjalan kaki atau berbasikal, anda juga boleh meneroka pulau itu dengan menaiki bas. Dalam kunjungan tersebut, penulis turut dibawa mengikuti pengembaraan menaiki bas untuk mengelilingi pulau berkeluasan 19 kilometer persegi itu dalam perjalanan kira-kira 90 minit. Sepanjang perjalanan, pegawai bertugas yang berada di bahagian hadapan bas petah bercerita mengenai sejarah pulau itu, tarikan yang ada serta bentuk muka buminya. ARTIKEL BERKAITAN: Cabar adrenalin, nak santai-santai pun boleh! Ini 7 tarikan mesra muslim di Australia Barat Saat yang paling ditunggu-tunggu tentunya apabila bas yang membawa kumpulan pelancong berhenti di pinggir cerun tinggi untuk menikmati panorama laut biru, persis syurga dunia. Platform khas yang disediakan membolehkan pelancong melihat panorama laut dengan lebih dekat. Dengan batuan saiz gergasi yang terukir semula jadi di tepian pantai, pelancong yang hadir tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan merakam video di lokasi itu. Jika bertuah, anda juga dapat menyaksikan sendiri kelibat ikan paus bersaiz gergasi yang sesekali timbul ke permukaan laut. Antara lokasi lain yang menarik untuk dikunjungi di Rottnest Island adalah Pinky Beach, pantai yang dihiasi pasir putih dengan binaan ikonik Bathurst Lighthouse. Antara lokasi 'insta-worthy' di Rotness Island. Selain melakukan aktiviti santai di tepi pantai, anda juga boleh merakam gambar berlatarbelakangkan rumah api tersebut. Bagi yang gemar mencabar adrenalin, anda juga boleh mengikuti aktiviti snorkeling, berenang mahupun meluncur ombak. Pendek kata, sehari mungkin tidak cukup untuk pencinta alam meneroka keseluruhan pantai dan teluk yang wujud di pulau peranginan ini. Jika bertuah, anda juga boleh melihat ikan paus yang sesekali muncul di permukaan laut. Bagi yang mahu bermalam di sana, Rottnest Island turut menawarkan beberapa seleksi penginapan mengikut bajet dan kesesuaian anda. Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web Rottnest Island atau lawati Instagram @rottnestislandwa. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI